Kredit foto: Instagram Hanez Suraya
Aktres, Hanez Suraya, mengaku pernah berdepan masalah keresahan dan kebimbangan melampau (anxiety) selepas kelahiran anak sulungnya, Putri Aleesya.
Malah, Hanez atau nama penuhnya, Hanez Suraya Abdul Aziz, 33, berkata isu yang dihadapinya itu turut memberikan kesan kepada berat badan gara-gara takut ketika waktu makan.
"Selepas bersalin, semuanya baik-baik sahaja. Tiba-tiba, ada satu ketika, saya rasa 'paranoid' untuk melakukan pelbagai aktiviti.
"Bayangkan, ketika nak makan pun saya rasa resah dan takut. Saya takut nak makan ayam, saya takut nak makan daging. Lebih teruk, sebelum makan saya sempat 'Google' kandungan makanan kerana rasa was-was.
"Berat badan saya juga turut turun. Saya juga lebih suka menyendiri dalam bilik dan tidak mahu keluar," katanya kepada Astro Gempak.
Beliau membuat kenyataan sewaktu menghadiri majlis pelancaran Aurawhite Toothpaste yang berlangsung di Meet & Dine, Cheras pada Rabu.
Dalam pada itu, Hanez berkata, beliau yang berkongsi pengalaman itu menerusi Instagram Stories, seterusnya dikunjungi mesej para peminat yang memperincikan masalah sebenar dilaluinya.
Dia sudahnya tidak menunggu lama untuk meraih bantuan daripada Miasa Malaysia (Mental Illness Awareness & Support Association).
Kredit foto: Instagram Hanez Suraya
"Selepas saya berkongsi apa yang saya alami di laman Instagram, ramai yang mesej dan mengatakan saya mengalami 'anxiety'.
"Selepas itu, saya mula membuat kajian mengenai 'anxiety' dan saya berhubung dengan Miasa Malaysia (Mental Illness Awareness & Support Association). Rupanya, ramai orang yang mengalami perkara yang sama," katanya.
Tambahnya, selain daripada itu, dia mula mendekatkan diri kepada agama serta berkawan dengan individu yang berfikiran positif.
"Alhamdulillah, segalanya semakin baik selepas saya merapatkan diri dengan Miasa. Saya mula memasuki kelas agama seperti kelas mengaji dan bergaul dengan golongan positif.
"Rasa 'anxiety' itu harus dilawan. Saya sendiri kena kuat dan terus melangkah ke hadapan. Saya harus bergaul dengan golongan yang lebih positif," katanya.