Usaha tangga kejayaan. Pasti anda kerap mendengar pepatah ini. Walaupun ia agak cliche, namun tak ada siapa dapat nafikan kebenarannya. Itu yang dipegang oleh Mohd Lutfi Bin Suhaimi, yang dahulunya agak terbelakang dalam pelajaran, tetapi berkat kegigihan dan ketekunannya, beliau telah membawa dan membanggakan nama Malaysia di mata dunia.

Mohd Lutfi adalah seorang anak jati Kedah yang merupakan graduan Universiti Tun Hussein Onn yang telah menamatkan pelajarannya dalam bidang kejuruteraan mekanikal di peringkat Ijazah Sarjana Muda pada tahun 2015 ketika berusia 28 tahun. Walaupun berjaya menamatkan pendidikan di tahap tinggi, namun apa yang dilalui anak muda ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana beliau dahulunya sangat perlahan dalam pelajaran berbanding kanak-kanak lain.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tidak boleh membaca sehingga darjah 5

ketika zaman kanak kanak

Ketika di peringkat sekolah rendah, beliau mengalami masalah pembelajaran yang agak teruk dan mengalami kesukaran untuk membaca. Ketika murid-murid lain sudah ke hadapan, Lutfi masih di belakang dan beliau mengambil masa sehingga darjah 5 untuk mula membaca, seolah-olah tiada harapan baginya dalam pelajaran.

Pelbagai masalah pembelajaran lain dihadapi Lutfi dan disebabkan itu, ia membuatkan beliau seperti tidak berminat untuk belajar. Oleh itu, keputusan beliau dalam UPSR tidak begitu memberangsangkan.

di sekolah menengah

family

Memasuki sekolah menengah, Lutfi yang merupakan anak ke-2 sudah mula membantu ibu bapanya dalam perniagaan mereka bagi menyara keluarganya yang besar terdiri daripada 11 orang adik beradik. Walaupun agak perlahan dalam pelajaran, beliau dikurniakan naluri kemahiran teknikal dan lebih mudah mempelajari perkara praktikal.

Semasa membantu bapanya, Lutfi mempelajari dengan sendiri cara bertukang dan kemahiran elektrik serta elektronik. Bakat semulajadi ini diwarisi oleh Lutfi melalui bapanya, Suhaimi Ahmad

bantu bapaya di bengkel

Membantu bapanya di bengkel sehingga lewat pagi adalah perkara biasa dan menjadi rutin harian. Malam sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Lutfi masih berada di tapak kerja bagi menyiapkan tugasannya di mana remaja-remaja lain sudah tidur untuk menghadapi peperiksaan keesokan hari. Namun, berkat membantu keluarga, Lutfi masih mampu mendapat keputusan SPM lulus dengan 1A.

Belajar dan bekerja menyara keluarga

kerja sambil belajar

Pada tahun 2005, beliau diterima masuk ke UiTM Arau dalam kursus kejuruteraan awam. Namun disebabkan tiada siapa yang membantu kerja-kerja di bengkel bapaya, Lutfi memilih untuk menyambung pelajaran di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Jitra kerana jarak yang lebih dekat dan boleh berulang alik.

Selama tiga tahun mengikuti kursus diploma kejuruteraan mekanikal itu, beliau yang tinggal di Alor Setar berulang alik setiap hari ke kelas sejauh 50 kilometer yang membolehkan beliau kerja di bengkel, seperti yang dilakukannya ketika zaman sekolah. Kesukaran mendapat tenaga kerja yang mahir membuatkan beliau sentiasa diperlukan di bengkel bapanya.

kemahiran semulajadi

Tekad untuk mengubah nasib keluarga, kali ini Lutfi berusaha gigih walaupun mempunyai tanggungjawab berat di bahunya. Berkat kegigihan dan pengorbanan terhadap keluarga serta minat dalam bidang kejuruteraan, telah membuahkan hasil apabila beliau mencapai keputusan yang cemerlang iaitu dengan CGPA 3.47.

Selepas menamatkan pelajaran di peringkat diploma pada tahun 2008, Lutfi yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi terpaksa melupakan hasratnya kerana masih terpaksa membantu perniagaan bapanya. Niat dihati untuk menyambung di peringkat ijazah sarjana muda tidak pernah hilang.

Sambung pelajaran ke peringkat ijazah

graduasi

Setelah beberapa tahun bekerja di bengkel bapanya, akhirnya peluang beliau untuk menyambungkan pelajaran tiba. Lutfi diterima masuk ke Universiti Tun Hussein Onn dalam bidang kejuruteraan mekanikal. Di sinilah tempatnya beliau mempelajari bidang kejuruteraan dengan lebih mendalam dan mempratikkan segala kemahiran yang beliau perolehi ketika bekerja bersama bapanya. Beliau juga mendapat tajaan biasiswa penuh oleh JPA.

Lutfi yang berusia lebih tua daripada rakan sekuliahnya tidak pernah berasa malu dan membuatkan beliau lebih bersemangat. Beliau juga pernah bekerja sebagai pemetik buah di Australia selama 2 bulan pada tahun terakhir ijazahnya kerana ingin menampung pembelanjaan projek tahun akhir yang mahal. Dan pada tahun 2014, iaitu tahun terakhir beliau di universiti, Lutfi dan rakan-rakannya telah menyertai pertandingan MyInovasi 2014.

Johan keseluruhan MyInovasi 2014

MyInovasi adalah pertandingan rekacipta yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi bagi menanam kreativiti dan inovasi para pelajar serta mencungkil bakat terpendam yang ada. Ia juga akan membolehkan masyarakat dan industri mendapat manfaat daripada produk yang dipertandingkan.

Ia disertai oleh 1,250 kumpulan daripada pusat pengajian tinggi seluruh Malaysia iaitu Institusi Pengajian Tinggi Awam, Institusi Pengajian Tinggi Swasta, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Latihan Guru.

Dengan bakat dan kemahiran yang ada pada Lutfi, beliau dan pasukannya telah mencipta Self-lifted Stand For Motorcycle Safety (SMARTS), iaitu tongkat automatik bagi motosikal yang dapat mengelakkan kemalangan akibat terlupa mengangkat tongkat motosikal.

Ciptaan mereka telah berjaya memenangi pertandingan itu di peringkat zon dan membawa nama UTHM melangkah ke peringkat nasional. Mereka membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000.

johan myinovasi 2014 146

Di kemuncak pertandingan MyInovasi 2014 iaitu peringkat nasional yang diwakili oleh 50 pasukan pemenang peringkat zon tengah, utara, timur, selatan, Sabah, Sarawak, projek SMARTS diterajui Lutfi bersama kumpulan sekali lagi memenangi hati para juri dan projek dari UTHM ini telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000.

ditemuramah selamat pagi malaysia

Setelah mengharumkan nama UTHM di peringkat nasional, projek Lutfi dan kumpulan telah dijemput untuk menyertai pameran rekacipta terkemuka di Asia iaitu International Invention and Innovation Exhibition (ITEX) ke-26 di KLCC pada Mei 2015 dan telah dianugerahkan pingat emas.

Pingat emas di Seoul International Invention Fair 2015

lutfi di siif

Tak cukup dengan itu, mereka sekali lagi dijemput untuk menyertai pameran rekacipta, tapi kali ini di Korea Selatan iaitu Seoul International Invention Fair (SIIF) pada November 2015. Seperti yang dijangka, ciptaan mereka telah diiktiraf di peringkat antarabangsa dan menerima pingat emas, sekaligus menaikkan nama Malaysia di persada dunia dalam bidang rekacipta.

Pencapaian yang memberangsangkan ini patut menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia. Siapa sangka sorang kanak-kanak yang dahulunya tidak tahu membaca dan dilihat seperti tidak mempunyai masa depan dalam bidang pelajaran, telah menjadi wakil seluruh pelajar di Malaysia dan berjaya mengharumkan nama Malaysia.

juara myinovasi 2014

Sesungguhnya setiap kekurangan pada seseorang, pasti terselit kelebihan yang kita tidak ketahui. Sebaik-baik perancangan itu adalah daripada Dia. Kisah ini boleh dijadikan pedoman kepada ibu bapa agar tidak menghakimi setiap kekurangan yang ada pada anak-anak, sebaliknya melihat kelebihan dan bakat mereka serta dipupuk agar berkembang.

Ingat, tak semua di antara kita dilahirkan untuk menjadi doktor dan jurutera. Dan tak semua orang yang gagal, akan gagal selama-lamanya. Sesungguhnya tiada apa yang mustahil di dunia ini, jika kita mahukan sesuatu, kita pasti akan mengecapinya jika kita berusaha bersungguh-sungguh.

Wallahualam.




Hakcipta iluminasi.com (2017)