Kredit foto: Instagram Iqram Dinzly

“Saya sedar akan cemuhan yang dilemparkan terhadap Iqram, namun saya tidak hirau dengan apa yang mereka katakan kerana dia berkeadaan biasa sahaja di rumah."

Demikian kata ibu aktor Iqram Dinzly, Lalitol Akmar Mohamed Shaffie berhubung kecaman masyarakat di media sosial terhadap anak bujangnya.

Wanita berusia 67 tahun itu menganggap apa yang diperkatakan orang ramai tidak mampu disekat.

“Biarlah apa orang nak cakap, kita tidak mampu menutup mulut mereka,” katanya memetik portal Mstar Online.

Beliau ditemui di kediamannya di Ipoh, Perak, hari ini.

Terdahulu, Iqram, 35, mendapat hentaman hebat di media sosial kerana sering beraksi pelik seperti menari, menyanyi dan bermain senjata tajam dalam video secara langsung di Instagram.

Susulan itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melahirkan hasrat untuk bertemu empat mata dengannya bagi membincangkan keadaan beliau dengan lebih lanjut.

Di sebalik kontroversi yang melanda anak muda itu, Lalitol Akmar berkata, Iqram sudah puas bersabar dengan tohmahan netizen sejak dia menjaga arwah bapanya, Khalib Abd Majid, 72, di hospital sebelum meninggal dunia pada 10 Oktober lalu.

“Selama ini semasa menjaga arwah ayah di hospital, Iqram menerima pelbagai jenis penghina namun dia tetap bersabar.

“Namun Iqram terus dikutuk semasa membuat ‘live video’ di laman sosial Instagram dan dia sudah tidak boleh menahan sabar lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Lalitol Akmar mengakui beliau ada menegur Iqram apabila aktor itu beraksi keterlaluan.

“Sebagai ibu, auntie ada tegur mana yang perlu namun Iqram menjelaskan dia tahu apa yang dilakukannya," katanya.

Sumber berita: Mstar 




Hakcipta iluminasi.com (2017)