pencapaian olimpik korea utara

Ramai di kalangan rakyat Malaysia melihat Korea Utara sebagai sebuah negara yang jauh ketinggalan berbanding kita.  Apatah lagi selama ini Korea Utara sering menjadi mangsa propaganda media, ekoran sistem kerajaannya yang agak tertutup kaedahnya.

Kita sering dijaja imej rakyat Korea Utara hidup dalam keadaan tertekan, susah dan autokratik jika dibandingkan dengan Malaysia yang teratur dalam sistem demokrasi, sehingga membenarkan tunjuk perasaan bagi mendesak ketua kerajaan ditukar berlangsung.

Semua perbincangan itu melibatkan aspek pemerintahan menampakkan perbezaan ketara kedua-dua negara. Bagaimana pula dengan perbandingan pencapaian dalam sukan Olimpik di antara kedua-dua negara?

Potensi atlet Korea Utara

atlet korea utara selfie dengan atlet korea selatan

Satu fakta yang mungkin mengejutkan anda, setiap tahun dalam belanjawan negara Korea Utara selepas Kim Jong Un mengambil alih kuasa pada tahun 2011 - purata dana diperuntuk untuk pembangunan sukan di negara itu semakin meningkat.

Jong Un dikatakan terlalu meminati sukan sanggup meletakkan sukan sebagai salah satu cabang paling penting belanjawan negara itu, dikategorikan di bawah pembangunan sosial.

Dalam belanjawan tahun 2017, terdapat peningkatan 17% berbanding tahun sebelumnya hanya untuk pembangunan sukan. Berlainan dengan kehidupan biasa masyarakat mereka, atlet Korea Utara diberikan beberapa kelebihan ekoran status mereka.

Mereka disediakan karier sebagai atlet dibantu dana mencukupi serta sistem pemilihan dan latihan yang sistematik, memberikan kelebihan hidup lebih selesa - menjadi habuan dan tarikan utama warga Korea Utara untuk bergelar atlet negara.

Walaupun begitu, kelebihan ini datang dengan pantang-larang yang ditetapkan kerajaannya.

Bakat mula dicungkil sejak kecil 

pencapaian olimpik korea utara 817

Bukan semua individu layak untuk bergelar atlet negara secara terbuka.

Ini kerana pemilihan bakat sukan di Korea Utara dimulakan semasa atlet itu kecil lagi. Menggunakan kelebihan yang ada dalam sistem pemerintahan berteraskan ideologi komunisme, bakat muda yang dikenalpasti di sekolah akan dikumpulkan untuk diasah dalam sistem latihan yang ketat dan teratur.

Mereka yang berpotensi turut disaring berdasarkan status ibu bapa mereka, bagi memastikan tahap kesetiaan atlet terpilih terjaga.

Kanak-kanak yang dikenalpasti berpotensi dan datang dari keluarga pro-pemerintah serta ada hubungan dengan pegawai kerajaan, akan mempunyai peluang lebih besar untuk terpilih jika dibandingkan dengan kanak-kanak dari keluarga yang ibu bapanya hanyalah golongan kebanyakan.

Kerajaan Korea Utara tidak mensasarkan variasi dalam pembangunan sukan antarabangsa mereka, sebaliknya memfokuskan usaha kepada beberapa sukan utama yang mempunyai rekod baik menyumbang pingat seperti gusti, tinju, angkat berat, gimnastik dan judo.

Ganjaran untuk atlet berjaya

atlet korea utara olimpik musim sejuk

Seperti yang kami sebutkan, menjadi atlet Korea Utara ada kelebihan tetapi banyak juga kekurangannya. 

Pergerakan mereka tidak sebebas atlet negara lain. Sepanjang temasya Olimpik mereka dikawal ketat, tidak dibenarkan keluar melawat tempat-tempat menarik di negara tuan rumah. Pergaulan sesama atlet juga dibataskan hanya di kalangan mereka.

Pegawai kontinjen Korea Utara juga dikatakan mempunyai kuasa untuk merampas apa saja cenderahati yang disediakan untuk para atlet khasnya melibatkan peralatan komunikasi.

Samsung yang menaja temasya Olimpik gemar menghadiahkan semua atlet bertanding telefon pintar tetapi malang bagi atlet Korea Utara, hadiah itu jarang dapat ke tangan atlet sebaliknya disimpan pengurusan kontinjen mereka. Semua atlet Korea Utara juga tidak dibenarkan membawa telefon peribadi sepanjang kejohanan.

Desas-desus popular mengatakan kerajaan Korea Utara akan menghukum atlet yang mempamerkan aksi lemah dengan hukuman penjara, bagaimanapun jarang ditemui kebenarannya.

Setakat apa yang dapat kita saksikan, atlet yang sama tetap terpilih untuk beraksi mewakili negara itu walaupun mempamerkan aksi buruk dalam kejohanan-kejohanan terdahulu.

Walaupun terpaksa menjalani rutin yang tinggi kekangannya, sikap merendah diri yang dimiliki atlet Korea Utara seringkali dipuji penganjur dan atlet negara lain, yang melihat kesungguhan mereka beraksi sepenuh hati.

Selain imbuhan hidup lebih selesa sepanjang karier, atlet Korea Utara yang berjaya turut akan diberikan bantuan perumahan dan kenderaan oleh pemerintah, asalkan mereka tidak terlibat dalam kontroversi atau cuba melakukan sesuatu yang tidak diingi sepanjang temasya berjalan.

Ada juga atlet yang berjaya membawa pulang pingat, dihadiahkan peti sejuk sebagai ganjaran kejayaan mereka.

Bagaimanakah rekod Olimpik Korea Utara? 

atlet korea utara sukan olimpik

Untuk sebuah negara yang dikatakan terpencil serta mempunyai populasi lebih rendah berbanding kita (25.3 juta penduduk), pencapaian Korea Utara jauh mengatasi Malaysia.

Mereka hanya mula menyertai kejohanan Olimpik tahun 1964.

Dalam penyertaan Olimpik 1972, Korea Utara mula mengutip pingat dengan kutipan 1 emas acara menembak, 1 perak dari sukan tinju dan 3 pingat gangsa melalui acara gusti, bola tampar dan judo; berjaya menamatkan kedudukan keseluruhan di tangga ke-22 di antara semua negara bertanding.

Korea Utara terus mempamerkan aksi baik dalam setiap temasya yang mereka sertai, kecuali Olimpik 1984 di Los Angeles dan Olimpik 1988 di Seoul di mana mereka menarik diri.

Sehingga kini, penyertaan negara itu dalam 10 temasya Olimpik memberikan pulangan 16 pingat emas, 16 perak dan 24 pingat gangsa. Angkat berat menyumbang 5 pingat emas, gusti dan gimnastik 3 pingat, tinju dan judo 2 pingat dan menembak 1 pingat.

ACARA SUKANEMASPERAKGANGSAJUMLAH
Angkat berat58518
Gusti32510
Gimnastik3--3
Tinju2338
Judo2248
Menembak1-23
Ping-Pong-134
Bola tampar--11
JUMLAH KESELURUHAN16162355

Selain temasya Olimpik musim panas, Korea Utara juga sudah beberapa kali menghantar atlet ke temasya Olimpik musim sejuk, kali terakhir pada tahun 2018 di Korea Selatan. 

Prestasi atlet mereka dalam kejohanan musim sejuk kurang menyerlah. Negara itu hanya berjaya mengumpulkan 1 pingat perak pada tahun 1964 dan 1 pingat gangsa dalam kejohanan edisi 1992 di Perancis.

Rekod negara kita pula setakat ini berbunyi 7 pingat perak dan 5 pingat gangsa, menjadikan jumlah pingat Olimpik kita sejak penyertaan kali pertama tahun 1956 adalah 12 pingat.

Kesemua kutipan pingat kita datang daripada 3 jenis sukan iaitu badminton, terjun dan berbasikal. 

Dari segi politik, mungkin Korea Utara dan sistem pemerintahannya sering dijadikan bahan kutukan masyarakat antarabangsa termasuklah di Malaysia.

Melihat rekod prestasi Olimpik atlet negara tersebut - tak salah untuk kita di Malaysia mengambil inspirasi hasil dari kerja keras yang telah mereka capai, cekal mahu mengharumkan nama negara walaupun tak dibenarkan melakukan bermacam perkara seperti atlet negara kita.

Rujukan

‘I am not a hero in North Korea because I didn’t win the gold.’

Kim Jong Un's love of sport could be making of Games

Curious About the Lives of North Korea’s Isolated Athletes? Here’s a Glimpse



Hakcipta iluminasi.com (2017)