haqiem rusli alami kemurungan mahu bersara 1

Kredit foto: Instagram Haqiem Rusli

Rentetan kemurungan yang dialaminya sejak awal tahun, penyanyi Haqiem Rusli menzahirkan niat untuk bersara daripada dunia hiburan.

Penyanyi yang meledak dengan lagu Tergantung Sepi itu berkata, keputusan menamatkan kerjayanya masih di peringkat pertimbangan dan bakal diumumkan pada awal Julai nanti.

“Pengumuman penting kepada semua, dah lama saya tunggu saat ini dalam keadaan sekarang serta waktu yang tepat.

“Saya ingin memberitahu tentang posisi saya dalam industri muzik, BERHENTI atau TIDAK pada AWAL BULAN JULAI saya akan memberi jawapan sepenuhnya,” tulis Haqiem atau Ridzuan Haqiem Rusli, 21, dalam sebuah kenyataan di laman Instagram.

haqiem rusli alami kemurungan mahu bersara 2

Kredit foto: Instagram Haqiem Rusli

Menceritakan secara terperinci, pemenang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) itu akui kelab peminatnya yang dikenali dengan nama Qiemilio turut mengetahui keadaannya yang murung dan tertekan sejak awal tahun.

“Banyak perkara yang berlaku apabila saya di dalam industri muzik, mereka yang bercakap senang tapi saya yang rasa sakit dan perit.

“Kepada Qiemilio jangan marah saya, sila faham keadaan saya dan anda pun tahu saya mengalami kemurungan sejak awal tahun dan ia terus berlaku sampai ke hari ini, bukan murung saja macam-macam lagi,” katanya.

Menjelang keputusan yang akan dimaklumkan, Haqiem turut berhenti mengemaskini sebarang perkongsian di laman sosial Instagram.

Beliau mendiamkan diri daripada dunia hiburan dan media sosial sebelum membuat kemunculan barangkali buat kali akhir pada persembahan 24 Jun ini di Ipoh, Perak.

“Buat masa sekarang saya mahu berehat dari media sosial dan pada 24 jun saya akan hadirkan diri membuat persembahan di Ipoh.

“Mungkin ia akan menjadi persembahan terakhir saya sebagai seorang penyanyi kerana 70 peratus sudah diri saya mengatakan ia, tapi apa-apa boleh berlaku," katanya.

Sementara itu, beliau juga sedang diberikan ruang oleh syarikat pengurusannya, FMC Music untuk mempertimbangkan keputusan muktamad sehingga hujung Jun.

“Keluarga serta FMC sudah memberi saya tempoh rehat dan berfikir hingga habis bulan Jun. Tunggu saya Haqiem Rusli pada awal bulan Julai. Keputusan akan diberitahu,” katanya.

Terdahulu, Haqiem menerusi Twitter membayangkan dirinya sedang berdepan rasa kecewa hingga ingin menamatkan karier bidang nyanyian yang diceburi sejak kecil.

Rata-rata pengikut meninggalkan komen, meluahkan kata semangat susulan spekulasi bertiup kencang mengatakan beliau bakal bersara.


tags : , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)