Oleh pada 19 Mar 2018 kategori

Jika sesuatu kenyataan palsu diulang berulang kali dan menjadi tular daripada seorang kepada orang yang lain, lama-kelamaan kenyataan palsu itu boleh dianggap sebagai satu "fakta." 

Anda mungkin biasa mendengar beberapa "fakta" berikut sejak kecil, namun kini tiba masanya kami bongkarkan perkara sebenar untuk anda. Jangan biarkan hidup anda ditipu selama-lamanya, okey?

1. Mana satukah yang lebih berat: sepaun emas atau sepaun bulu pelepah?

Anda mungkin menyangka yang ini hanyalah satu soalan sains trick yang boleh membuatkan anda keliru. Namun, anda sebenarnya salah jika menyangka yang kedua-duanya mempunyai berat yang sama. Tahukah anda, satu paun bulu pelepah adalah lebih berat?

bulu lagi berat dari emas

Ini disebabkan emas atau mana-mana logam berharga ditimbang menggunakan sistem ukuran troy. Jadi, jika anda menukarkannya ke dalam sistem ukur timbang yang sama, satu paun emas adalah sekitar 373.24 gram manakala satu paun bulu pelepah pula adalah lebih kurang 453.59 gram.

2. Puncak gunung yang paling jauh dari pusat bumi

Ramai orang kebiasaannya dengan pantas akan menjawab Gunung Everest jika diajukan soalan ini. Walau bagaimanapun, puncak tertinggi yang paling jauh dari pusat bumi adalah puncak Gunung Chimborazo di Ecuador.

gunung tertinggi di dunia

Dunia ini sebenarnya berbentuk menggelembung di bahagian khatulistiwa kerana ia bukanlah sfera yang sempurna. Disebabkan Chimborazo berada betul-betul di atas garisan khatulistiwa, maka puncaknyalah yang berada paling jauh dari teras bumi. Gunung Everest pula hanyalah gunung tertinggi di dunia yang diukur dari kaki gunung sehingga ke puncak. 

3. Memori ikan emas

Dari kecil lagi kita disogokkan dengan fakta yang seekor ikan emas hanya mempunyai memori selama 3 saat. Sebenarnya, memori ikan emas boleh bertahan lebih lama daripada yang kita sangka.

ikan emas pelupa

Mitos teori ini pernah dibongkarkan pada tahun 2008 oleh seorang pelajar berusia 15 tahun bernama Rory Stokes dari Adelaide yang melakukan eksperimen sendiri di makmal sekolah. Menurut seorang penyelidik dari Macquarie University, eksperimen Rory berjaya membuktikan yang ikan emas belajar melalui kaedah pelaziman klasik. Ia sebenarnya adalah haiwan yang pintar dan boleh mengingati sehingga setahun lamanya walaupun mempunyai otak bersaiz 380,000 kali lebih kecil daripada seorang bayi manusia.

4. Pancaindera manusia

Tahukah anda, anda bukan sahaja sekadar mempunyai lima deria? Ramai ahli neurologi telah mengenal pasti lebih daripada sepuluh deria yang dimiliki manusia. Selain daripada lima pancaindera asas iaitu sentuhan, rasa, bau, penglihatan dan pendengaran, ada pelbagai lagi deria yang dihasilkan melalui lima deria asas ini.

deria manusia ada berapa

Misalnya, sentuhan dihasilkan oleh beberapa deria somatik termasuklah persepsi terhadap panas, kesakitan dan tekanan. Contoh lain adalah deria organik iaitu deria yang berkaitan keadaan dalaman tubuh seperti rasa lapar dan dahaga.

5. Sumpah-sumpah bertukar warna kulit

Jika anda menyangka sesumpah menukar warna untuk menyamarkan diri mengikut persekitaran, sangkaan anda itu adalah kurang tepat. Sebenarnya terdapat pelbagai sebab seekor kameleon jantan mengubah warna kulitnya.

sesumpah bertukar warna kulit

Antara punca utama adalah perubahan mood, medium komunikasi dan perubahan suhu. Jika sumpah-sumpah itu sedang gembira dan ingin mengawan bersama pasangan, ia akan mengubah warna kulit. Begitu juga jika suhu menjadi lebih sejuk, itu juga salah satu punca ia 'menyamar.'

6. Ikan jerung tidak akan dijangkiti kanser

Fakta sebenarnya adalah, ikan jerung boleh mendapat kanser. Terdapat satu mitos tular yang mengatakan ikan jerung imun daripada kanser dan tulang rawannya boleh menyembuhkan penyakit itu sehingga menyebabkan ramai orang memburu haiwan ini.

ikan jerung kanser

Akan tetapi, ia adalah tidak benar kerana tidak ada kajian sehingga kini yang membuktikan tulang rawan jerung boleh membantu mengubati barah. Malah, aktiviti pemburuan jerung hanya lebih mengecilkan populasi spesies terancam ini. Setiap tahun, manusia membunuh hampir 100 juta ekor jerung untuk dijadikan makanan dan dijadikan ubat kanser.

7. Lembu jantan menjadi marah apabila melihat warna merah

Pada mulanya, matador di Sepanyol mengibarkan mantel berwarna merah terang untuk membuatkan lembu jantan mengamuk hanya untuk suka-suka. Para penonton kemudian mula membuat kesimpulan dengan menganggap warna merah itulah yang membuatkan lembu jantan meradang.

metador lembu tak suka warna merah

Walau bagaimanapun, penglihatan lembu adalah sama seperti seorang yang buta warna kerana ia mempunyai penglihatan dikromatik. Sebenarnya, pergerakan fabrik mantel itulah yang membuatkan lembu teruja dan meluru ke arah matador dengan laju.

Kini anda dah tahu. Sekarang bolehlah sebarkan fakta yang betul kepada rakan-rakan anda juga.


tags : , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)