Kredit foto: Instagram Akademi Fantasia & Instagram Indah Ruhaila

Konsert Suku Akhir AF Megastar bertemakan 'Ikon' (Mash Up) yang berlangsung di Royal Theater semalam menyaksikan penyingkiran penyanyi Indah Ruhaila daripada persaingan pertandingan.

Indah yang mempertaruhkan lagu-lagu Allahyarham Puan Sri Saloma iaitu Mari Jalan Bersama, Gelora dan Bila Larut Malam gagal memuaskan hati juri profesional yang menyifatkan gaya persembahannya lemah.

Dua lagi bintang yang tersenarai dalam kedudukan tiga terendah adalah Shahir dan Syamel.

Manakala penyanyi Amir Jahari tampil dengan persembahan vokal cemerlang sekaligus melayakkannya meraih gelaran juara mingguan.

Penyanyi kelahiran Sarawak itu memilih lagu ikon pilihannya, Datuk Zainal Abidin berjudul Orak Arek dan Kau Di Hatiku.

Minggu hadapan bakal menyaksikan persaingan separuh akhir oleh tujuh lagi peserta yang kekal iaitu Marsha, Amir Jahari, Idayu, Bob, Syamel, Amir dan Shahir.

Penilaian diadili berdasarkan format pemarkahan 60 peratus oleh juri profesional dan 40 peratus undian penonton melalui SMS dan laman web.

Juri profesional terdiri daripada dua juri tetap iaitu pengarah muzik Datuk Ramli MS dan guru vokal Syafinaz Selamat bersama juri undangan, aktres Puan Sri Tiara Jacquelina.

AF Megastar bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria.




Hakcipta iluminasi.com (2017)