Anti-semitik. Istilah itu menjadi antara perkataan paling popular kerap kali diungkapkan. Perdana Menteri ke 4 dan ke 7 negara kita, Tun Mahathir Mohamad juga kerap dikritik seorang yang anti-semitik oleh masyarakat luar.

Stigma anti-semitik merupakan antara stigma tertua di dunia yang masih diamalkan pelbagai masyarakat di seluruh dunia. Namun persoalannya, sejauh mana kita memahami asal-usul perspektif ini? Kenapa masyarakat dunia di sesetengah negara mempunyai sifat ini, seolah-olah wujud tanpa perlu diajar?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mari kita belajar serba sedikit tentang punca isu wujudnya rasa anti-semitik di kalangan ahli masyarakat dunia.

Asal-usul anti-semitik

penganut kristian anti yahudi

Anti-semitik merupakan satu perasaan stereotaip mudah yang diwarisi masyarakat dunia secara turun temurun, generasi ke generasi terhadap kaum Yahudi.

Stigma ini datang dalam pelbagai bentuk, diburukkan dengan perasaan takut orang ramai serta kegusaran yang timbul akibat perubahan-perubahan dunia hari ke hari, yang dikatakan dikawal masyarakat Yahudi.

Istilah 'anti-semitik' dipopularkan oleh jurnalis Jerman bernama Wilhelm Marr dalam tulisannya yang bertajuk 'The Victory of Jewry over Germandom' pada tahun 1879. Wilhelm yang membawa pemikiran sekular, menolak sepenuhnya teori-teori kepercayaan masyarakat Kristian sejak zaman dahulu terhadap orang Yahudi, seperti isu kelicikan bangsa Yahudi serta dakwaan orang Yahudi membunuh kanak-kanak beragama Kristian.

Wilhelm memilih untuk berpegang kepada teori ahli akademik moden seperti Ernest Renan yang percaya pertembungan di antara orang Jerman dengan orang Yahudi semasa perang dunia, sebenarnya berpunca daripada isu perbezaan bangsa yang bersifat baru; tidak mempunyai hubungkait dengan kepercayaan lama orang zaman dahulu yang beliau percayai tidak berasas, serta lebih banyak berkait dengan kefahaman tahyul yang mundur.

Anti semitik dikalangan tradisi kepercayaan masyarakat lama

orang kristian orang yahudi

Pandangan Wilhelm bagaimanapun disanggah oleh ahli akademik sejarah lain sezamannya seperti pakar sejarah dari Amerika Syarikat, Joshua Trachtenberg.

Dalam tulisannya, Joshua menyebut stigma anti-semitik moden sebenarnya sudah berakar umbi dalam masyarakat Eropah khasnya di Eropah tengah dan timur sekian lama, bukan hanya dimulakan oleh gerakan Nazi semasa zaman perang. Masyarakat di kawasan tersebut memang sudah mempunyai konsep kepercayaan sendiri terhadap masyarakat Yahudi yang lebih bertonakan negatif, membawa sentimen kebencian.

Kajian sejarah terhadap pemikiran masyarakat sebelum kedatangan ajaran Kristian juga menyokong pandangan Joshua. Ramai penyelidik berpendapat kepercayaan orang Yahudi yang merasakan mereka adalah kumpulan insan terpilih Tuhan, menjadi punca utama kewujudan stigma anti-semitik sejak zaman dahulu.

Ahli politik Rom, Cicero yang hidup pada tahun 106-43BC terkenal dengan amaran-amaran beliau berkenaan sifat tersembunyi orang Yahudi yang sukar berasimiliasi dengan masyarakat Rom lain serta bahaya pengaruh masyarakat Yahudi yang mendapat kedudukan tinggi dalam kerajaan Rom.

Ahli sejarah Rom, Tacitus (56-120AD) kerap kali mengkritik amalan masyarakat Yahudi yang meninggalkan kepercayaan yang telah mereka amalkan sekian lama selepas memeluk agama Judaism.

Penyair Rom, Juvenal (55-130AD) turut sama menyatakan kemarahannya pada kelompok masyarakat Rom yang terikut dengan 'perangai' orang Yahudi, serta kerap kali menyebut golongan Yahudi sebagai kumpulan manusia yang amat gemar mabuk dan tidak mampu beradab.

Stigma pembunuh 'Jesus Christ'

papan tanda halang yahudi

Dalam catatan-catatan teologi Kristian awal, dapat dilihat memang telah wujud sebenarnya asas kepada stigma anti-semitik.

Justin Martyr dalam tulisannya yang paling terkenal 'Dialogue with Trypho the Jew' pada tahun 140AD, mempertikaikan kepercayaan masyarakat Yahudi yang menerima ajaran Judaism tetapi tidak mahu mengamalkan apa yang terkandung dalam kitab Torah.

Hujah-hujah Justin dilihat sebagai satu cara mencipta persepsi bagi merendahkan kedudukan orang Yahudi dan kepercayaan mereka, kerana Justin percaya ajaran Kristian sepatutnya menjadi pilihan masyarakat Yahudi yang seakan enggan menerima kepercayaan baru yang telah diturunkan pada mereka.

Justin juga antara individu terawal secara terbuka menyalahkan orang Yahudi sebagai punca utama berlakunya pembunuhan ahli masyarakat yang memeluk agama Kristian, kerana bagi Justin, kelompok Yahudi adalah komuniti yang bertanggungjawab membunuh Jesus Christ. Dakwaan-dakwaan ini terus dipegang masyarakat Kristian berikutnya, khasnya pemimpin gereja seperti Tertullian (160-225AD) yang menyifatkan semua tekanan ke atas masyarakat Yahudi sebelum kedatangan Kristian, sebenarnya berpunca daripada sifat orang Yahudi yang rata-ratanya dilahirkan jahat.

Sebagai buktinya, Tertullian menyenaraikan beberapa sifat orang Yahudi yang dirasakan salah - seperti menafikan kerasulan Jesus Christ, membunuh masyarakat Kristian serta gemar melawan perintah Tuhan. Hasil tulisan Tertullian memberikan pengaruh yang besar pada masyarakat Yahudi dan Kristian beribu tahun lamanya, membentuk pemikiran masyarakat Kristian agar memandang serong orang Yahudi yang juga seorang penganut Judaism.

adversus judaeos

Komuniti Yahudi mula berdepan dengan komuniti Kristian yang melihat mereka sebagai musuh, dengan beberapa insiden pembunuhan etnik besar-besaran dijalankan di Eropah, seperti di England pada tahun 1290, Perancis pada 1306 dan Sepanyol pada tahun 1492.

Selain itu, buku 'Adversus Judaeos' (Hujah melawan Judaism) tulisan John Chrysostom yang terbit pada abad ke 4, juga dikatakan menjadi batu asas kepada gerakan anti-semitik masyarakat Kristian sejak sekian lama - memainkan pengaruh besar membentuk pemikiran golongan pagan aliran Nazi yang akhirnya memuncak semasa perang dunia kedua.

Gerakan anti-semitik pada zaman kita

bendera nazi hitler was right

Tahun 2017 mencatatkan peningkatan insiden melibatkan keganasan anti-semitik di United Kingdom, dengan statistik menunjukkan komuniti Yahudi di beberapa kawasan menjadi sasaran serangan sebanyak 4 kali dalam sehari. Apabila dilakukan perbandingan dengan tahun sebelumnya, jelas sekali berlaku peningkatan ketara jumlah serangan yang berlaku.

Masalahnya, tidak diketahui kenapa situasi ini mula wujud. Kajian yang dilakukan oleh Kesatuan Eropah mendapati  tanda-tanda gerakan anti-semitik akan kembali berjalan walaupun usaha-usaha untuk menghalangnya kembali, telah pun diambil.

kartun anti semitik

Dalam insiden terbaru di Amerika Syarikat; negara yang dipercayai negara paling selamat untuk orang Yahudi - 11 orang penganut Yahudi ditembak mati pada 28 Oktober 2018 semasa sedang menghadiri perayaan Sabbath.

Di negara Eropah dan Amerika Syarikat, komuniti Yahudi hidup sehingga terpaksa merahsiakan identiti agama dan bangsa mereka bagi mengelakkan serangan yang bersifat fizikal ataupun serangan psikologi. Stigma itu semakin diperkuatkan dengan apa yang berlaku di antara negara Palestin dan kerajaan haram Israel beberapa puluh tahun kebelakangan ini, meningkatkan kembali persepsi buruk pada kaum Yahudi dibantu dengan bermacam telahan, teori dan konspirasi.

Begitulah serba sedikit penerangan tentang asal-usul sebenar gerakan anti semitik yang sangat popular dan kerap kali dibincangkan. Sama ada anda mahu melihat gerakan anti semitik ini benar atau salah, kami biarkan anda buat keputusan sendiri.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel Antisemitism: how the origins of history’s oldest hatred still hold sway today yang diterbitkan pada 28 Februari 2018.




Hakcipta iluminasi.com (2017)