Kisah-kisah berkenaan kehebatan pahlawan Melayu zaman dahulu, seringkali berkait dengan kepercayaan-kepercayaan mistik.
Hasil daripada gabungan kedua-dua elemen baik kemampuan fizikal dan kekuatan batin, individu yang menguasai ilmu sebegini dikatakan mempunyai kemampuan luar biasa jauh melebihi individu lain - termasuklah Allahyarham Mat Kilau sendiri.
BESARKAN TEKS A- A+
Apakah kebolehan atau kemampuan yang beliau ada? Berikut adalah lima kisah berkenaan keupayaan luar biasa Allahyarham dalam menentang penjajahan British di Tanah Melayu.
1. Mampu memanaskan minyak atas tangan
Pernahkah anda melihat adegan pertunjukan seni pertahanan diri di mana seorang pengamal akan mencelupkan tangan beliau ke dalam minyak panas dan bila ditarik tangannya - keadaan fizikal tangannya masih tiada cacat cela?
Teknik mencelup tanpa membakar itu sebenarnya boleh dilakukan sesiapa saja, asalkan tahu menghitung waktunya agar tidak terlalu lama. Ini kerana dari aspek sains, wujud kesan fenomena dinamakan kesan leidenfrost - di mana suhu panas gagal menembusi permukaan disebabkan oleh tindak balas gas cecair yang ada.
Oleh sebab itulah banyak video mampu memaparkan individu-individu berkebolehan mampu mencelup tangan dalam minyak panas hanya dengan tangan. Tetapi bagi Mat Kilau - kebolehan beliau dilaporkan berbeza.
Menurut satu laporan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 4 Januari 1970, Mat Kilau mempunyai kebolehan memanaskan minyak yang diletakkan di atas tangannya. Kami tidak ada penjelasan tentang fenomena tersebut sekiranya benar.
2. Hendak menyerang 2,000 askar dengan sekumpulan kecil pahlawan
Dalam laporan sama juga, ada diceritakan oleh seorang ahli sejarah bernama Haji Mohamad Noor bin Yusuf - berlaku satu peristiwa yang memperjelaskan tentang tahap keberanian sebenar Mat Kilau yang harus kita contohi.
Allahyarham Mat Kilau semasa hidup rapat dengan seorang pembesar di Machang, Kelantan bernama Tengku Sulia Kemuning. Satu rancangan di antara British dan kerajaan Siam bagi memaksa Mat Kilau keluar dari persembunyian, melibatkan Tengku Sulia Kemuning.
British dan Siam bersetuju untuk menggunakan Tengku Sulia Kemuning sebagai umpan, agar ditangkap dan dibawa ke Siam. Pada mulanya Mat Kilau dan beberapa orang sahabatnya mahu menyerang secara berdepan kira-kira 2,000 askar Siam yang ditugaskan hadir membawa pergi Tengku Sulia Kemuning.
Bayangkan, sekumpulan kecil pemberontak nak lawan 2,000 askar bersenjata lengkap. Tindakan gila itu bagaimanapun berjaya dihalang Tengku Sulia Kemuning, yang meyakinkan Mat Kilau untuk tidak bertindak membabi buta.
3. Kerisnya membawa kisah yang unik
Bergelar pahlawan, sudah tentulah senjata menjadi salah satu kelengkapan utama. Bagi pahlawan Melayu, keris menjadi simbol utama identiti. Pencarian berkenaan senjata-senjata yang pernah digunakan Mat Kilau memang menjadi minat orang ramai.
Anak kepada salah seorang sahabat Mat Kilau bernama Pendekar Demali, Che' Mah binti Mat Ali pada tahun 1971 pernah berkata ada dua senjata yang telah hilang di kawasan sekitar Gunung Semanggul, Perak - satu milik Tok Bahaman dan satu lagi milik Mat Kilau sendiri.
Selepas kemunculan semula Mat Kilau pada tahun 1970, Che' Mah pernah diarahkan untuk cuba mencari kembali kedua-dua keris itu namun usahanya tidak berhasil. Pertemuan Che' Mah dengan Mat Kilau meninggalkan satu memori aneh kepada Che' Mah.
Mat Kilau dalam perjumpaan itu bertindak menjampi dahi anak kepada sahabatnya, sehinggakan Che' Mah merasa seakan-akan ada sesuatu telah ditarik keluar dari dalam kepala. Bagaimanapun Che' Mah sendiri tidak mengetahui apa berlaku dan Allahyarham Mat Kilau juga tidak menjelaskan apa yang telah dilakukan.
Dua keris yang hilang itu diperbuat daripada besi jenis kuning dan putih, sementara satu lagi bilah keris Mat Kilau yang masih terpelihara dikatakan diperbuat daripada besi hijau.
4. Bertarung dengan dilindungi ilmu kebal Mat Kelantan
Salah satu dakwaan paling menggemparkan berkenaan kaedah pertempuran yang digunapakai Mat Kilau, tidak diceritakan Mat Kilau sendiri - sebaliknya diceritakan oleh seorang lelaki lain bernama Mat Saman bin Sulaiman atau lebih dikenali sebagai 'Mat Kelantan.'
Pada awal kemunculan Mat Kelantan, beliau mengaku dia dan Mat Kilau bersahabat akrab serta terlibat dalam siri-siri pemberontakan yang telah dirancang. Apa yang menarik, Mat Kelantan mengaku beliau mempunyai hikmat yang banyak membantu Mat Kilau ketika bertarung khususnya dalam satu pertembungan di Kuala Tembeling.
Menyifatkan Mat Kilau seorang yang kacak, segak, gagah dan tampan serta dianggap seperti anaknya sendiri, Mat Kelantan berkata ilmu yang dimilikinya membolehkan 180 orang pahlawan yang berdiri di belakang beliau kebal daripada sebarang bentuk serangan senjata.
Pertempuran di Kuala Tembeling itu menyaksikan Mat Kelantan nekad berdiri di depan sekali bagi melindungi Mat Kilau dan individu lain, membolehkan hanya seorang sahaja cedera - itupun kerana dia tak sengaja memintas keduudkan Mat Kelantan.
Hanya selepas Mat Kelantan dipanggil mengadap Sultan Kelantan bagi memperjelaskan dakwaan-dakwaan ini, barulah didedahkan bahawa kebanyakan kisah yang diceritakan Mat Kelantan hanyalah tokok-tambah dirinya, termasuklah penglibatannya dalam pertempuran di Kuala Tembeling.
5. Busut timbul selepas kemunculan Mat Kilau
Mungkin berlaku secara kebetulan atau mungkin ada kaitan dengan kemunculan semula Mat Kilau dari persembunyian, sebuah busut mula terbentuk di dalam kediaman Mat Kilau selepas dia muncul.
Selain ramai orang tertanya-tanya berkenaan kemunculan semula Mat Kilau yang menjadi persoalan satu negara, orang ramai yang hadir bagi melawat pahlawan itu juga merasa aneh kenapa ada busut yang dalam rumah tersebut.
Apa yang lebih aneh, busut itu terbentuk dengan sangat cepat berbeza dengan busut-busut lain yang 'terbina' dalam tempoh lebih panjang, sehinggakan ketinggian busut itu mencapai lebih 3 kaki selepas beberapa minggu kepulangan Mat Kilau.
Anak Mat Kilau yang bernama Tok Umar, digambarkan berdiri di tepi busut yang ada - meraikan kembalinya ayah yang tercinta serta busut yang muncul di kediaman mereka. Tidak diketahui apa berlaku kepada busut tersebut dan serangga apa yang membuatnya.