giliran nadiyah shahab pula diugut tumbuk

Kredit foto: Instagram Nadiyah Shahab

Pelakon Nadiyah Shahab yang memegang watak antagonis dalam drama Lafazkan Kalimah Cintamu menerima beberapa ugutan daripada para pengikut Instagramnya.

Kata Nadiyah atau nama sebenarnya Sharifah Nadiyah Syed Fuad Al Shahab, 27, ada netizen yang mengatakan mereka bakal menghantar santau melalui bomoh. 

"Sejujurnya, saya sangat takut dan fobia dengan ugutan sebegini.

"Saya tidak faham apabila ada pengikut yang ambil serius terhadap karakter antagonis yang saya bawakan hingga sanggup menghantar mesej peribadi yang bukan-bukan di Instagram.

"Malah ada yang mahu menumbuk kalau terserempak di luar," katanya.

Nadiyah mengulas mengenai watak Tengku Natasha yang dibawanya dalam drama berkenaan hingga memberi impak kepada penonton.

Katanya lagi, walaupun belum berhadapan dengan apa-apa situasi buruk, namun dia tetap mengambil pendekatan berwaspada. 

"Sejak membintangi drama ini, saya makin takut dengan kelakuan pengguna laman sosial yang adakalanya bertindak di luar batasan. Saya bimbang seandainya perkara itu benar-benar berlaku terhadap diri saya.

"Bagaimanapun saya sering menunjukkan kehidupan sebenar saya di Instagram supaya mereka tidak menganggap watak Tengku Natasya yang dimainkan adalah perangai sebenar saya," katanya.

Lafazkan Kalimah Cintamu antara lain dilakonkan Datuk Farid Kamil, Nelydia Senrose, Azhar Sulaiman dan juga Adibah Noor.

Drama arahan Along Kamaludin itu ditayangkan sejak 15 Januari lalu, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di saluran Astro Ria.

Sumber berita: Harian Metro


tags : , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)