Kita sudah memang mengenali personalitinya sebagai seorang yang sangat merendah diri dan hidup seperti orang kebanyakan sahaja. Rumahnya tidaklah gah sebesar istana, gaya pakaiannya juga biasa-biasa sahaja.

Kita kenali beliau sebagai salah seorang jutawan muda terkaya di dunia dengan nilai aset hari ini berjumlah $71.9 bilion. Kita juga tahu beliau bersama isteri banyak melakukan kerja-kerja kebajikan dengan menyalurkan jutaan dolar ke tabung Chan Zuckerberg Initiative.

mark zuckerberg hartawan dermawan gaji satu dolar

Itulah Mark Zuckerberg yang kita kenali. Tapi tahukah anda, walaupun mempunyai jumlah harta kekayaan bernilai puluhan bilion dolar, beliau hanya dibayar gaji sebanyak 1 dolar sahaja setahun?

Pada tahun 2013, Zuckerberg mula membuat permintaan agar kadar gajinya dikurangkan menjadi hanya $1, sekali gus menjadikannya staf Facebook dengan bayaran gaji paling rendah di syarikat teknologi gergasi itu.

Ya, anda mungkin akan fikir ini merupakan satu trend dan salah satu taktiknya untuk mengelakkan dikenakan cukai tinggi. Mesti beliau masih dibayar pelbagai elaun dan bonus, kan?

gaji dan bayaran imbuhan mark zuckerberg satu dolar

Untuk pengetahuan anda, Zuckerberg memilih untuk tidak menerima sebarang elaun bulanan mahupun bonus tahunan. Syarikat hanya memberikannya kemudahan menggunakan pesawat syarikat, membayar peralatan keselamatan Zuckerberg di rumah dan bayaran gaji pengawal keselamatan ketika beliau membuat perjalanan.

Namun, kos-kos ini dianggarkan sekitar $16 juta antara 2011 hingga 2015. Ramai orang telah mempertikaikan bayaran 'elaun' mewah ini, termasuklah pemegang saham Facebook sendiri.

pengawal keselamatan mark zuckerberg

Wakil dari Facebook pernah mengeluarkan kenyataan bahawa langkah-langkah keselamatan itu perlu diambil kerana Zuckerberg merupakan seorang individu yang amat terkenal. Sebagai pengasas syarikat itu dan namanya yang begitu sinonim dengan Facebook, beliau sentiasa terdedah kepada banyak sentimen negatif dan orang yang berniat jahat.

Dan disebabkan Facebook mempunyai misi syarikat untuk menghubungkan dunia tanpa sempadan, beliau perlu banyak bergerak ke serata dunia untuk menjalankan tugas-tugas korporat.

Jika Zuckerberg tidak menerima sebarang imbuhan tunai, apakah motif sebenar beliau sanggup melepaskan bayaran gaji dan insentif yang lumayan setiap bulan?

chan zuckerberg initiative facebook

Ini disebabkan Zuckerberg memegang prinsip yang sama seperti isterinya. Keutamaan mereka bukanlah untuk menjadi kaya-raya. Mereka mempunyai impian yang lebih besar daripada itu.

Dalam satu sesi townhall yang dibuat di laman Facebook milik Zuckerberg pada tahun 2015, seorang lelaki bernama Joe Byer bertanyakan mengapa beliau memilih untuk bergaji satu dolar.

Zuckerberg membalas, "Saya sudah miliki wang secukupnya. Saya hanya mahu memberikan tumpuan untuk membuat kebaikan dengan apa yang saya ada."

azam tahun baru 2017 mark zuckerberg untuk lebih berhubung dengan manusia

Selain itu, Zuckerberg juga mahu membantu orang yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan. Ramai orang tidak bernasib baik meninggal dunia begitu sahaja tanpa menerima peluang yang sepatutnya. Zuckerberg ingin menjadikan dunia ini lebih baik dengan apa yang beliau miliki.

kenapa mark hanya mahu gaji satu dolar

Mungkin ada yang merasakan beliau membalas sekadar cakap kosong melepaskan batok di tangga ketika membuat ulasan tersebut. Tapi pada penghujung tahun 2015, Zuckerberg dan isterinya telahpun membuktikan sikap dermawan mereka dengan menandatangani The Giving Pledge di mana mereka berikrar untuk mendermakan 99% daripada kekayaan mereka kepada kebajikan.

mark zuckerberg beri ucapan konvokesyen harvard

Pada bulan Mei 2017, ketika memberikan ucapan di majlis konvokesyen Harvard University, Zuckerberg juga telah memberikan hujah tentang pemberian hak sama rata kepada rakyat seluruh dunia dengan sistem pendapatan asas sejagat. Dengan sistem ini, setiap orang akan mendapat 'gaji asas' tidak kira sama ada mereka bekerja atau tidak. Zuckerberg dikecam teruk oleh penasihat-penasihat kerajaan dan juga pakar ekonomi kerana matlamat ini agak mustahil untuk dipenuhi.

Dalam ucapan yang sama juga Zuckerberg berkata semua orang perlu bekerjasama untuk membanteras ketidaksamaan untuk memberi kemudahan penjagaan kanak-kanak dan kesihatan yang lebih berpatutan. Menurutnya, generasi baru yang berjaya sepertinya perlu berkorban lebih banyak wang untuk tujuan itu agar semua orang dapat berkongsi kesenangan.

Selain itu, atas sebab kemanusiaan juga, Zuckerberg baru-baru ini dilihat lebih aktif campur tangan dalam hal politik apabila beliau dengan lantang membantah tindakan Presiden AS, Donald Trump, yang telah memansuhkan program perlindungan kanak-kanak dan remaja imigran di Amerika Syarikat. Akibatnya, sekitar 800,000 orang imigran muda di negara itu yang lebih dikenali sebagai "Dreamers" bakal menemui nasib dihantar pulang ke negara asal mereka.

mark zuckerberg dan dreamers imigran muda melalui facebook live membantah pemansuhan daca donald trump

Sehari selepas pengumuman Trump, Zuckerberg telah menjemput tiga remaja imigran ke rumahnya dan membuat permohonan melalui rakaman video Facebook Live kepada ahli kongres supaya mempertimbangkan semula pemansuhan itu. Beliau juga menggesa ahli politik di sana supaya meluangkan masa dengan mana-mana Dreamers untuk memahami situasi dan kisah hidup mereka.

Semoga lebih ramai hartawan dalam dunia yang berhati mulia seperti Zuckerberg dan Priscilla. Mereka membantu orang tanpa mengira warna kulit, agama dan latar belakang.

Ada pihak yang membuat spekulasi bahawa Zuckerberg ingin bertanding untuk menjadi Presiden AS. Apa pendapat anda kalau beliau benar-benar menjadi Presiden AS? 

Rujukan:

1. CNBC

2. Forbes

3. Salary.com

4. Business Insider : [ 1 ] [ 2 ]

tags : , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)