Kredit foto: Instagram Amylea Azizan & Instagram Akademi Fantasia

Penyanyi dan komposer Amylea memberitahu dia hanya meluangkan masa selama dua jam sahaja untuk mencipta lagu Selamanya yang menjadi single terbaru Idayu di Konsert Akhir AF Megastar.

Dedah Amylea, dia teruja apabila Idayu memintanya untuk menggubah lagu baru meskipun pada saat-saat akhir iaitu selepas tamatnya Konsert Separuh Akhir AF Megastar.

"Pada mulanya, Idayu bertanyakan kepada saya jika saya ada lagu simpanan yang saya gubah untuk diberikan kepadanya.

"Sebagai penulis saya memberitahunya saya tiada simpanan lagu kerana saya akan menggubah sebuah lagu baru jika ada permintaan.

"Apabila diminta Idayu untuk mencipta sebuah lagu untuknya, saya tanpa membuang masa terus sahaja menyiapkannya dan tidak sangka ia hanya mengambil masa dua jam.

"Saya teruja apabila Idayu gembira dengan lagu yang saya gubah dan membuat keputusan untuk memilih lagu saya daripada 20 buah lagu yang diterimanya.

"Lebih terharu apabila lagu saya dinyanyikan di pentas akhir meskipun impian saya untuk berada di pentas itu tidak kesampaian," katanya menurut laporan portal Astro Gempak.

Ketika konsert kemucak AF Megastar, Idayu turut membawa sebuah lagi lagu cover berjudul My All nyanyian asal Mariah Carey.

Di hujung program, penyanyi yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini dinobatkan sebagai juara menewaskan empat lagi saingannya, iaitu Marsha, Bob, Syamel dan Shahir.

Sementara itu, Amylea yang juga rakan seperjuangan Idayu di Akademi Fantasia musim ketiga itu berkata, lirik lagu Selamanya berkisarkan kesusahan yang dilalui penyanyi itu untuk menempa nama dalam industri muzik.

amylea cipta single terbaru idayu hanya dalam 2 jam 2

Kredit foto: Instagram Amylea Azizan

"Sebenarnya sebagai penyanyi, saya faham apa yang dilalui oleh Idayu dalam penantian dan penyiksaan untuk mencipta nama sebagai penyanyi.

"Jadi lagu ini mengisahkan perjalanan seninya yang selama 12 tahun itu terbalas dengan kejayaan.

"Cerita bermula daripada dia menapak ke dalam Akademi Fantasia 3 dan kini bergelar juara di AF Megastar," katanya lagi.

Amylea yang juga finalis akhir Akademi Fantasia musim ketiga, tersingkir di peringkat saringan Konsert Homecoming AF Megastar minggu kedua.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)