Sumber foto: Kosmo Online
Gandingan mantap penerjun berpengalaman negara, Ooi Tze Liang-Chew Yiwei meraih pingat gangsa menerusi hari kedua Kejohanan Terjun Grand Prix FINA (Persekutuan Renang Antarabangsa) ke-24 di Rostock, Jerman pada petang Sabtu (awal pagi Ahad waktu Malaysia).
Menurut laman web kejohanan www.springertag-rostock.de, pasangan negara itu mengumpul 387.54 mata keseluruhan bagi menamatkan saingan selepas 6 terjunan menerusi acara 3m papan anjal lelaki.
Pasangan China, Wang Zong Yuam (17 tahun) dan Hu Zijie (21 tahun) menunjukkan kehebatan mereka dengan mengungguli saingan untuk meraih emas, setelah mencatatkan 422.37 mata.
Sementara itu, perak kepunyaan pasangan adik-beradik Jack Haslam-Ross Haslam dari Britain, dengan 407.46 mata.
Kemenangan itu ternyata dapat menjadi pembakar semangat terhadap penerjun negara setelah menghadapi hari yang suram pada Jumaat lalu.
Malaysia, yang diwakili 3 atlet terjun lelaki, gagal merangkul sebarang pingat pada hari pertama kejohanan, dimana Tze Liang menamatkan saingan menerusi final 3m papan anjal lelaki dengan berada di kedudukan tercorot selepas mengumpul 328.75 mata.
Sementara itu, Muhammad Amsyar Azman pula tersingkir di peringkat separuh akhir.
Menurut Yiwei, prestasi itu merupakan permulaan yang bagus untuk kontinjen negara yang sedang mempersiapkan diri bagi menempuhi temasya Sukan Komanwel di Australia, bulan depan.
“Kita negara kecil tapi mempunyai impian besar dan saya sangat teruja untuk melakukan lebih baik pada masa akan datang.
“Berdepan dengan jaguh dunia dan penerjun handalan negara lain memberikan pengalaman bermakna buat kami.
“Justeru, saya harap dapat mengekalkan rentak apabila turun dalam acara 10 meter platform nanti,” ujarnya.
Sumber berita:
1. Bernama
2. Kosmo Online
3. Harian Metro