Oleh pada 05 Jul 2019 kategori

Kredit gambar sepenuhnya kepada Walid @ Galeri Epik

"Takkan Melayu hilang di dunia". Ini adalah kata-kata hikmat terkenal ucapan pahlawan legenda Melayu, Hang Tuah.  Hang Tuah adalah seorang pahlawan yang tinggal di Melaka semasa zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah pada abad ke-15.

Dia dikatakan yang paling handal berlawan dari kalangan laksamana dan dianggap sebagai mahaguru silat paling hebat dalam sejarah Melayu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Hang Tuah sangat disanjungi atas kehebatan dan ketaatannya. Walau bagaimanapun, terdapat pihak yang mendakwa bahawa kisah tentang Hang Tuah hanyalah satu mitos dan rekaan semata-mata.

Pendapat ini disangkal selepas penemuan baru yang membuktikan bahawa Hang Tuah benar-benar wujud.

Kajian yang diterbitkan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) mendakwa telah berjaya memperincikan lagi tentang pengakhiran kehidupan pahlawan Melayu ini, yang mana selama ini dikatakan meninggal dunia di rumahnya di Melaka.

keris yang ditemukan di okinawa jepun didakwa milik hang tuah

Professor Emeritus Dr Hashim Musa, Felo Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi Moden UPM yang mengetuai pasukan penyelidikan ini memberitahu bahawa Hang Tuah mungkin telah berhijrah ke Temasuk yang kini dikenali sebagai Singapura.

Dia kemudiannya dikatakan berhijrah ke Riau di Palembang, Indonesia ketika berusia 80 tahun dan tinggal di sana sehingga ke nafas terakhirnya.

Selain itu, kisah-kisah sejarah yang diceritakan oleh penduduk Riau menyokong penemuan ini di mana mereka menemukan pusara Hang Tuah di sana. 

Pasukan penyelidik UPM juga telah melakukan ujian DNA ke atas mayat yang ditemui di kubur itu dengan individu-individu yang dikatakan dari keturunan Hang Tuah.

Jika benar bahawa Hang Tuah sebenarnya meninggal dunia dan dikebumikan di Palembang, maka pusaranya di Tanjung Keling, Melaka boleh dianggap sebagai tidak lebih dari tugu memperingati Hang Tuah.

Hang Tuah pernah sampai ke Jepun

keris melayu dijumpai di okinawa jepun

Malah, penyelidikan ke atas sejarah Hang Tuah ini juga membuatkan mereka percaya bahawa pahlawan berani ini pernah mengembara jauh sehingga ke Okinawa, Jepun.

Pada tahun 2002, sebilah keris kuno telah ditemui di kawasan Kuil Engakuji, berhampiran dengan Istana Shurijo abad ke-15, yang mana mungkin membongkar hubungan dunia Melayu dengan pulau-pulau barat daya Jepun ini.

Ketika proses membaik pulih Kuil Engakuji yang telah rosak akibat perang, pekerja pembinaan terjumpa bekas porselin di tapak upacara keagamaan kuil itu.

Penggalian arkeologi kemudian menemui sembilan lagi barangan lain, termasuklah sebilah keris yang mana merupakan objek yang sangat asing di Jepun.

Ahli sejarah percaya bahawa keris ini mungkin berasal dari Melaka atau Jawa kerana Okinawa dan pulau sekitarnya di bawah Kerajaan lama Ryukyu mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan dengan bandar-bandar dan pelabuhan purba di Asia, termasuk Melaka, sebelum ia menjadi sebahagian daripada Jepun pada tahun 1879.

kuil engakuji

(Kuil Engakuji di Okinawa, Jepun)

Profesor Dr. Kurayoshi Takara, sejarawan dari University of The Ryukyu berkata beliau secara peribadinya percaya bahawa keris itu mungkin berasal dari Melaka kerana Kerajaan Ryukyu telah mula berdagang dengan Melaka pada abad ke-15

Dr Hashim Musa dan pasukannya telah melawat Okinawa pada tahun 2015 untuk memeriksa keris dikatakan milik Hang Tuah ini.

Selain itu, lawatan tersebut juga memeriksa 19 surat yang berada di bawah pemilikan Kerajaan Ryukyu. Surat merupakan cara komunikasi antara Kesultanan Melayu Melaka dan pemerintah Okinawa, yang merupakan jajahan Cina pada ketika itu.

3 daripada 19 surat yang diperiksa itu, didakwa telah ditulis dan ditandatangani oleh Hang Tuah.

Berikutan ini, Ismail Mohamed Yaacob yang merupakan keturunan Hang Tuah mengatakan bahawa penemuan ini membuktikan bahawa kewujudan nenek moyangnya adalah satu fakta dan bukannya mitos.

Lebih terperinci, pasukan penyelidik ini mengenal pasti bahawa tarikh kelahiran Hang Tuah adalah pada tahun 1431.

Dengan ini, kewujudan Hang Tuah disahkan melalui kajian pemerhatian dan pengalaman buat pertama kali menggunakan sumber serta artifak luar negara.

Kajian ini lebih kuat dan menyeluruh berbanding yang dilakukan sebelum ini yang mana hanya berdasarkan nukilan tempatan seperti melalui tulisan manuskrip Hikayat Hang Tuah.

Hang Tuah dan Leonardo Da Vinci pernah bertemu?

pernahkah hang tuah dan leonardo da vinci bertemu

Juga terdapat teori yang mengatakan pelukis Renaissance terkenal, Leonardo da Vinci mungkin pernah bertemu dengan Hang Tuah di antara tahun 1503 dan 1506.

Kemungkinan ini ditemui oleh para penyelidik melalui susunan tulisan dan lukisan Leonarda da Vinci iaitu The Notebooks of Leonardo da Vinci.

Mereka meneliti naskhah-naskhah tersebut dan cuba untuk menentukan siapa sebenarnya bangsawan Melaka yang disebutkan oleh da Vinci.

Dalam nota tersebut, da Vinci menulis, "Aku melukis sebuah kenderaan selepas bertemu dengan bangsawan Melaka". Namun, perkataan selepas itu tidak jelas.

the notebooks of leonardo da vinci

Jika dilihatkan berdasarkan zaman, terdapat kemungkinan kedua-dua tokoh ini untuk bertemu kerana hidup pada masa yang sama di mana da Vinci lahir pada tahun 1452 manakala Hang Tuah lahir 21 tahun lebih awal iaitu pada tahun 1431.

Waktu dan tempat pertemuan antara da Vinci dan Hang Tuah yang tepat masih belum pasti, tetapi kedua-dua mereka berada di puncak reputasi mereka pada ketika itu.

Rujukan:

1. Coconuts

2. NST

3. Star

4. BH




Hakcipta iluminasi.com (2017)