butik burberry 177

Burberry, sebuah jenama ikonik dan mewah dari British yang terkenal dengan rekabentuk klasik corak kotak (dikenali sebagai plaid) mempunyai cara tersendiri untuk mengelakkan produknya jatuh ke golongan yang kurang berkemampuan. Bagi mereka, sekiranya produk, aksesori dan pakaian mewah yang dihasilkannya tidak boleh dijual pada harga diskaun kerana hal tersebut akan menjatuhkan imej jenama mereka.

Oleh itu, bagi mengelakkan produk-produk lama dijual pada harga diskaun, mereka akan melupuskan stok tersebut dengan membakarnya. Pada tahun 2017 sahaja, syarikat ini sudah melupuskan produk mereka yang berjumlah $37 juta. Jumlah itu bersamaan dengan 20,000 helai kot ikonik mereka yang dijual pada harga premium.

Produk-produk ini dilupuskan dengan cara membakarnya. Perkara ini sudah tentulah mendapat respon yang negatif daripada pemilik saham dan orang ramai yang menyifatkannya sebagai satu pembaziran. Malah, pembakaran produk-produk ini tentulah akan mencemarkan alam sekitar.

Bertujuan untuk menjaga imej ekslusif jenama Burberry

tshirt burberry

Apa yang didedahkan mengenai Burberry bukanlah sesuatu yang baru. Malah, tindakan seperti itu juga turut dipraktikkan oleh jenama-jenama mewah yang lain untuk melindungi jenama mereka yang dianggap ekslusif untuk golongan tertentu sahaja.

Dengan membakar stok-stok lama tersebut, ia akan dapat mengelakkan produk tersebut dijual pada harga murah. Tindakan ini seterusnya akan mengelakkan mereka yang kurang berkemampuan membelinya. Bagi Burberry dan jenama-jenama mewah lain, golongan pertengahan dan bawahan ini bukanlah sasaran pembeli mereka dan pemilikan produk mereka oleh golongan ini dipercayai akan menjatuhkan imej jenama mereka.

Pihak Burberry mengatakan bahawa mereka hanya melupuskan produk yang mempunyai tanda dagang mereka. Salah seorang jurucakap Burberry mengatakan bahawa syarikat tersebut mempunyai proses yang ketat untuk meminimumkan jumlah stok yang berlebihan yang hasilkan .

Menurutnya lagi, tindakan ini bukanlah sesuatu yang baru. Malah, Burberry telah melupuskan produk mereka yang berjumlah $116 juta keseluruhannya sejak 5 tahun kebelakangan ini. 

Tindakan drastik untuk menaikkan semula jenama Burberry

produk burberry

Seperti jenama-jenama mewah lain, Burberry juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa barangan tiruan. Malah, terdapat banyak produk tiruan di pasaran yang menggunakan tanda dagang jenama ini walhal syarikat Burberry tidak pernah mengeluarkannya sama sekali.

Kewujudan barangan-barangan tiruan jenama Burberry menyebabkan orang golongan pertengahan dan bawahan mampu memilikinya. Menurut Burberry, perkara ini telah menjatuhkan reputasi jenama mereka.

Kritikan daripada orang ramai

produk tiruan

Tindakan Burberry menghapuskan produk-produk mereka yang berjumlah puluhan juta dollar semata-mata untuk menyelamatkan status dan taraf jenama tersebut ternyata tidak disenangi banyak pihak.

Tindakan Burberry ini telah mendapat pelbagai kritikan daripada orang ramai melalui laman web Twitter. Seorang pengguna Twitter, Dominic McGregor mengatakan bahawa dalam keadaan musim sejuk yang panjang dan kewujudan golongan gelandangan yang tiada tempat berteduh, adalah lebih baik sekiranya pihak Burberry mendermakan pakaian tersebut kepada badan amal atau pusat perlindungan untuk membantu mereka yang memerlukan.

Seorang lagi pengguna Twitter, @fiellabella mengatakan bahawa tindakan Burberry ini merupakan tindakan yang mementingkan diri sendiri. Ketika mana jutaan manusia masih sukar meneruskan kehidupan tanpa bekalan air bersih, tiada makanan dan baju untuk dipakai, Burberry sanggup melupuskan produk mereka begitu sahaja sema-mata untuk menjaga reputasi jenama mereka.

Beberapa cadangan untuk mengatasi masalah ini

burberry

Setelah pendedahan mengenai kegiatan melupuskan produk oleh Burberry ini, terdapat juga pihak yang tampil untuk memberikan cadangan. Lu Yen Roloff daripada organisasi Greenpeace dalam wawancaranya bersama BBC mengatakan salah satu tindakan yang boleh diambil oleh Burberry untuk mengelakkan kejadian ini adalah mengurangkan keluaran produknya setiap tahun untuk mengelakkan lebihan yang terpaksa dilupuskan.

Seorang lagi pengguna Twitter, @Inkydom pula mencadangkan agar Burberry membuang segala label dan cap dagangan pada lebihan stok tersebut sebelum menjualnya pada harga yang lebih murah. Dengan cara ini, ia sama sekali tidak akan merendahkan reputasi Burberry dan pada masa yang sama mengelakkan pembaziran.

Akibat daripada kritikan orang ramai terhadap Burberry, CEO Burberry Marco Gobbetti mengatakan akan menghentikan tindakan melupuskan lebihan produk mereka ini serta merta. Sebaliknya, produk-produk yang tidak terjual tersebut akan dibaik pulih, dikitar semula atau didermakan.

Kredit:

  1. The Times
  2. CNBC
  3. The Guardian

tags : , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)