Bandar Grammichele terletak di wilayah Catania, di kepulauan Sicily, Itali. Bandar ini merupakan salah satu daripada beberapa bandar di dunia yang mempunyai susunan dan aturan heksagon yang unik.

Bandar ini diasaskan selepas Sicily dilanda gempa bumi besar pada tahun 1693 yang telah melenyapkan penempatan awal yang dipanggil Occhiala di bahagian utara bandar Grammichele. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Penduduk yang terselamat daripada gempa bumi itu membina sebuah bandar baru dan menamakannya Grammichele sempena Saint Michele, dengan harapan agar lelaki kudus itu melindungi bandar yang baru dibina daripada bencana alam akan datang.

carlo maria carafa branciforte

Carlo Maria Carafa Branciforte

Reka bentuk bandar itu yang digelar sebagai "ad exagonum" telah direka sendiri oleh Carlo Maria Carafa Branciforte, Putera Roccella dan Butera. Reka bentuk itu telah diukir oleh arkitek bernama Friar Michele da Ferla di atas sebuah batu bertulis yang masih dipelihara dengan baik di Dewan Perbadanan bandar itu.

Putera Carlo Maria Carafa telah meletakkan batu asas bandar yang baru dibina itu dan mengadakan keraian besar yang dihadiri oleh ramai golongan bangsawan dan agamawan pada 18 April 1693.

Antara monumen terpenting di bandar yang mempunyai populasi 13,400 orang penduduk ini ialah Mother Church yang dibina pada tahun 1724 dan Church of Madonna del Piano yang mempunyai reka bentuk menarik yang dihasilkan oleh Vaccaro.

Reka bentuknya mungkin diilhamkan oleh Palmanova, sebuah bandar yang dibina seratus tahun sebelum itu. Akan tetapi, perbezaan utama Palmanova ialah bandar itu dibina dengan bentuk nonagon sembilan bucu manakala Grammachele pula adalah heksagon enam bucu.

palmanova

Palmanova, Itali

Pelan heksagon yang direka untuk Grammichele dibahagikan kepada enam sektor dan enam jalan raya yang menghubungkan kepada dataran utama yang juga berbentuk heksagon.

Banyak kawasan kecemasan dicipta di bandar ini supaya penduduknya dapat berkumpul sekiranya berlaku sebarang malapetaka atau bencana. Bentuk heksagon bandar ini direka dengan ukuran yang sama besar dan dihubungkan dengan rakaian jalan sepusat geometrik di sekitar dataran utama yang dikenali sebagai Prince Carafa Square.

Di luar kawasan utama berbentuk heksagon itu, empat lagi daerah berbentuk segi empat tepat telah dibina. Salah satu daripada daerah ini sepatutnya mempunyai Istana Putera tetapi ianya tidak pernah dibina sehingga hari ini.

eran ben joseph

Eran Ben-Joseph

Penulis tentang perancangan bandar heksagon iaitu Eran Ben-Joseph dan David Gorgon berkata, rekaan bandar sebegini amat jarang berlaku pada hari ini. Ini kerana ia memerlukan kepelbagaian ideologi, teori dan kaedah yang betul.

Pembinaan bandar Grammichele ini berjaya menarik perhatian ramai perancang bandar dan arkitek pada awal abad ke-20 tetapi tiada siapa yang berjaya membina reka bentuk dalam skala sebesar ini.

Seorang ahli arkitek dan sejarah New York iaitu Charles Lamb mendakwa bahawa pelan bandar heksagonal ini adalah penyelesaian praktikal dan artistik terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh bandar moden.

grammichele

Lamb juga mendakwa sistem sedemikian bukan sahaja membolehkan penciptaan gaya Eropah yang indah tetapi juga membolehkan pertumbuhan yang terancang dan kehidupan yang lebih sihat.

Rudolf Mueller, seorang jurutera Australia pula menegaskan bahawa susun atur bandar heksagon akan membawa kepada penjimatan jangka masa panjang dalam saliran air serta sistem pembentungan. 

Pili bomba dan sumber air dapat dibekalkan untuk lebih banyak bagunan dan garis servis yang lebih pendek dapar diletakkan antara sesalur dan bangunan. 

arthur coleman comey

Arthur Coleman Comey

Arkitek Amerika, Arthur C. Comey pula membayangkan seluruh kawasan yang dilindungi dengan bandar-bandar heksagon kecil yang bersambung antara satu sama lain dan berkaitan dengan kawasan metropolitan utama akan mewujudkan peta sel-sel heksagon yang indah.

Walau bagaimanapun, kemelut Perang Dunia Kedua telah mengakhiri perancangan bandar heksagon di tempat lain selepas Bandar Grammichele. Secara praktikalnya, blok-blok bangunan heksagon adalah terlalu susah untuk menjadi penyelesaian yang boleh dilaksanakan.

grammichele 2

Eran Ben-Joseph mempersoalkan tentang bagaimanakah nombor rumah dan jalan-jalan di bandar heksagon akan diberikan. Ianya mungkin akan menjadi sangat sukar bagi orang asing yang datang untuk memandu arah di jalan-jalan Heksagonopolis.

Selain itu juga, pemaju dan pembeli rumah tidak berapa suka dengan reka bentuk rumah yang hampir sama di setiap bandar yang kelihatan canggung. Dia akhirnya menyimpulkan bahawa perancangan bandar heksagonal adalah konsep yang hanya berfungsi secara teori sahaja tetapi tidak secara praktikal.

Rujukan:

1. Visit Sicily

2. Amusing Planet

3. Wonderful Engineering




Hakcipta iluminasi.com (2017)