Oleh pada 17 Jun 2019 kategori

Setinggi Menara Jambatan London, tapak pelupusan sampah Ghazipur di New Delhi terus berkembang pada kadar yang mengejutkan. Dalam masa setahun lagi, ia akan lebih tinggi daripada Taj Mahal iaitu monumen paling ikonik di negara ini.

Digelar sebagai "Gunung Everest" oleh penduduk tempatan, timbunan sampah ini sudah melebihi daripada 65 meter tinggi. Baru-baru ini Mahkamah Agung India mengarahkan agar lampu sebagai tanda amaran dipasang bagi pesawat yang melalui kawasan itu.

Ia bukanlah apa yang diharapkan ketika pertama kali Ghazipur dibuka pada tahun 1984. Menjelang tahun 2002, tapak pelupusan ini telah mencapai kapasiti maksimum 20 meter dan sepatutnya ditutup. Hari ini, 21 juta orang yang tinggal di New Delhi bergantung padanya dan dua lagi tapak pelupusan sampah lain. Ketiga-tiga tapak pelupusan ini sepatutnya ditutup sedekad yang lalu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pegawai perbandaran Delhi memberitahu bahawa sekitar 2,000 tan sampah dibuang di Ghazipur setiap hari. Ini menyumbang kepada kira-kira pertumbuhan 10 meter timbunan sampah setiap tahun.

Bukan sahaja ia mencemarkan pemandangan tetapi juga boleh mengundang bahaya kepada kesihatan. Majlis Perbandaran Delhi Timur telah cuba beberapa kali untuk menutupnya tetapi gagal.

Tahun lepas, dua penduduk tempatan maut apabila timbunan sampah itu runtuh selepas hujan lebat. Kematian itu menyebabkan tapak pelupusan sampah itu ditutup sementara bagi Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (EPA) melakukan analisis pemulihan.

ghazipur

Laporan yang dikeluarkan EPA merumuskan bahawa amalan pelupusan sampah yang tidak dikawal dengan baik telah menyebabkan pembentukan lereng curam dan tidak stabil.

Kesimpulannya adalah mudah. Pengisian sampah di bahagian atas tapak pelupusan harus dihentikan serta-merta dan Majlis Perbandaran perlu menutup tapak Ghazipur dan memindahkan operasi ke tapak pelupusan baru secepat mungkin.

Malangnya, penutupan tapak pelupusan itu hanya berlangsung beberapa hari sahaja. Ia dibuka semula dan terus beroperasi seperti biasa. Oleh kerana struktur sampah itu terus berkembang, ia memberi pelbagai jenis risiko kepada penduduk tempatan.

tapak sampah ghazipur 2

Gunung sampah di Ghazipur ini longgar, tidak padat dan terdedah. Ia menggalakkan penguraian aerobik serta menghasilkan haba dan metana. Ini bermakna terdapat risiko berlakunya kebakaran spontan yang akan mengganggu struktur keseluruhan gunung sampah itu.

Semasa analisis di tapak pelupusan, para penyelidik mendapati terdapat rekahan kira-kira 60 meter panjang dan setengah meter lebar. Ini merupakan satu lagi risiko berlakunya kejadian runtuhan gunung sampah itu.

Lebih teruk lagi, tapak pelupusan ini tidak mempunyai sistem pelapik. Ini bermakna ia diletakkan di atas tanah secara langsung. Semua sampah akan menghasilkan sesuatu yang dipanggil leachate (bahan larut lesap) dan akan menyerap masuk ke sistem perparitan tempatan.

45ec91d4 50f2 4e99 a3d8 270240a454fd

Ketua kumpulan advokasi alam sekitar, Chitra Mukherjee, menyeru bahawa semua ini perlu dihentikan kerana lambakan berterusan telah mencemari udara dan air bawah tanah Ghazipur.

Penduduk New Delhi Timur juga mengadu mengenai bau longgokan sampah sebelum kejadian runtuhan mengorbankan dua nyawa penduduk tempatan. Ada yang mendakwa bau itu begitu kuat sehingga sukar untuk bernafas.

Doktor tempatan pula memberitahu dia menerima kira-kira 70 orang pesakit setiap hari, kebanyakannya disebabkan masalah pernafasan dan perut akibat pencemaran udara. Ramai antaranya adalah bayi dan kanak-kanak.

tapak sampah ghazipur 4

Antara tahun 2013 hingga 2017, dianggarkan sebanyak 981 kematian berlaku di Delhi akibat penyakit jangkitan daripada masalah pernafasan.

Bandar-bandar di India bertanggungjawab terhadap berjuta-juta tan sisa buangan setiap tahun dan jumlah itu semakin meningkat. Anggota parti Aam Aadmi yang merupakan parti pemerintah Delhi, telah memberi maklum balas kepada petisyen untuk membersihkan "bom jangka" ini dalam masa dua tahun.

Mereka juga menentang rancangan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bandar, yang dikendalikan oleh parti sayap kanan iaitu Bharatiya Janata untuk mewujudkan dua tapak pelupusan baru di dataran Yamuna yang sering mengalami banjir dan akan membawa sampah terus ke dalam sungai.

Ketika ini, India adalah salah satu pengeluar sampah terbesar di dunia. Negara ini juga menghadapi krisis pengurusan sisa. Jika tiada langkah drastik diambil, tapak pelupusan seperti Ghazipur mungkin akan menjadi terlalu besar untuk dibersihkan.

Rujukan:

  1. India Today
  2. Dailyo
  3. Hindustan Times



Hakcipta iluminasi.com (2017)