Oleh pada 29 Dec 2017 kategori

Kredit foto: Instagram Zulin Aziz & mforum.cari.com.my

Pengacara dan juruhebah radio, Zulin Aziz berharap dengan pendedahan penerbit Datuk A Aida mengenai hubungannya dengan Ahya Rosli, dakwaan cinta beliau bersama aktor itu akan dihentikan.

Lali menjadi bahan gosip netizen, Zulin memberitahu, keakraban Aida dan Ahya menjadi bukti dia dan aktor itu hanyalah sahabat biasa.

Malah dia mendoakan yang terbaik buat lelaki itu.

"Saya lihat Ahya dan A Aida begitu secocok. Barangkali ketika sama-sama mengerjakan Umrah baru-baru ini mereka mendapat petunjuk dan hidayah. Lagipun jodoh pertemuan semuanya di tangan Tuhan.

"Kita doakan yang baik-baik buat pasangan ini. A Aida juga baik dengan keluarga Ahya.

"Siapapun pilihan Ahya pasti dia mempunyai alasan tersendiri. Mungkin Ahya ‘terpikat’ dengan A Aida kerana sifat matang serta pandai mengambil hati keluarga," katanya dalam laporan portal Harian Metro.

Menganggap hubungan baiknya dengan Ahya selama ini disalahertikan, Zulin memohon agar dia tidak lagi dikaitkan dengan mana-mana sahabat lelaki yang mendampinginya selepas ini.

"Saya harap jangan ada pihak yang bertanya atau komen mengenai hubungan kami. Kadangkala saya lihat netizen gemar membuat spekulasi mengenai setiap gambar dan video yang dimuat naik.

"Saya tidak pernah sekalipun membuat kenyataan berkawan rapat apatah lagi putus cinta dengannya. Cuma tidak dinafikan ada pihak yang suka melihat kami bersama kerana sering bertemu sebagai kawan baik serta dia bertindak sebagai jurulatih peribadi saya.

"Jujur apa yang berlaku antara kami sangat memberi kesan kerana mereka beranggapan saya menjalin hubungan dengannya sedangkan saya sudah hampir tujuh tahun hidup solo.

“Saya bimbang jika setiap lelaki yang saya berkawan akan ingat saya mempunyai hubungan istimewa.

“Berilah saya masa untuk mengenali hati budi seseorang dan jangan membuat andaian tidak betul. Jika saya sudah menemui teman lelaki saya tidak akan merahsiakannya,” katanya.

Terdahulu, Aida mendedahkan sedang berkawan dengan Ahya, malah bersedia menerima lelaki itu sebagai jodohnya jika ditakdirkan.

Dakwaan hubungan cinta pasangan ini mula hangat diperkatakan selepas mereka mengerjakan ibadah umrah bersama.

Susulan itu, netizen bergosip di ruangan komen Instagram Zulin mengatakan kononnya beliau sudah putus cinta dengan Ahya.

Sumber berita: Harian Metro 




Hakcipta iluminasi.com (2017)