"Tumpahan minyak" secara harfiahnya bermaksud penumpahan cecair hidrokarbon petroleum ke dalam ekosistem laut atau daratan.

Antara kes tumpahan minyak yang paling terkenal dalam sejarah termasuklah insiden tumpahan minyak Exxon Valdez di Alaska pada tahun 1989.

Insiden itu masih dikenali sebagai salah satu tumpahan minyak terburuk dalam sejarah industri petroleum, diikuti oleh Gulf of Mexico atau tumpahan Deep Water Horizon pada tahun 2010.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun insiden-insiden ini adalah bencana besar yang mendapat perhatian antarabangsa dan mencetuskan kemarahan global, dilaporkan terdapat 20,000 tumpahan minyak lain setiap tahun di seluruh dunia.

Apa yang menyebabkan tumpahan minyak?

insiden tumpahan minyak exxon valdez

(Insiden tumpahan minyak Exxon Valdez tahun 1989)

Tumpahan minyak adalah hasil daripada kemalangan semula jadi dan juga buatan manusia. Dalam kes faktor semula jadi, tumpahan minyak boleh terjadi akibat badai di lautan.

Insiden tumpahan minyak paling kerap berlaku disebabkan oleh kemalangan melibatkan saluran paip, kilang penapis, tangki, tong, pusat simpanan dan pelantar penggerudian.

Ia juga boleh berlaku akibat kecuaian pengendalian peralatan, peralatan tidak berfungsi atau kerosakan yang sengaja dilakukan oleh pengganas, aktiviti ketenteraan atau pembuangan haram.

Apa yang berlaku selepas minyak tertumpah?

tumpahan minyak deep water horizon

Adalah penting untuk mengetahui tentang kesan minyak bergantung pada jenis minyak yang tertumpah. 

Semua tahu bahawa minyak dan air tidak akan bercampur dan secara dasarnya, minyak terapung di atas air (air masin) tetapi dalam kes-kes yang jarang, minyak-minyak yang lebih berat mungkin tenggelam di dalam air.

Sebaik sahaja minyak tumpah, ia mula tersebar ke dalam air. Dan ketika ia menjadi rata secara perlahan-lahan, ia akan membentuk lapisan nipis.

Akhirnya, lapisan ini menjadi semakin tebal dan membentuk air yang berkilau-kilauan.

Apakah kesan buruk tumpahan minyak?

kesan tumpahan minyak kepada haiwan

Bukan tumpahan minyak sahaja yang menyebabkan bahaya kepada alam sekitar dan kehidupan marin, tetapi juga operasi pembersihan.

Apabila bersentuhan dengan hidupan marin, minyak akan membahayakan bahagian dalaman dan juga luar hidupan tersebut.

Oleh kerana minyak mempunyai unsur-unsur yang beracun, ia boleh membahayakan diri secara dalaman melalui penyedutan dan secara luaran melalui sentuhan kulit serta kerengsaan mata.

Minyak juga meliputi lapisan bulu burung dan haiwan lain, sekaligus menghalang homeostasis haiwan tersebut (pengawalan suhu badan).

Oleh kerana sebahagian besar daripada minyak terapung di lautan, memerang laut dan burung laut adalah haiwan yang paling banyak terjejas kerana bersentuhan dengan air di permukaan.

Terdapat pusat pemulihan di AS untuk menjaga burung dan mamalia yang telah terdedah kepada jumlah minyak yang terlalu banyak.

Bolehkah jenis tumpahan minyak yang berlainan mempunyai kesan yang berbeza?

insiden tumpahan minyak deep water horizon

Seperti yang dinyatakan di atas, terdapat pelbagai jenis minyak yang wujud ketika ini, maka setiap satu daripadanya memberikan kesan yang berbeza kepada lautan dan juga hidupan laut.

Minyak ringan

Minyak seperti diesel dan petrol dikenali sebagai minyak ringan. Berita baik akibat tumpahan minyak jenis ini adalah ia mudah menguap pada suhu normal selepas tumpahan berlaku.

Ini bermakna bahawa minyak jenis ini tidak akan kekal dalam badan air untuk jangka masa yang panjang, tetapi sesetengah minyak ringan mudah meletup dan toksik.

Ini bermakna ia boleh membunuh mana-mana makhluk laut hanya yang bersentuhan dengannya. Ia juga berbahaya bagi manusia yang menghirup asap beracunnya.

Minyak berat

Minyak bunker adalah minyak yang digunakan untuk mengisi kapal dan dikenali sebagai minyak yang lebih berat. Ia berwarna hitam, melekat dan boleh bertahan dalam air untuk tempoh yang lebih lama sehinggalah dihapuskan.

Walaupun ia berketahanan tinggi, namun minyak bunker kurang toksik jika dibandingkan dengan minyak ringan.

Ancaman jangka pendek yang disebabkan oleh minyak jenis ini adalah ialah ia menyelaputi badan haiwan atau ikan serta membuatkan haiwan lemas. 

Selepas beberapa hari dan minggu berlalu, minyak jenis ini biasanya mengeras dan menjadi serupa dengan asfalt (salah satu bahan digunakan untuk membina jalan raya).

Kemudaratan jangka panjang adalah minyak jenis ini boleh menyebabkan tumor di mana sebaik sahaja ia menyelaputi burung, ia boleh menyebabkan hipotermia dan kematian kerana ia menghalang homeostasis.

Bagaimana cara untuk bersihkan tumpahan minyak?

kerja pembersihan tumpahan minyak di laut

Pembersihan tumpahan minyak bergantung kepada jenis minyak, lokasi dan keadaan cuaca.

Tumpahan minyak mentah memerlukan dua pendekatan pembersihan yang berbeza, berbanding minyak halus yang hanya memerlukan satu pendekatan.

Tumpahan minyak dalam air laut dan air tawar juga adalah berbeza.

Keadaan cuaca seperti suhu udara dan air, kelajuan angin dan arahnya, arus, pasang surut, dan kehadiran ais semuanya menjejaskan proses pembersihan.

Bagaimanapun, terdapat empat kaedah pembersihan tumpahan minyak.

kerja pembersihan tumpahan minyak di laut 2

Sekiranya tumpahan minyak tidak berlaku berhampiran pantai atau menjejaskan industri marin, sebaiknya dibiarkan sahaja agar ia tersebar secara semula jadi.

Seperti yang dijelaskan, minyak ringan meruap dengan cepat, maka tumpahan minyak ini dibiarkan begitu sahaja.

Angin, matahari, ombak dan arus akan menangani minyak ini secara semula jadi. Ia mungkin kedengaran seperti tidak bertanggungjawab, tapi terdapat banyak lagi teknik pembersihan, termasuklah:

Penghalang fizikal

teknik pembersihan tumpahan minyak guna boom

(Boom)

Tumpahan minyak dikelilingi oleh "boom", sejenis halangan terapung sementara yang digunakan untuk mencegah minyak daripada tersebar ke pantai, pelabuhan dan tanah rawa. 

Ia juga untuk mengasingkan lapisan minyak dan menyerap minyak masuk ke dalamnya. Setelah tumpahan minyak "dikepung" peranti ini, ia kemudiannya dikumpulkan menggunakan peralatan yang dikenali sebagai skimmer.

Skimmmer ini digunakan di dalam sempadan yang dibentuk oleh boom bagi menyedut minyak masuk ke dalam tangki simpanan.

Selepas proses ini, pekerja menggunakan penyerap untuk menyerap minyak yang tersisa. Penyerap ini datang dalam tiga jenis iaitu penyerap organik seperti straw, jerami, gambut lumut dan habuk papan.

Penyerap bukan organik semulajadi adalah tanah liat, abu gunung berapi dan pasir manakala penyerap sintetik adalah polipropilena dan polietilena.

Dispersan kimia

dispersan kimia digunakan untuk kerja pembersihan tumpahan minyak

Dispersan adalah cecair atau gas yang digunakan untuk menyebarkan zarah kecil dalam medium.

Ia mempercepatkan biodegradasi semulajadi dengan memecahkan minyak.

Teknik ini paling berkesan apabila digunakan dalam beberapa jam selepas tumpahan minyak berlaku. Malangnya, bahan-bahan ini tidak boleh digunakan untuk semua jenis tumpahan minyak.

Dispersan berguna untuk mencegah minyak daripada memasuki ekosistem penting, tetapi kerana ia adalah bahan kimia, ia juga boleh memasuki rantai makanan dan menyebabkan kemudaratan.

Pengenalan agen biologi untuk mempercepatkan biodegradasi

kerja pembersihan tumpahan minyak di laut 3

Ini adalah kaedah yang agak serupa dengan dispersan, tetapi secara semula jadi.

Dengan menambah nitrogen dan fosforus, ia akan merangsang pertumbuhan mikroorganisma yang secara semula jadi memecahkan minyak menjadi asid lemak dan karbon dioksida.

Kesimpulan

kerja pembersihan tumpahan minyak di laut 4

Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

Walaupun ada teknik yang telah ditetapkan untuk membersihkan tumpahan minyak, adalah lebih baik untuk kita menghalangnya daripada berlaku secara sepenuhnya. 

Undang-undang dan peraturan yang stabil mengenai industri petroleum boleh mencegah kemalangan buatan manusia yang menyebabkan pencemaran tumpahan minyak yang serius.

Ini juga akan membantu melindungi keseluruhan ekosistem marin, dari burung dan ikan ke tumbuhan akuatik dan mikroorganisma penting.

Rujukan:

1. Smithsonian Institution 

2. NOAA 

3. Science

4. University Of Delaware




Hakcipta iluminasi.com (2017)