Oleh pada 02 Feb 2018 kategori

Sumber foto: Reuters / Buddhika Weerasinghe (Gambar sekadar hiasan)

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bakal menjejaki dan memindahkan gajah liar yang memijak seorang pemandu lori sehingga mengalami kecederaan parah di Kilometer 19, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, semalam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bakal memindahkan gajah liar tersebut ke pusat konservasi gajah untuk menghindari perselisihan antara haiwan liar itu dan manusia daripada berlaku lagi.

"Kejadian seumpama ini berlaku kerana habitat haiwan itu telah diganggu oleh manusia dan kita cuba elakkan konflik antara manusia dengan haiwan melalui cara ini (pemindahan ke pusat konservasi)," ujarnya setelah tamatnya majlis perasmian FRIM Incorporated (FRIM Inc) di Kuala Lumpur hari ini.

Majlis itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Wan Junaidi memberi keterangan tentang insiden sekitar jam 4.30 petang berkenaan yang mengakibatkan mangsa, M. Paramanazan (69 tahun) dari Sungai Siput Utara, Perak itu luka pada lengan kanan, patah tangan kiri, tulang rusuk kiri dan mungkin juga tulang leher.

Beliau juga mengingatkan orang awam agar tidak menceroboh hutan atas urusan pertanian memandangkan ia bakal menimbulkan kekacauan terhadap habitat haiwan liar.

gajah pijak pemandu lori hingga parah bakal dipindahkan ke pusat konservasi 1

Sumber foto: Kosmo Online / media sosial

Sumber berita: Bernama & Kosmo Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)