Kredit foto: Astro Gempak

"Alhamdulillah, Shariff lelaki terbaik yang hadir dalam hidup saya."

Demikian kata penyanyi Indah Ruhaila, 30, selepas bergelar isteri kepada lelaki pilihannya, Ahmad Shariff Ahmad Taufik dalam sebuah majlis tertutup yang berlangsung di Subang Jaya, pagi semalam.

Berterima kasih kepada semua yang mendoakannya, Indah yang juga bekas pelajar program realiti TV popular Akademi Fantasia (AF2013) memberitahu, dia dan suami akan pergi berbulan madu walaupun masih belum menetapkan lokasinya.

"Terima kasih kepada semua pihak termasuk peminat yang mendoakan saya.

"Saya dan suami ada merancang untuk berbulan madu selepas ini, tetapi masih tidak tahu destinasi pilihan. Doakan kebahagiaan dan kesejahteraan kehidupan kami suami isteri," katanya dalam kenyataan yang diterima portal BH Online.

Majlis akad nikah yang hanya dihadiri keluarga dan sahabat rapat itu menyaksikan Indah atau nama penuhnya, Siti Ruhailah Hussein, 30, menerima mas kahwin sebanyak RM1,000.

Sementara itu, majlis jamuan sebelah pihak pengantin perempuan telah berlangsung secara tertutup, malam semalam.

Terdahulu, Indah memohon maaf kepada pihak media kerana tidak dapat mengundang mereka ke hari bahagianya itu.

Jelas penyanyi Semua Untuk Cinta ini, dia merahsiakan perkahwinannya atas permintaan keluarga kedua-dua belah pihak.

Sumber berita: BH Online 




Hakcipta iluminasi.com (2017)