Oleh pada 14 Sep 2019 kategori

sekolah pondok zaman sekarang

Era sebelum kedatangan penjajah, masyarakat Melayu mempunyai satu sistem pendidikan berbentuk informal yang mengkhususkan pendidikan agama Islam kepada generasi muda masyarakat zaman dahulu.

Antara usaha yang dijalankan dalam melahirkan pewaris baru yang berpengetahuan tinggi dalam bidang agama, adalah dengan pembangunan sistem pondok yang berperanan melatih kanak-kanak khasnya kanak-kanak lelaki, sejak awal usia mereka kebiasaannya pada usia enam ke tujuh tahun. Kedatangan British membawa kepada pengenalan sistem pendidikan berbentuk sekular, menjadi saingan utama kepada pendidikan informal masyarakat Tanah Melayu ketika itu.

Berikutan kedudukan mereka sebagai pemerintah, British turut sama menjalankan beberapa kempen propaganda bagi melemahkan gerakan sekolah pondok - namun pendidikan pondok gagal dikuburkan, malahan semakin utuh dilandai badai khasnya di mana sistem itu bermula.

Sejarah awal sekolah pondok

gambar lama surau telok bakong

Sejak bila mulanya ajaran pendidikan melalui premis-premis pondok? Tidak diketahui tarikh sebenar terdirinya sekolah pondok pertama di Pulai Chondong, yang terletak di jalan yang menghubungkan daerah Kuala Krai dengan Kota Bharu, tetapi dianggarkan pembukaannya berlaku pada tahun 1820.

Pengasas pondok Pulai Chondong itu pula dipercaya seorang tuan guru bernama Haji Abdul Samad bin Abdullah, lebih mesra digelarkan dengan nama Tok Pulai Chondong sempena nama tempat dia bermastautin. Latar belakang pengajiannya jauh, berasal dari Pattani yang menjadi tempat beliau menuntut ilmu sebelum diberikan peluang belayar ke Mekah bagi melanjutkan pengajian.

Sekolah pondok dinamakan 'pondok' sempena perkataan bahasa arab 'funduq' yang membawa makna rumah penginapan, jadi pelajar yang datang belajar akan disediakan penginapan mereka dalam bentuk ringkas. Setiap pondok akan didiami 3 ke 4 orang pelajar bagi memudahkan mereka menuntut, tanpa perlu berulang-alik.

Berikutan kedatangan lebih ramai alim ulama' ke Kelantan, pembukaan sekolah pondok mengalami perkembangan yang sangat pesat bermula pada tahun 1900. Beberapa tokoh menyahut seruan Tok Pulai Chondong, membuka sekolah aliran sama dengan nama seperti Pondok Tok Bachok, Pondok Kubang Pasu, Pondok Tuan Padang dan Pondok Tok Semaian dibuka.

Wilayah Patani yang ketika itu menjadi pusat pengajian Islam paling aktif di rantau ini melahirkan lebih ramai pendakwah dan lepasan-lepasan pusat pengajian inilah yang terus menyemarakkan lagi usaha memperbanyakkan pondok-pondok di seluruh negeri Kelantan serta kawasan-kawasan bersebelahannya. Antara nama-nama besar ketika itu adalah Syeikh Abdullah Kasim Senggora al-Fatani, Syeikh Daud Abdullah al-Fatani dan Syeikh Muhammad Ismail al-Fatani.

Selain Patani, beberapa orang anak Kelantan yang berjaya menyambung pengajian agama di Mekah juga kembali ke Kelantan, dengan nama seperti Tuan Tabal (Wan Abdul Samad Muhd. Saleh) dan Haji Wan Ali Abdul Rahman Khutam kerap diminta mengajar di sekolah-sekolah pondok yang ada.

Usaha Tuan Tabal dan Haji Wan Ali bekerja keras mengajar serta menterjemahkan kitab-kitab, berhasil selepas Kota Bharu mula dilihat sebagai salah satu pusat yang menjadi tumpuan pelajar datang.

Berdepan ancaman British sebelum sampai ke era kegemilangan

pesantren di indonesia

Kedatangan British walaupun lebih banyak berpaksi kepada penjajahan sebelah pantai barat, turut sama memberikan kesan yang besar kepada kemajuan sistem sekolah pondok di negeri Kelantan.

Britih mula membuka sekolah pertama di Kota Bharu dengan harapan agar sistem pendidikan mereka yang lebih moden serta teratur, mampu membuatkan orang ramai memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke situ.

Selain itu, British juga memilih untuk melabelkan sistem sekolah pondok yang diusahakan secara sendirian tanpa kewujudan satu sukatan khas, sebagai satu bentuk pendidikan yang primitif. Tawaran untuk melanjutkan pengajian dalam sukatan matapelajaran berbentuk moden serta peluang untuk mempelajari Bahasa Inggeris dilihat menguntungkan bagi sesetengah golongan hartawan, jadi sekolah kelolaan British mula menerima kemasukan golongan ini.

Bagaimanapun bagi masyarakat desa, tidak ramai yang mahu menerima apa yang British tawarkan dan terus menyokong usaha sekolah pondok dengan menghantar anak-anak mereka ke situ.

Pada tahun 1917, MAIK menubuhkan sekolah pertama mereka iaitu Madrasah Muhammadiyah yang menerima kemasukan pelajar lelaki, memulakan pendidikan agama dalam bentuk persekolahan formal di negeri tersebut - dengan penawaran pendidikan dalam bidang Melayu, Inggeris dan juga Arab. Sambutan yang diterima oleh masyarakat setempat ketika itu pada mulanya, dingin tetapi beberapa penambahbaikan dilakukan oleh kerajaan Kelantan.

Beberapa tahun selepas itu, MAIK membina beberapa cawangan lain bagi menambah dan memudahkan penerimaan pelajar, disampung memperkenalkan sekolah khas bagi pelajar perempuan pada tahun 1932 di Kota Bharu.

Sekitar tahun 1945, sudah wujud 8 buah sekolah di bawah kendalian MAIK dan sistem sekolah ini, dikatakan bersaing dengan sihat dengan kewujudan sistem sekolah pondok yang masih lagi dipercayai masyarakat tempatan ketika itu.

Berakhirnya kegemilangan sekolah pondok

sekolah pondok tahfiz terbakar

Ekoran daripada kewujudan pelapis atau pengganti sistem persekolahan yang lebih formal serta diselaraskan sukatan pendidikannya, sekolah pondok yang satu ketika dulu mula berkurangan menerima lapisan pelajar-pelajar muda.

Tawaran pendidikan agama yang dikawal selia MAIK serta kelas-kelas bahasa Arab yang diajarkan mula menjadi pilihan masyarakat, secara beransur-ansur. Permintaan orang ramai ketika itu juga mula berubah, lebih selesa untuk mempercayai usaha kerajaan Kelantan mentadbir sistem sekolah berbanding dengan sistem pondok yang diusahakan secara sendirian.

Bermula pada pertengahan 1940-an, sekolah-sekolah pondok yang pernah mencapai hampir ribuan pelajar mula berkurangan, dengan beberapa sekolah terpaksa ditutup atau ditukar kepada sekolah agama seliaan MAIK. Walau demikian, beberapa pondok terus kekal dibuka menjadi tempat di mana golongan lebih berusia mendiami, bagi menambahkan ilmu akhirat.

Sekitar tahun 1970, hanya tinggal 100 buah sekolah pondok di Kelantan dengan jumlah pelajarnya telah menurun sehingga pada kadar 2,000 orang kesemuanya.

Untuk melindungi tradisi sekolah pondok yang telah pun berakar di negeri itu, beberapa pengenalan sistem baru untuk memodenkan persekolahan pondok diperkenalkan. Pada tahun 1995, sebuah badan yang dinamakan sebagai Pusat Pembangunan Pondok Berhad ditubuhkan bagi mentadbir dan menyatukan semua sekolah pondok yang ada di bawah satu pengurusan yang dilantik.

Dalam zaman moden, sistem sekolah pondok masih mengekalkan tradisi mereka sekian lama - membenarkan sesiapa saja tak kira usia untuk masuk belajar, dengan pembukaan sekolah pondok moden yang tidak lagi terletak di kawasan desa malahan mampu dibuka di tengah-tengah kotaraya.

Sistem pesantren yang diamalkan di negara Indonesia juga mula mendapat tempat di hati masyarakat kita, dengan pembukaan banyak pesantren-pesantren di seluruh negara kita. Pada ketika ini, dianggarkan terdapat lebih 40 buah sekolah pondok terus beroperasi di Kelantan - meneruskan legasi pendidikan agama yang harapnya akan terus kekal selagi mana masyarakat kita masih ada.



Hakcipta iluminasi.com (2017)