Oleh pada 10 Jan 2018 kategori

Sumber foto: The Malay Mail Online 

Sebuah treler terjatuh dari ketinggian kira-kira 13 meter di Jambatan Ahmad Shah, Kilometer 125 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan pada kira-kira jam 11.20 pagi Isnin lepas.

Pemandu treler yang nyaris maut dalam kejadian tersebut bagaimanapun bersyukur terselamat selepas hanya mengalami sedikit cedera ringan.

Mangsa Mohd Fariz Ridzuan Mahmood, 42, dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), untuk rawatan, sebelum dibenarkan pulang.

Kejadian yang tidak diduga itu berlaku semasa perjalanan treler tersebut dari Kuantan ke Mentakab, selepas menghantar papan lapis menurut Mohd Fariz yang berasal dari Taman Temerloh Jaya.

Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta di depan tiba-tiba berhenti kerana ingin memberi laluan kepada ambulans, menyebabkan saya terpaksa menekan brek secara mengejut dan hilang kawalan serta merempuh besi penghadang jalan.


Saya tidak percaya selamat kerana treler dipandu jatuh pada ketinggian yang tinggi, namun bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Sehubungan itu, Hashnuddin Hussin, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh berkata, lapan anggota serta satu jentera diarahkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 11.26 pagi.

Sebaik tiba, kami mendapati pemandu treler berjaya keluar daripada kenderaan berat berkenaan dan hanya cedera ringan. Kita mengambil tindakan memotong aliran elektrik daripada bateri treler itu kerana dikhuatiri berlaku letupan berikutan berlaku tumpahan minyak.

Ekoran kejadian tersebut, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, menurut Asisten Komisioner Zundin Mahmood, Ketua Polis Daerah Temerloh.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)