Kredit foto: says.com & Instagram Akademi Fantasia

Penyanyi Idayu akui punca dia menangis ketika mendapat 'standing ovation' daripada pengarah muzik Datuk Ramli MS mempunyai sebab tertentu lain.

Bukan sahaja terharu dengan penghormatan yang diberikan Ramli, malah dia sebenarnya tersentuh kerana penonton juga ikut sama berdiri.

"Saya mengalirkan air mata bukan kerana sebab diberi penghormatan 'standing ovation' oleh Ramli MS sahaja malah seolah-olah terharu melihatkan penonton juga turut sama berdiri.

"Saya tak dapat nak gambarkan perasaan saya ketika itu kerana ia bagai rasa tak percaya serta seperti berada di awang-awangan pula.

"Namun saya boleh kata agak pelik dengan tindakan Ramli MS malam ini (semalam) kerana jarang melihatnya begitu.

"Mungkin dia puas hati dengan persembahan saya minggu ini tapi saya tak boleh terlalu yakin, minggu final belum tentu lagi," katanya memetik laporan portal Astro Gempak.

Terdahulu, Idayu mendapat pujian dan penghormatan juri tetap AF Megastar itu selepas selesai persembahan lagu Kerna Ku Sanggup yang didendangkannya bersama penyanyi Azharina.

Ramli dalam komennya mengakui ini kali pertama dia memberi 'standing ovation' dalam sejarah kerjaya bidang seni.

Sebelum ini Idayu pernah menerima tepukan berdiri daripada penonton sewaktu persembahan di Konsert AF Megastar Homecoming yang lalu. 

Sementara itu, Idayu berkata, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang di peringkat akhir, sebaliknya lebih mementingkan kualiti persembahan.

"Bagi saya, berjaya ke final pun sudah buat saya cukup puas hati kerana saya pernah kata pentas ini tempat saya untuk persembahkan apa yang saya ada selama ini.

"Jujurnya, kalah atau menang itu belakang kira sebab yang penting saya mahu memberikan yang terbaik.

"Apa sahaja boleh jadi pada malam final kerana semua bintang hebat-hebat belaka," ujarnya.

Di persaingan akhir, Idayu bakal bertarung dengan dengan empat lagi saingan iaitu Marsha, Bob, Syamel dan Shahir.

Konsert Akhir AF Megastar ke udara Ahad ini, jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)