ayam goreng mcd

Tak dapat dinafikan, daging ayam adalah daging yang paling banyak dimakan di seluruh dunia. Selain daripada mudah untuk didapati dan murah berbanding daging-daging lain, ia juga sangat versatil untuk pelbagai masakan.

Dan cara penyediaan biasa di kebanyakan di rumah-rumah di Malaysia, kita biasanya membilas dan mencuci ayam mentah sebelum dimasak.

Perkara yang sama juga dilakukan kepada bahan-bahan lain termasuk beras dan sayur-sayuran.

Namun di kawasan lain di dunia terutamanya di Barat, perkara ini tidak dilakukan terhadap ayam mentah dan menjadi satu perkara biasa.

Malah, membilas ayam adalah sangat tidak digalakkan menurut mereka.

Mengapa Barat tidak mencuci ayam mentah?

mengapa jangan basuh ayam mentah sebelum masak

Hal ini telah menyebabkan berlakunya perbalahan sama ada anda perlu mencuci ayam mentah dan atau tidak. Ia juga telah menjadi perdebatan hangat yang memisahkan komuniti kulinari selama berapa dekad.

Sebagai contoh chef kesayangan Amerika Syarikat iaitu Julia Child percaya dan sentiasa mencuci ayam mentah, namun pengacara besama Julia dalam "Julia & Jacques Cooking at Home" iaitu Jacques Pepin tidak bersetuju dengan perkara ini dengan mengatakan bahawa bakteria akan mati selepas dimasak.

Jadi, mana satu yang betul?

Kajian dari Universiti Drexel juga mendapati bahawa kira-kira 90% orang mengatakan bahawa mereka mencuci ayam sebelum memasaknya kerana resipi dari segi sejarah menyuruh orang melakukannya.

Bahkan hari ini ramai orang percaya bahawa mencuci ayam dapat membersihkan bakteria patogen dan menjadikan ayam selamat untuk dimakan. 

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, ayam mentah tidak perlu dicuci sebelum dimasak. CDC menyatakan bahawa mencuci ayam mentah sebelum dimasak boleh meningkatkan keracunan makanan disebabkan oleh bakteria.

jangan basuh ayam mentah sebelum masak

Ayam mentah boleh dicemari dengan banyak bakteria patogen termasuklah Campylobacter, Salmonella, dan Clostridium Perfringens, yang mana semua ini boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan.

Di United Kingdom, campylobacter adalah penyebab keracunan makanan yang paling biasa.

Sebilangan besar kes jangkitan campylobacter berasal dari daging ayam. Kajian terbaru mendapati lebih daripada 50% ayam yang dijual di UK membawa bakteria.

Keracunan Campylobacter boleh menyebabkan sakit perut, cirit-birit yang teruk, dan kadang-kala muntah antara 2 hingga 5 hari.

Kajian yang dilakukan di Drexel University mendapati bahawa mencuci ayam hanya meningkatkan peluang menyebarkan bakteria di sekitar sinki dan dapur anda.

Walaupun anda tidak dapat melihat percikan air, namun ia berlaku dan bakteria yang mungkin terdapat pada ayam ini boleh tersebar.

Dan sekiranya bakteria ini mencemari barangan mentah lain atau dimakan terutamanya oleh anak kecil, wanita hamil, warga emas dan mereka yang mempunyai sistem imun lemah, ini boleh menyebabkan mereka jatuh sakit.

ayam mentah mengandungi bakteria boleh sebabkan keracunan makanan

Ini adalah sebab mengapa untuk kali pertama pada tahun 2005, Garis Panduan Pemakanan untuk Rakyat Amerika oleh Jabatan Pertanian Amerika Syarikat merangkumi keselamatan makanan, dan disarankan agar tidak mencuci ayam sebelum dimasak.

Sebabnya adalah sama yang dinyatakan oleh kajian Universiti Drexel iaitu "jus" pada ayam mentah itu akan terpercik ke sekitar dapur dan berpotensi menyebabkan keracunan makanan.

Pada 27 April 2019, CDC mengeluarkan peringatan tegas di media sosial kepada mereka yang masak di rumah tentang bagaimana mencegah keracunan makanan semasa memasak ayam.

"Jangan cuci ayam mentah anda! Mencuci boleh menyebarkan kuman dari ayam ke makanan atau perkakas lain di dapur," jelas CDC dalam laman Twitter nya.

Mengapa kita mencuci ayam mentah?

ayam yang dibasuh

Dan dari segi sudut kebersihan, kita biasanya mencuci ayam mentah yang dibeli sama ada dari pasar atau pasar raya. Ini merupakan satu tindakan naluri dan logik kerana mencuci dengan air dikaitkan dengan kebersihan dan kita tidak tahu dari mana datangnya ayam tersebut.

Kabanyakan dari kita sebenarnya mencuci ayam mentah dengan air bukan bertujuan mematikan bakteria yang ada, tetapi lebih kepada sudut kebersihan. 

Malah, terdapat bahagian pada ayam yang mempunyai darah dan lendiran yang perlu dibersihkan sebelum dimasak dan di makan.

Dari sudut agama, darah haiwan adalah najis termasuklah darah ikan walaupun bangkainya boleh dimakan. Namun jika masih terdapat darah pada daging ayam atau haiwan selepas disembelih, ia adalah dimaafkan dan tidak perlu dicuci.

Selain itu, kita tidak tahu tentang kebersihan tempat pengendalian ayam tersebut.

Namun disebabkan budaya dan agama kita yang mementingkan kebersihan, ia tetap dicuci kerana perasaan "geli" wujud berkaitan dengan darah ini.

Rujukan:

1. Food Network

2. Today

3. NHS



Hakcipta iluminasi.com (2017)