Oleh pada 02 Oct 2017 kategori

Kredit foto: kedahnews.com & Instagram Zulin Aziz

Sehingga kini ramai yang masih berteka-teki tentang hubungan rapat yang terjalin antara penyampai radio Suria FM, Zulin Aziz dan anak aktres Normah Damanhuri, Ahya Rosli.

Rata-rata beranggapan Zulin sudah awal-awal menerima 'restu' keluarga Ahya berdasarkan beberapa siri perkongsian di media sosial yang memaparkan keakraban mereka.

Pun begitu, Normah mempunyai jawapannya yang tersendiri apabila diminta mengulas tentang perkara itu.

"Saya sebenarnya tiada hak untuk menentukan siapa pilihan mereka. Sebelum ini, adik beradik Ahya pun buat pilihan sendiri.

"Siapa pun pilihan mereka, saya doakan kebahagiaan dan kebaikan anak. Begitu juga Ahya. Terpulang kepadanya dalam soal hati," katanya yang dipetik daripada portal Berita Harian Online.

Dalam pada itu, Normah tidak meletakkan sebarang ketetapan terhadap jodoh Ahya.

Dia memberikan kebebasan sepenuhnya kepada anak bujang itu untuk membuat pilihan sendiri.

Malah sekiranya Zulin sekalipun yang menjadi pilihan, Normah terima dengan hati terbuka.

"Tak ada istilah nak kawal. Dia kena berkawan dengan si polan itu dan ini. Sesiapapun pilihan Ahya pada masa mendatang untuk dijadikan isteri, saya setuju.

"Ini termasuklah kalau pilihannya itu Zulin. Siapa jodoh dia saya terima," kata aktres yang sudah memasuki usia 64 tahun pada 21 September baru-baru ini.

Ditanya tentang sejauh mana anaknya serius dalam perhubungan bersama Zulin, Normah enggan mengulas lanjut.

Bagaimanapun dia mengakui sukakan karakter selebriti versatil itu jika mengikut pada pandangannya.

Apapun dia masih menyerahkan keputusan penuh kepada Ahya untuk menentukan pilihan.

"Soal jodoh atau hal ini susah nak saya rungkai. Salah cakap nanti jadi cerita lain.

"Cuma saya lihat Zulin seorang yang sangat baik. Saya sukakan dia. Dia anak yang baik. Cuma dalam soal pilihan, terpulang pada Ahya.

"Mengikut apa yang mereka kata, hanya kawan rapat. Sejauh mana itu susah nak cakap. Saya sendiri tunggu Ahya buka mulut siapa dia suka. Dia cakap siapa yang berkenan. Boleh saya hantar rombongan meminang," katanya lagi. 

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)