pelajar kejuruteraan di india 567

Adakah impian untuk menjadi jurutera hebat di India kini terkubur? Krisis pendidikan kejuruteraan di negara ini kini kelihatan semakin jelas.

Jurutera India yang sebelum ini bermimpi untuk bekerja di pejabat yang besar, memandu kereta mahal dan tinggal di banglo mewah kini bimbang dalam mencari pekerjaan sebaik sahaja mereka memasuki tahun terakhir di kolej.

Beberapa laporan menunjukkan bahawa kebolehpasaran graduan kejuruteraan adalah agak lemah kecuali dari Institut yang berprestij, seperti Indian Institutes of Technology (IIT).

Kebanyakan kolej kejuruteraan tidak dapat menyediakan pendidikan kepada pelajar kejuruteraan yang mampu membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan yang sesuai.

Selain itu, jumlah pelajar yang lulus dalam bidang kejuruteraan di India tersangat ramai, lebih daripada gabungan jumlah jurutera yang dihasilkan oleh Amerika Syarikat dan China iaitu kira-kira 1.5 juta pelajar setiap tahun.

Masalah menjadi semakin parah apabila pekerjaan yang melibatkan kejuruteraan di India adalah tersangat rendah, mewujudkan jurang  yang sangat jauh antara bekalan dan permintaan terhadap jurutera di India.

Mereka yang berjaya diambil bekerja selepas tamat pengajian menerima pekerjaan yang mana jauh di bawah kelayakan teknikal mereka, disebabkan oleh bekalan jauh melebihi permintaan.

Malah, gaji peringkat kemasukan adalah sangat rendah dan kekal pada tahap itu untuk 8 hingga 9 tahun yang lalu.

institut teknologi india

Perbualan dengan para pelajar, ahli fakulti dan pakar pendidikan tinggi mencadangkan bahawa ramai pelajar yang mendaftar kursus kejuruteraan bukan untuk menjadi jurutera, tetapi hanya mahukan apa-apa pekerjaan.

Dan jika diberi pilihan, mereka mahu bekerja dengan kerajaan. 

Selain itu, apa yang lebih mengancam situasi ini adalah hakikat bahawa 2 industri utama yang melibatkan kerja-kerja kejuruteraan di India iaitu sektor IT dan perkilangan, kini mengambil jumlah pekerja yang lebih kecil berbanding sebelumnya.

Industri IT di India yang meningkat sebanyak 30% sehingga 5 tahun lalu, tetapi kadar pertumbuhannya telah menurun ke tahap 10.2% pada hari ini.

Permintaan untuk ahli profesional yang berkelayakan dalam bidang ini juga telah menurun di India. Bagi pelajar lepasan kolej kelas kedua dan ketiga, situasi mereka lebih buruk.

Terdapat perbezaan yang sangat besar dari segi pendapatan antara pelajar kolej berprestij dengan kolej biasa dan situasi ini dilihatkan akan semakin meruncing.

Purata gaji permulaan bagi pelajar lepasan kolej berprestij seperti IIT adalah di antara RM4,380 dan RM4,867 sebulan, sementara jurutera kolej kelas kedua menerima purata gaji antara RM876 hingga RM973 sebulan.

realiti pendidikan kejuruteraan di india

Pelajar yang datang daripada latar belakang pendidikan sederhana dan ibu bapa yang perlu mendapatkan pinjaman pelajaran untuk anak mereka juga sangat bimbang dengan keadaan ini.

Jadi, tak hairanlah jika para jurutera menerima apa saja pekerjaan yang tidak layak untuk mereka.

Ramai pelajar lepasan kejuruteraan yang gagal mendapatkan pekerjaan dalam bidang mereka akhirnya menyertai penyumberan luar atau unit pusat panggilan yang mana boleh memberikan kesan yang lebih buruk kepada mereka.

Laporan McKinsey telah menekankan isu ini lebih daripada satu dekad yang lalu apabila ia menyatakan bahawa hanya 25% daripada jurutera di India yang sesuai untuk diambil bekerja.

Laman web yang dikenali sebagai The Logical Indian menulis tentang seorang jurutera mekanikal yang memandu beca automatik di New Delhi kerana dia mempunyai tanggungjawab untuk menyara keluarganya.

Adalah penting untuk mengingatkan bahawa hanya sejumlah kecil sahaja di antara mereka yang lulus dari kolej kejuruteraan, memiliki mempunyai kemahiran kejuruteraan.

masalah jurutera di india

Bagi yang selebihnya, mereka tidak boleh bekerja atau memerlukan latihan jangka panjang untuk bekerja.

Antara salah satu masalah utama yang menjadi pencetus masalah ini adalah mereka yang memilih kursus ini.

Sebahagian besar daripada mereka dipaksa oleh ibu bapa dan ramai yang lain mengambil kursus kejuruteraan kerana mengikuti rakan-rakan yang memilihnya.

Ia ditambah pula dengan kewujudan kolej-kolej kejuruteraan yang semakin banyak dan apabila pelajar daripada kolej ini gagal mendapat pekerjaan yang sesuai, ia memberikan impak kepada kolej-kolej tersebut.

Kini, banyak kolej-kolej tidak berkualiti ini telah ditutup kerana para pelajar semakin peka tentang masalah yang melanda.

Jumlah pelajar yang mengambil kursus kejuruteraan akan berkurangan sebanyak 80,000 di India, membawa kepada pengurangan 320,000 pelajar dalam masa 4 tahun.

pelajar kejuruteraan di india

Menurut All India Council for Technical Education (AICTE) iaitu sebuah badan kawal selia India, hampir 200 kolej kejuruteraan tidak berkualiti memohon untuk ditutup.

AICTE mahu menutup sekitar 800 buah kolej kejuruteraan di seluruh India, dan ini akan memulihkan sedikit sebanyak masalah yang melanda bidang kejuruteraan di India.

Apa yang menggembirakan adalah pertumbuhan ekosistem yang semakin baik di India muncul sebagai penyelamat bagi mereka yang rajin dan betul-betul minat dalam bidang mereka.

Rujukan:

1. Times of India

2. Explorist

3. ED Times



Hakcipta iluminasi.com (2017)