filem padmavaat bollywood yang diboikot

Dalam kebudayaan yang meletakkan maruah lebih penting daripada nyawa, bunuh diri adalah salah satu cara yang lebih bermaruah berbanding ditangkap atau dimalukan oleh musuh. Pelbagai versi budaya seperti ini telah direkodkan di seluruh dunia seperti Seppuku di Jepun sehinggalah pembunuhan diri besar-besaran kaum Yahudi di Mesada.

Di utara India pula, kasta Rajput telah lama mempraktikkan versi unik mereka yang tersendiri dalam memelihara maruah iaitu Jauhar. Diambil dari bahasa Sanskrit, perkataan "jau" bermaksud hidup dan "har" adalah kalah.

lukisan upacara jauhar 54

Upacara Jauhar ini selalunya tidak dilakukan oleh para pahlawan setelah kalah, ia sebaliknya dilakukan oleh kaum wanita Rajput. Kebiasaannya mereka akan melakukan upacara ini pada waktu malam sehari sebelum diceroboh oleh pihak musuh (apabila telah mengetahui mereka berkemungkinan besar akan kalah).

Kaum wanita akan memakai pakaian perkahwinan mereka, mengumpulkan semua anak-anak kecil dan bersama-sama mereka akan terjun ke dalam kawan berapi sambil para sami membacakan jampi di sekelilingnya.

Api yang dinyalakan itu dipercayai akan menyucikan wanita yang sanggup membunuh diri mereka dan keluarga sendiri daripada ditangkap untuk dijadikan hamba, dirogol atau diseksa. Dengan cara ini juga mereka memastikan darah keturunan diraja mereka tidak tercemar melalui perkahwinan paksa.

korbankan diri secara sukarela 759

Pada keesokan harinya, baki para pahlawan dan lelaki yang masih tinggal akan menyapukan abu dari mayat para wanita mereka di dahi sebelum keluar untuk bertarung dengan musuh sehingga mati.

Jauhar ini adalah berbeza dari adat "Sati" yang menimbulkan kontroversi di India iaitu adat di mana para balu dipaksa untuk terjun ke dalam api ketika upacara pembakaran mayat suami mereka sedang dijalankan, sedangkan Jauhar adalah dilakukan secara sukarela dan dilihat sebagai lebih bermaruah serta satu penghormatan.

Salah satu rekod terawal yang dicatatkan mengenai kejadian Jauhar ini adalah ketika penaklukan Alexander the Great. Salah sebuah bandar di utara India yang mempunyai populasi seramai 20,000 orang ketika itu seakan berputus asa setelah mendengar kedatangan tentera Macedonia itu.

jauhat di kubu chittorgarh 546

Api telah dinyalakan di merata tempat di bandar itu dan bersama-sama dengan ahli keluarga yang lain, mereka telah melakukan Jauhar dengan terjun ke dalam api bagi mengelak daripada dijajah dan diperhambakan.

Upacara Jauhar yang paling popular dalam sejarah India terjadi pada kurun ke-14 apabila Kubu Chittorgarh di Rajasthan, India telah ditawan oleh tentera Muslimin yang diketuai oleh Sultan Alauddin Khilj. 

Upacara Jauhar ini berlaku apabila ribuan kaum wanita telah mengikuti jejak langkah ratu mereka iaitu Ratu Padmavati yang terlebih dahulu membunuh diri bagi mengelakkan dari dijajah sebelum kubu itu jatuh ke tangan musuh.

patung upacara jauhar 154

Kejadian ini kemudian diceritakan dan diperturunkan sebagai salah satu legenda serta dilihat sebagai sesuatu contoh yang dipandang tinggi dan dihormati bagi kaum wanita Rajput.

Ratu Padmavati bukan sahaja dilihat sebagai seorang tokoh di kalangan kasta Rajput malah dia juga telah menghasilkan banyak puisi dan juga hasil seni yang dibanggakan kaumnya.

Menurut  versi kisah yang dihasilkan oleh Padmavarati sendiri, Sultan Alauddin ingin menawan kubu itu kerana telah mendengar tentang kecantikan seorang ratu yang mendiami Kubu Chittorgarh itu dan ingin memilikinya. Namun, Padmavati tidak membenarkan perkara itu berlaku sebaliknya melakukan upacara Jauhar.

lukisan ratu padmavati 568

Baru-baru ini, upacara purba Jauhar ini telah mendapat perhatian kembali di India. Padmavati yang merupakan seorang tokoh penting dalam kebudayaan kasta Rajput telah menjadi inspirasi untuk satu pembikinan filem yang dinamakan "Padmaavat" dan dilancarkan pada awal tahun 2018.

Namun begitu, filem Padmaavat itu telah menimbulkan kemarahan kasta Rajput kerana dikatakan tidak memaparkan kisah legenda mereka itu dengan betul malah dilihat sebagai menghina Ratu Padmavati.

poster filem padmaavat 205

Oleh disebabkan hal ini, seramai 2,000 orang wanita dari kasta Rajput telah mengugut untuk melakukan Jauhar sekiranya filem ini diluluskan dan ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Apa yang berlaku ialah kebanyakan pawagam enggan menayangkan filem ini dan ia merupakan kejayaan kepada kasta Rajput dalam memelihara sejarah mereka. Ini menunjukkan kedudukan maruah itu masih dianggap sangat penting dalam sesuatu budaya.


tags : , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)