"Alhamdulillah, Banyak juga hasil jualan ikan sungai saya hari ini. Tapi bergantung pada cuaca juga, kalau musim hujan hasil jualan sangat kurang. Selalu saya berniaga di pasar malam sebab kebanyakan pembeli adalah warga asing seperti warga Bangladesh dan Myanmar". kata Ikin kepada pihak Iluminasi.
Ikin atau nama sebenarnya Nur Ashikin binti Mohd Khalid merupakan seorang peniaga ikan sungai. Ikin yang berasal dari Lunas,Kedah menetap di Kampung Sungai Seluang Bawah. Ikin yang berusia 23 tahun ini telah menamatkan pengajian di peringkat Diploma dalam jurusan pemasaran di Politeknik Sultanah Bahiyah pada tahun 2015.
BESARKAN TEKS A- A+
Selepas sebulan tamat pengajian peringkat Diploma, Ikin mendapat panggilan kerja di salah sebuah kilang yang terletak di Lunas sebagai kerani kemasukan data. Ikin bekerja sekejap sahaja disebabkan faktor suasana tempat kerja yang tidak berapa sesuai. Selepas itu, Ikin mula berniaga ikan sepenuh masa.
Pada mulanya, ibu bapa Ikin bimbang kerana Ikin mempunyai Diploma. Namun Ikin tidak minat untuk bekerja di pejabat tetapi tetap mahu berniaga ikan juga. Sifat ini tidak seperti kebanyakan lepasan IPT yang dikatakan sering memilih pekerjaan.
Ikin juga bernekad untuk berniaga seperti bapanya dan telah berjaya meyakinkan keluarganya bahawa Ikin boleh melakukannya. Bagi Ikin, Diploma itu hanya sebahagian daripada menuntut ilmu, lagipun kebanyakan graduan yang mempunyai Diploma tidak bekerja mengikut bidang yang dipelajari.
Ayah Ikin merupakan seorang peniaga pasar malam. Ayahnya juga seorang penangkap ikan di sungai dan hasil pencarian tersebut dijual secara segar dan juga dijadikan pekasam. Selalunya Ikin akan berniaga ikan segar dan ikan pekasam bersama kakaknya di sekitar pasar malam Lunas. Hasil jualan Ikin sekitar RM1,000 lebih sebulan, bergantung juga kepada faktor cuaca dan kuantiti ikan.
Ikin sedikit pun tidak berasa malu untuk menjual ikan di pasar malam kerana ia merupakan sumber rezeki yang halal di samping berniat untuk membantu keluarganya. Minat berniaga juga membuatkan Ikin lebih yakin berhadapan dengan orang ramai dan Ikin merasa seronok apabila dapat melihat pelbagai ragam dan gelagat manusia ketika berniaga di pasar malam.
Ikin juga memberi saranan supaya menceburi bidang perniagaan walaupun berniaga secara kecil-kecilan namun besar ganjaran yang akan diterima nanti. Yang penting usaha, doa dan tawakal. Ikin juga berpesan supaya banyakkan senyum, jujur dan sabar melayan kerenah setiap pelanggan. Lagipun berniaga adalah sunnah dan setiap apa yang kita buat mestilah niat kerana Allah.
Ikin juga berharap supaya bidang yang Ikin ceburi ini berjalan dengan lancar dan mempunyai kedai sendiri suatu hari nanti kerana Ikin memang minat berniaga. Doakan kejayaan Ikin.