Siapa yang tidak sukakan ayam yang disalut pelbagai rempah dan digoreng dalam minyak panas  sehingga rangup keemasan dengan isi lembut di dalam? Boleh dikatakan hampir setiap lapisan masyarakat gemarkan menu ayam goreng, tidak kira sama ada dihidangkan ala barat dengan kentang ataupun bersama nasi.

ayam goreng panas

Kaedah menggoreng ayam yang sempurna dikhabarkan berasal dari kawasan selatan Amerika Syarikat, namun ia masih mempunyai pengaruh dari negara-negara lain. Tidak kurang juga dengan pelbagai kontroversi yang melanda hidangan kegemaran ramai ini. Kami kongsikan lima fakta lazat dan menarik mengenai ayam goreng:

ayam goreng kegemaran ramai

1. Sejarah awal ayam goreng

Jika disebut asal-usul ayam goreng, mungkin kita tidak akan terfikir langsung mengenai Mesir Purba atau Scotland. Walau bagaimanapun, ramai sejarawan mempercayai bahawa kedua-duanya memainkan peranan sama besar dalam kewujudan ayam goreng hari ini.

Antara tahun 7,500 hingga 5,000 SM, ayam liar di sekitar Asia Tenggara mula dijadikan haiwan ternakan dan dalam tempoh yang sama juga hidangan stu ayam pula mula muncul di China, Afrika Barat dan Timur Tengah. Dari Timur Tengah, ayam mula diperkenalkan di Mesir purba di mana imejnya terpahat pada dinding-dinding makam firaun dan dagingnya dimasak sebagai santapan hamba abdi yang membina piramid.

ayam goreng 996

Kemudian ia melebarkan pula sayapnya ke Greece, seluruh kawasan Mediterranean sebelum tiba di Kepulauan British. Ayam goreng yang terkenal di Amerika Syarikat berkemungkinan besar dibawa oleh peneroka Scotland yang berhijrah ke sana.

Laman web Atlantic menyatakan bahawa agak sukar untuk mengesahkan sama ada ayam goreng rangup bersalut tepung yang kita kenali hari ini sebenarnya berasal dari Afrika, selatan Amerika Syarikat atau Eropah. Namun, tradisi menggoreng menggunakan minyak yang banyak diketahui datang dari Afrika Barat dan ayam goreng gaya KFC yang sering dimakan kini bermula di selatan Amerika Syarikat.

2. Pernah menjadi menu yang 'rare'

Resipi pertama ayam goreng di Amerika Syarikat mula muncul dalam sebuah buku berjudul "The Virginia Housewife, Or Methodical Cook" yang diterbitkan pada tahun 1825 dan ditulis oleh Mary Randolph yang menguruskan sebuah asrama. Ramai yang menganggap buku itu sebagai buku resipi pertama yang diterbitkan di Amerika. Pemasukan resipi ayam goreng itu juga dikatakan menggambarkan betapa pentingnya menu tersebut dalam bidang kulinari di sana. 

proses mencabut bulu ayam

Sebelum Perang Dunia Kedua, hidangan ayam dianggap sebagai menu untuk majlis atau hari istimewa kerana dagingnya mahal dan agak sukar disediakan. Selepas menyembelih ayam dan mencabut bulu, ayam perlu dipotong dan gorengan pula mesti dipantau sepanjang masa ketika memasak. Disebabkan itu jugalah menu ayam sangat sukar didapati di restoran-restoran.

3. Bukan semua ayam sesuai digoreng

Hari ini, hampir kesemua ayam yang dijual di kedai dan pasar raya merupakan ayam pedaging (broiler) yang dibiak khusus untuk dimasak pelbagai cara.

Namun, pada zaman dahulu, disebabkan daging ayam yang tua lebih liat dan memerlukan masa yang lebih panjang untuk dimasak, hanya ayam muda (ayam jantan muda atau ayam dara) yang sesuai digoreng kerana lebih cepat dimasak menggunakan api kuat.

Disebabkan ayam-ayam muda ini hanya boleh dijumpai ketika musim bunga atau musim panas, maka menu ayam goreng sering dianggap sebagai suatu hidangan mewah.

4. Fenomena ayam goreng KFC

Semasa memulakan operasi restoran KFC yang pertama, Colonel Harland Sanders berkeras untuk menggoreng ayamnya menggunakan kuali di atas dapur. Namun, pada masa yang sama, dia kurang gembira kerana kaedah gorengan secara tradisional itu memakan masa lebih dari setengah jam bagi memenuhi setiap pesanan dan ia tidak kelihatan begitu bagus untuk restorannya.

kfc diserbu pelanggan di myanmar

Colonel Sanders kemudian telah membeli periuk tekanan tinggi yang pertama dihasilkan pada tahun 1939 dan mengambil risiko bahaya dengan mengubahnya menjadi sebuah penggoreng tekanan tinggi. Dia mendapati hasil gorengan adalah lebih baik dan hanya mengambil masa kurang dari 10 minit untuk disiapkan.

Kejayaan gorengan Colonel Sanders itu telah membuahkan hasil. Kini, KFC mempunyai lebih 18,000 cawangan di 115 buah negara.

5. Satu menu, beribu resipi

Walaupun sejarah asal hidangan ayam goreng dapat dilihat dari pelbagai negara, namun KFC merupakan restoran yang bertanggungjawab menjadikan ayam goreng sebagai satu fenomena di seluruh dunia.

Hari ini, resipi ayam goreng telah divariasikan menjadi pelbagai menu berbeza seperti yangnyeom-tongdak di Korea, ayam penyet di Indonesia, ayam goreng berempah di Malaysia dan pollo frito di Itali.

makan ayam goreng

Menurut seorang ahli sejarah makanan, Adrian Miller, ayam goreng merupakan pilihan sempurna bagi usahawan yang ingin memulakan perniagaan makanan kerana ia adalah sebuah hidangan yang sangat serba boleh dan membuka ruang untuk kepelbagaian kreativiti dan inovasi.

Siapa sangka ayam pun mampu menakluk dunia.



Hakcipta iluminasi.com (2017)