Oleh pada 21 Jul 2021 kategori

Anda pasti sudah sering terbaca mengenai kisah manusia paling kaya seperti Jeff Bezos, Elon Musk, Bill Gates dan Mark Zuckerberg. Setiap tahun, senarai 10 manusia terkaya ini didominasi oleh golongan elit kulit putih. 

Banyak juga artikel ditulis mengenai individu terkaya di Asia atau Timur Tengah. Namun, agak jarang kita dengar mengenai individu berkulit hitam paling kaya. Kali ini, Iluminasi ingin mengupas mengenai kisah individu kulit hitam paling kaya di dunia iaitu Aliko Dangote. Berikut adalah kisahnya.

Bagaimana Aliko Dangote menjadi individu paling kaya di Afrika

Untuk 10 tahun berturut-turut, Aliko Dangote dinobatkan sebagai orang terkaya di Afrika dengan anggaran kekayaan sebanyak RM 50 bilion. Empayar perniagaannya iaitu Dangote Group yang ditubuhkan lebih dari tiga dekad lalu merupakan salah satu sektor swasta terbesar di Nigeria dan syarikat paling berharga di Afrika Barat.

aliko dangote paling kaya

Ketika berusia 21 tahun, Dangote meminjam sebanyak RM 12,000 daripada bapa saudaranya untuk mengusahakan perniagaan mengimport dan menjual hasil pertanian di Nigeria. Usahanya berhasil dan dia berjaya membayar semula pinjaman itu dalam tempoh tiga bulan sejak beroperasi.

Sejak itu, Dangote berusaha untuk mengembangkan empayarnya dan menceburi lebih banyak cabang perniagaan lain.

Kini, empayar perniagaan Dangote merangkumi banyak industri termasuk minyak dan gas, barangan runcit dan bidang pembuatan. Walau bagaimanapun, syarikat Dangote Cement menghasilkan pendapatan paling tinggi untuk Dangote Group.

Menurut majalah Forbes, anak syarikat itu menghasilkan 45.6 juta tan metrik simen setiap tahun dan beroperasi di 10 negara di benua Afrika. Dangote juga memiliki kilang gula ketiga terbesar di dunia. Semua anak syarikat di bawah Dangote Group merangkumi satu perempat kapitalisasi pasaran Bursa Saham Nigeria.

Kehidupan dan pendidikan awal Aliko Dangote

Dangote dilahirkan pada tahun 1957 dalam sebuah keluarga usahawan di Kano, Nigeria. Dia dibesarkan dalam keluarga muslim yang kaya.

aliko dangote muslim

Setelah bapanya meninggal dunia ketika Aliko berusia lapan tahun, dia dijaga oleh datuknya. Datuknya, Sanusi Dantata, merupakan orang paling kaya di Kano melalui perniagaan menjual komoditi seperti gandum dan beras.

Menghabiskan sebahagian masa kecil dengan datuknya membuatkan Dangote berminat dalam dunia perniagaan. Ketika di bangku sekolah lagi, dia telah memulakan perniagaan sendiri dengan menjual gula-gula bagi menjana wang. 

Pada usia 21 tahun, Dangote berjaya menghabiskan pengajiannya dalam bidang perniagaan di Universiti Al-Azhar di Mesir yang dianggap sebagai salah satu universiti Islam paling berprestij.

Lahirnya sebuah empayar

Setelah menamatkan pengajian pada 1977, Dangote berjaya meyakinkan bapa saudaranya untuk memberi pinjaman wang sebagai modal untuk memulakan perniagaan. Menggunakan dana itu, dia mengimport komoditi dengan harga borong dari pembekal antarabangsa.

individu kulit hitam paling kaya dangote

Dua import utamanya ialah beras dari Thailand dan gula dari Brazil. Dia kemudian menjual barangan itu dalam jumlah yang kecil kepada pengguna di kampungnya. Usahanya itu membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Pada tahun 1997, Dangote menyedari bahawa dia boleh menjana keuntungan yang lebih daripada sekadar menjadi pemborong atau orang tengah. Dia membina sebuah kilang untuk menghasilkan sendiri barangan yang sebelum ini diimport selama 20 tahun iaitu pasta, gula, garam dan tepung.

Pada masa yang sama juga, Dangote telah dianugerahkan projek syarikat simen oleh kerajaan Nigeria. Dia mengembangkan operasi syarikat-syarikat di bawah Dangote Group dengan membina rangkaian kilang pada tahun 2005. 

Dia melaburkan wangnya sendiri berjumlah RM 1.34 bilion sebagai tambahan kepada pinjaman RM 2 bilion yang diperolehinya daripada International Finance Corporation yang dimiliki oleh Bank Dunia.

Setiap syarikatnya telah dipisahkan dan diperdagangkan secara terbuka iaitu Dangote Sugar Refinery PLC, National Salt Company of Nigeria PLC, Dangote Flour Mills PLC dan Dangote Cements PLC.

Mengembangkan empayar Dangote Group

Dangote sering melabur semula sebahagian besar keuntungannya ke dalam perniagaannya. Inilah mengapa syarikat-syarikatnya berkembang dengan pesat sejak mula ditubuhkan.

dangote cement

Ketika diwawancara Al Jazeera News, Aliko Dangote menjelaskan bahawa dia tidak menyimpan keuntungan di dalam bank seperti kebanyakkan usahawan lain sebaliknya melaburkan semula apa sahaja yang dia ada.

Kebanyakan individu terkaya di Afrika memperolehi kekayaan melalui industri minyak tetapi Dangote baru sahaja menceburinya bidang itu sejak kebelakangan ini.

Namun, dia mula mengambil langkah berani apabila sedang mengusahakan kilang minyak yang besar di Lagos dan dijangka akan mula beroperasi pada penghujung tahun 2021.

Sekiranya berjaya, ia dapat mengurangkan kebergantungan Nigeria terhadap pembekal minyak dan gas antarabangsa sekaligus menamatkan import bahan bakar ke negara itu yang bernilai RM 29 bilion setahun.

Kilang yang bernilai RM 63 bilion itu merupakan projek perindustrian terbesar di Nigeria dan dijangka dapat menghasilkan sebanyak 650,000 tong minyak sehari.

Antara dermawan terhebat Afrika

Walaupun Aliko Dangote akan terus memegang status orang kulit hitam paling kaya untuk tahun-tahun mendatang, dia tidak melupakan mereka yang kurang bernasib baik. Dangote adalah seorang dermawan yang mengasaskan pelbagai badan amal persendirian sejak tahun 1994.

dangote dan bill gates

Aliko Dangote dan Bill Gates

Kini, Aliko Dangote Foundation (ADF) didedikasikan untuk menaik taraf nilai kehidupan masyarakat di seluruh Afrika dengan pembangunan sektor kesihatan, pendidikan dan ekonomi. ADF merupakan yayasan swasta terbesar di Afrika.

Yayasan itu juga bekerjasama dengan Bill and Melinda Gates Foundation untuk membasmi polio dan menguatkan imunisasi rutin di seluruh Nigeria dan Afrika. Pada Ogos 2020, seluruh benua Afrika merayakan pengiktirafan rasmi bahawa mereka bebas daripada jangkitan polio liar.



Hakcipta iluminasi.com (2017)