Pelbagai filem dan rancangan televisyen seperti "Jaws" telah menanamkan idea bahawa jerung begitu tertarik kepada darah manusia. Malah, jerung turut digambarkan mampu menghidu darah dari jarak berbatu-batu jauhnya.
Seperti yang digambarkan Hollywood, haiwan laut ini seolah-olah tidak pernah melepaskan peluang untuk menyerang apabila terhidu darah manusia. Adakah perkara ini benar-benar berlaku atau hanya rekaan semata-mata? Berikut adalah penjelasannya.
BESARKAN TEKS A- A+
Kekerapan manusia diserang jerung
Perhatian media terhadap serangan jerung membuatkannya kelihatan seperti sering berlaku. Walhal, kekerapan serangan jerung ke atas manusia adalah sangat rendah. Berdasarkan statistik global, serangan jerung hanya menyebabkan sebanyak 10 kematian sahaja setiap tahun.
Daripada hampir 500 spesies jerung, didapati hanya tiga daripadanya iaitu great white shark, bull shark dan tiger shark yang bertanggungjawab bagi kebanyakan serangan jerung. Ketiga-tiga spesies ini terlibat dalam 60% serangan jerung di seluruh dunia di mana 80% daripada serangan tiga spesies ini menyebabkan kematian.
Persoalannya, adakah mereka tertarik kepada bau darah manusia seperti yang sering ditonjolkan di layar perak atau di kaca televisyen?
Sebenarnya, jerung secara khususnya tidaklah tertarik kepada darah manusia. Walau bagaimanapun, ia dapat mengesan darah dan sebarang cecair yang dihasilkan oleh badan manusia. Namun, jerung tidak dapat menghidu setitik darah dari jarak berbatu-batu jauhnya.
Deria bau jerung
Menurut beberapa kajian, jerung sebenarnya lebih tertarik kepada darah haiwan seperti ikan atau singa laut berbanding manusia. Menurut Zoo Taronga di Australia, jerung mungkin tertarik kepada manusia disebabkan darah, air kencing atau bau badan yang kuat.
Namun, jerung sukar mengesan bau ini berbatu-batu jauhnya kerana cecair seperti darah akan dicairkan oleh jumlah air laut yang banyak. Dakwaan mengatakan setitik darah manusia mampu menarik perhatian jerung dari jauh sebenarnya agak sukar dibuktikan.
Ada juga kejadian di mana jerung mendekati perenang atau penyelam walaupun mereka tidak menghasilkan darah atau bau badan yang kuat. Kemungkinan besar, jerung lebih tertarik kepada aktiviti manusia berbanding bau darah atau badan.
Bagi wanita yang sedang dalam haid pula, ia juga merupakan cecair yang boleh dikesan oleh jerung. Namun, tiada sebarang bukti ia menyebabkan boleh membawa kepada serangan jerung.
Tambahan pula, peluang darah haid untuk keluar di dalam air adalah rendah kerana tekanan air semasa berenang atau menyelam akan menghentikan sementara aliran darah haid seseorang itu.
Eksperimen tindak balas jerung
Seorang bekas jurutera NASA bernama Mark Rober pernah menjalankan eksperimen berkenaan persoalan ini. Dia memasang alat pengepam yang diisi dengan darah lembu, darah ikan dan air laut pada tiga papan luncur berbeza.
Alat pengepam itu akan melepaskan bendalir ke dalam air semasa ia bergerak. Rober turut memantau bilangan jerung menggunakan bantuan dron. Selama sejam, dia mendapati tiada ikan yang menghampiri papan luncur yang diisi dengan air laut, manakala lapan ekor jerung menghampiri papan luncur yang diisi dengan darah lembu.
Manakala sebanyak 134 ekor jerung telah mendekati papan luncur yang diisi dengan darah ikan. Walaupun tidak menggunakan darah manusia dalam kajiannya, ini sudah membuktikan bahawa jerung lebih tertarik kepada darah ikan berbanding darah lembu.
Punca lain jerung menyerang
Deria bau bukanlah satu-satunya penyebab serangan jerung. Ternyata, bunyi adalah penyebab utama jerung bergerak ke sesuatu kawasan. Walau bagaimanapun, sebaik sahaja ia mula bergerak ke arah sumber bunyi, jerung akan lebih bergantung pada penglihatannya berbanding bunyi.
Jerung mudah tertarik kepada bynyi frekuensi tahap rendah terutamanya pada julat 10-50Hz. Frekuensi seumpama ini biasanya dikeluarkan oleh ikan yang sedang bergelut atau cedera.
Melalui ujian yang dilakukan pula, jerung paling sensitif pada frekuensi di antara 40Hz hingga 800Hz. Jerung menggunakan organ deria garis sisi dan telinga untuk mencari mangsa pada jarak antara 250 meter atau lebih.
Manusia bukan sebahagian diet jerung
Seperti yang diterangkan di atas, hanya beberapa spesies jerung tertentu yang terlibat dalam serangan ke atas manusia. Walau bagaimanapun, mangsa semula jadi mereka adalah hidupan lain seperti ikan atau anjing laut.
Manusia bukanlah sebahagian daripada diet jerung jadi secara logiknya mereka tidak memburu manusia untuk makanan. Sebaliknya, mereka mungkin menyerang akibat sifat ingin tahu atau tersalah sangka bahawa manusia adalah anjing laut.
Jadi, jika anda melakukan aktiviti di lautan seperti berenang atau menyelam, terdapat kemungkinan yang sangat kecil anda diserang jerung. Kebanyakan mangsa bagaimanapun terselamat daripada serangan jerung yang berlaku melainkan jika mengalami pendarahan yang agak teruk.