Pada usia 6 tahun, Goran Kropp yang berasal dari Sweden dibawa oleh ayahnya untuk menakluki puncak tertinggi  Gunung Gladhopiggen di negara Norway. Kejayaan menakluki puncak tersebut membuatkan beliau mula berusaha untuk mencari inspirasi pengembaraan lain.

Malangnya, perkahwinan ibu bapanya yang berakhir mengakibatkan Kropp tinggal dengan ibunya membuatkan Kropp hilang arah semasa remaja, apatah lagi selepas hilang pengaruh ayahnya yang sebelum itu gemar membawanya mengembara.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Terumbang ambing dalam hidup, Kropp memilih untuk menukarkan minatnya menjadi kerjaya dengan menyertai angkata tentera Sweden, ditugaskan di bawah unit renjer penyelamat yang dikenali sebagai Fallskärmsjägarna.

Kami tak tahu bagaimana nak menyebut perkataan itu, tetapi di situlah kisah legenda Goran Kropp bermula.

Latihan ketenteraan yang memperkuatkan tubuh

3132223

Obsesi Kropp untuk mendapatkan peluang mengembara banyak dibantu oleh kariernya sebagai seorang renjer.

Dalam perkhidmatan tentera dia mula didedahkan dengan teknik pendakian yang betul, diajar dalam penggunaan payung terjun, belajar ilmu pengetahuan berkaitan memperkuatkan serta penyelamatan diri.

Gunung, bukit dan hutan menjadi kawasan permainannya setiap hari.

Hasil pendedahan ini, Kropp membentuk obsesi untuk cuba mengatasi had yang ada pada dirinya, mencari jalan membuka pengembaraan-pengembaraan baru yang lebih mencabar - sehinggakan dia memilih untuk tinggal dalam khemah, demi memastikan wang gajinya dapat dijimatkan hanya untuk tujuan ekspedisi.

Berkat kesabarannya berjimat dan berlatih setiap hari dengan disiplin, Kropp mula menjalankan aktiviti pendakian mencabar menakluki puncak-puncak tertinggi di dunia. Pada dekad 1980-an, Kropp berjaya mendaki 5 puncak setinggi melebihi 5,000 meter sendirian.

Dia mula meletakkan fokus untuk naik lebih tinggi, mencatatkan rekod pendakian peribadi di Puncak Muztagh salah sebuah gunung paling sukar didaki yang duduk di Banjaran Karakoram dengan ketinggian 7273 meter bersama seorang rakannya

Tahun-tahun berikutnya, Kropp menakluki Gunung Cho Oyu, gunung keenam tertinggi dunia (8,188 meter) pada tahun 1992 sebelum menjadi warga Sweden pertama menakluki Gunung K2, puncak kedua tertinggi dunia pada ketinggian 8,611 meter dalam tahun 1993.

Tinggal satu saja lagi gunung yang perlu ditaklukinya iaitu puncak tertinggi dunia, Gunung Everest di Nepal.

Ekspedisi unik ke Everest

goran kropp ekspedisi ke everest berbasikal

Berbeza dengan pendaki-pendaki lain yang gemar mengambil kaedah konvensional menyertai ekspedisi mendaki Everest, Kropp memilih jalan yang berbeza hanya untuk mencabar dirinya sendiri.

Berbekalkan sebuah basikal yang direka khas untuk perjalanan jauh serta mampu membawa muatan seberat 108kg, Kropp memulakan kayuhan basikal daripada Stockholm, Sweden pada 16 Oktober 1995. Dia memilih untuk mengayuh sendiri perjalanan 16,000 km jaraknya dari Stockholm ke Nepal, sebagai mukadimah ekspedisi menakluki Everest.

Beliau tiba di kem kaki gunung Everest pada bulan April tahun berikutnya - dengan purata jarak perjalanan sehari sekitar 70 kilometer ketika musim pendakian Everest baru saja hendak bermula!

goran kropp berbasikal ke everest

Tiba di situ, Kropp yang namanya mula dikenali ramai diberikan penghormatan untuk menjadi individu pertama mendaki Everest musim tersebut berdasarkan rekodnya yang mengagumkan.

Kropp seperti biasa memilih jalan sukar - mahu melakukannya sendirian.

Dia tiba pada jarak 106 meter dari puncak Everest tetapi terpaksa mengambil keputusan untuk berpatah balik bimbang waktu yang diperlukan untuk sampai ke puncak akan menyebabkan cuaca jadi terlalu gelap; menyukarkan dia untuk memulakan perjalanan turun.

Kecewa dengan kegagalan itu, dia berehat untuk memulihkan dirinya di kem agar mendapat peluang menebus kehampaannya dalam minggu berikutnya.

Tidak lama selepas itu tragedi melanda ekspedisi pendakian musim tersebut.

Tragedi Everest terburuk dalam sejarah

pasukan pemanjat bergambar sebelum tragedi

Musim pendakian Everest tahun 1996 menyaksikan banyak pihak diberikan lesen untuk melakukan pendakian, sehinggakan tindakan itu dikritik sebagai satu langkah yang berorientasikan keuntungan semata-mata.

Terlalu ramai pendaki dikhuatiri kurang berpengalaman untuk mendaki turut sama diberikan lesen mendaki.

Selain Kropp, terdapat kumpulan 13 orang pendaki Taiwan, 21 dari Afrika Selatan, 9 gabungan Britain, Finland dan Denmark serta 6 pendaki Amerika Syarikat. Terdapat juga kru pengambaran IMAX seramai 12 orang ditugaskan merakamkan ekspedisi dua kumpulan pendaki dengan jumlah 38 orang pendaki berpengalaman, di bawah seliaan dua agensi swasta.

Kropp satu-satunya warga Sweden di situ.

Disebabkan masalah yang dihadapi kumpulan-kumpulan berikutan ketiadaan pancang semasa pendakian, masa yang diambil untuk mendaki mula bertambah memanjangkan masa pendaki perlu menunggu di laluan.

Kumpulan pendaki yang ramai juga menyukarkan mereka untuk berpatah balik walaupun cuaca mula berubah. Ribut yang melanda mengejut menyebabkan laluan yang sepatutnya digunakan gagal diakses sehinggakan ramai yang terpaksa bertahan dalam situasi genting, ada yang berteman dan ada yang sendirian.

kematian mayat biasa di everest

Kropp yang ketika itu sedang berusaha memulihkan kembali dirinya perlu terlibat dalam ekspedisi menyelamat, kembali mendaki gunung tersebut bagi menyampaikan tabung-tabung oksigen serta memikul mana-mana pendaki yang tidak lagi mampu bergerak sendiri.

Insiden buruk yang berlangsung selama dua hari bermula 10 Mei 1996 sehingga 11 Mei 1996 itu merupakan insiden paling dahsyat melibatkan pendakian Everest ketika itu, membunuh 8 orang kesemuanya; 2 warga New Zealand, dua  warga Amerika Syarikat, seorang warga Jepun dan 3 orang anggota polis penjaga sempadan India-Tibet.

Walaupun berdepan tragedi sebesar itu, Kropp nekad untuk kembali mencuba sekali lagi dan dia mahu melakukannya dengan kaedah yang belum pernah dicuba sebelum itu.

Menakluki puncak Everest

goran kropp berbasikal sejauh beribu kilometer

Sebelum Kropp, sudah ramai yang menakluki Everest.

Sasaran Kropp adalah untuk meletakkan namanya di persada yang unik. Sebagai permulaan, dia sudah berbasikal beribu kilometer dari Stockholm untuk hadir ke kaki Everest.

Dalam cubaan menakluki puncak Everest kali kedua, Kropp memilih untuk menggunakan kaedah yang dikenali sebagai 'supermacho' di kalangan pendaki. Kaedah biasa digunakan pendaki adalah dengan membawa tong oksigen sambil mendaki dibantu penunjuk arah Sherpa yang sudah biasa dengan selok-belok kawasan itu.

Cara 'macho' tidak membenarkan penggunaan tong oksigen digunakan untuk tujuan bantuan pernafasan.

Kropp memilih untuk melakukan pendakian sendirian tanpa bantuan sesiapa, tiada tabung oksigen, tidak membawa bekalan makanan menuruti cara dia hadir ke situ yang sejak mula memang sudah unik.

Selepas berhempas pulas mendaki kali kedua, pada tanggal 23 Mei 1996 Kropp akhirnya menakluki puncak Everest sendirian mencatatkan rekod yang sehingga kini unik dari segi pelaksanaannya.

Sebagai penutup ekspedisi itu, Goran Kropp merancang kembali menunggang basikalnya untuk pulang ke Sweden memuktamadkan namanya sebagai 'orang gila dari Sweden', yang menunggang basikal pergi dan pulang untuk menawan puncak tertinggi dunia.

Rekod itu setakat ini belum dipecahkan.

Legenda Kropp diperkuatkan lagi dengan kisah cubaan pertamanya yang gagal, kerana dia memilih untuk berpatah balik walaupun puncak Everest hanya 100 meter daripada kedudukannya.

Tak ramai akan membuat keputusan sebegitu jika mereka berada dalam situasi serupa.

Lelaki yang mencabar kemampuan dirinya

goran kropp dan tunangnya

Kropp meneruskan beberapa siri ekspedisi berbeza selepas itu.

Dia merancang untuk melakukan pengembaraan kapal layar serta ski sambil mendapat tempat untuk memandu dalam perlumbaan Formula 3.

Kropp kembali ke Everest pada tahun 1999 bersama tunangnya yang bernama Renata Chlumska, menawan puncak Everest bersama-sama yang membolehkan Chlumska mencatatkan rekod menjadi wanita Sweden pertama tiba di puncak Everest.

Kontroversi melibatkan pembunuhan seekor beruang polar semasa salah satu ekspedisinya, memaksa Kropp berhijrah ke Seattle, Amerika Syarikat.

Ketika berusia 35 tahun, Goran Kropp terjatuh semasa memanjat sebuah jurang yang dinamakan Air Guitar yang terletak di Washington, pada ketinggian 22 meter. Kepala Kropp yang jatuh terhentak selepas peralatan karabiner tali yang digunakannya patah.

Usaha menyelamatkan beliau dengan bantuan helikopter gagal dan Kropp disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada 30 September 2002, meninggalkan legasi yang akan terus diperkatakan pengembara-pengembara dunia sebagai 'lelaki gila Sweden yang berbasikal untuk menawan puncak tertinggi dunia.'

Rujukan

Death of an Adventurer




Hakcipta iluminasi.com (2017)