Kredit foto: Instagram Haziq Putera Band

Sepupu penyanyi Aiman Tino iaitu Haziq yang juga vokalis Putera Band, mengalami kemalangan jalan raya hingga mengakibatkan patah tulang rusuk kiri dan pendarahan di kepala dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, Rabu lalu.

Difahamkan, kemalangan berlaku ketika penyanyi itu menunggang motorsikal sebelum melanggar belakang sebuah lori yang diparkir di tepi jalan.

Menurut ibunya, Linda Eva, Haziq kini ditempatkan di wad kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Mengulas lanjut tentang bagaimana kemalangan itu berlaku, kata Linda:

"Kejadian berlaku berhampiran rumah ketika Haziq mahu membeli sarapan pagi.

"Dia mahu memotong sebuah kereta tapi tidak perasan lori yang diparkir di bahu jalan.

"Jadi selepas terlanggar dia tercampak."

Lanjutan itu, penyanyi muda ini tidak mampu melakukan banyak pergerakan dan akan mendapat rawatan susulan doktor pakar.

"Dia sedar cuma tak boleh terlalu banyak bergerak kerana tulangnya patah dan ada pendarahan di kepala.

"Sekarang ini, kita sedang menunggu doktor pakar untuk rawatan selanjutnya," katanya kepada Sinar Harian.

Haziq bersama kumpulannya, Putera Band dikenali menerusi single Rebahku Tanpa Mu dan Terseksa.

Sumber berita: Sinar Harian




Hakcipta iluminasi.com (2017)