Oleh pada 13 Sep 2021 kategori

Tidak seperti ikon lain yang dimuatkan di kulit majalah Life, Ferdinand Waldo Demara bukanlah seorang pelakon, ahli politik atau usahawan ternama. Ferdinand sebenarnya adalah seorang penipu yang mendapat gelaran "The Great Imposter".

ferdinand waldo demara

Dalam 23 tahun kariernya, Ferdinand pernah menjadi tentera, doktor, professor, warden penjara, jurutera, guru, timbalan sheriff, peguam, paderi dan banyak lagi. Walaupun dianggap sebagai penipu besar tetapi Ferdinand juga dianggap sebagai wira. Berikut adalah kisahnya.

Ingin menjadi seorang yang dihormati

Ferdinand Waldo Demara dilahirkan pada tahun 1921. Pada usia 16 tahun, dia telah melarikan diri dari rumah dan menyertai beberapa kumpulan paderi seperti Trappist dan Brothers of Charity. Namun, dia dibuang dari biara-biara itu kerana masalah disiplin.

Berang apabila dibuang daripada Brothers of Charity, Ferdinand telah mencuri wang dan kereta pertubuhan itu kemudian menyertai tentera darat pada 1941 ketika berusia 19 tahun. Ferdinand tidak sukakan kehidupan sebagai tentera darat telah mencuri identiti seorang rakannya dan menyertai tentera laut pula.

Dalam tentera laut, dia diterima untuk menjalani latihan perubatan. Ferdinand lulus kursus asas tetapi tidak dapat pergi jauh kerana tiada kelayakan. Dia telah memalsukan dokumen dan memohon untuk jawatan pegawai tentera. Apabila penipuannya terbongkar, Ferdinand memalsukan kematiannya dan menghilangkan diri.

ferdinand demara

Setahun kemudian, Ferdinand mencuri identiti Dr. Robert Linton French iaitu bekas pegawai tentera laut dan ahli psikologi. Dia bekerja sebagai seorang guru kolej menggunakan identiti Dr. Robert sehingga tamat perang dunia kedua pada 1945. Ferdinand akhirnya ditangkap pihak berkuasa atas kesalahan meninggalkan tugas sebagai tentera.

Kerana berkelakuan baik, dia hanya dipenjara selama 18 bulan sahaja daripada hukuman sebenar selama enam tahun. Setelah dibebaskan, dia kembali kepada tabiat buruknya. Kali ini dia menyamar sebagai seorang peguam bernama Dr. Cecil Hamann dan mengajar di sebuah kolej di Maine.

Penipuan demi penipuan

Sebenarnya, banyak lagi penipuan lain yang dilakukan Ferdinand. Namun, antara penipuan terhebat yang dilakukan lelaki ini adalah apabila dia mencuri identiti Dr. Joseph Cyr. Ferdinand mengenali Dr. Joseph Cyr ketika dia menyamar menjadi seorang peguam.

Dengan menggunakan identiti baru dan dokumen yang dipalsukan, Ferdinand memohon untuk menyertai Tentera Laut Canada. Ketika memohon, dia memberikan kata dua "Berikan saya jawatan pegawai atau saya akan memohon menyertai tentera darat".

ferdinand waldo demara 2

Pihak Tentera Laut Canada yang tidak mahu kehilangan seorang doktor terlatih telah menerima permohonan Ferdinand tanpa berfikir panjang.

Ketika ditempatkan di hospital tentera di Pangkalan Halifax, Ferdinand meyakinkan doktor lain untuk menyumbang buku ringkas perubatan yang didakwanya untuk didermakan kepada penempatan terpencil di Canada. Sebenarnya, buku-buku itu digunakan Ferdinand untuk membuat rujukan.

Dihantar ke medan perang

Pada tahun 1951, Ferdinand telah ditugaskan sebagai doktor kepada kapal perang HMCS Cayuga. Kapal perang itu ditempatkan di pesisir pantai Korea ketika Perang Korea (1950-1953) sedang meletus. Ferdinand ditugaskan menjaga 211 anak kapal dan 8 orang pegawai tentera.

Kebanyakan masanya, Ferdinand mengarahkan pembantunya iaitu Bob Horchin untuk merawat kecederaan ringan. Horchin berbangga kerana mempunyai pegawai atasan yang mempercayainya untuk menggalas tanggungjawab penting.

kru cayuga

Namun, beberapa tugasan tidak Horchin lakukan. Ferdinand terpaksa mengambil alih walaupun beberapa kali menghilangkan diri untuk merujuk kepada buku perubatan yang disimpannya. Antara kejayaan Ferdinand adalah pembedahan gusi yang dilakukan ke atas kapten kapal Cayuga.

Tugas getir yang dilalui Ferdinand adalah ketika mereka menemui sebuah kapal kecil yang dipenuhi 19 tentera Republik Korea. Sebahagian daripadanya cedera dan ada yang sudah meninggal dunia.

Mengejutkan, Ferdinand berjaya merawat mangsanya. Bukan sahaja cedera ringan tetapi dia berjaya memotong kaki seorang lelaki, mengeluarkan peluru ketika melakukan pembedahan dada dan beberapa pembedahan lagi.

Penipuan terbongkar

Kejayaannya itu dipamerkan sebuah akhbar dan berita itu dibaca oleh ibu kepada Dr. Joseph Cyr yang sebenar. Penipuan Ferdinand terbongkar lagi. Demi mengelak skandal lebih besar, kerajaan Canada menghantar Ferdinand pulang ke AS pada November 1951.

Setelah kembali ke Amerika, Ferdinand mula mendapat perhatian umum dan digelar sebagai "The Great Imposter". Pada 1955, Ferdinand yang telah naik berat badan dan ketagihan alkohol sekali lagi menghilangkan diri.

Kali ini, dia menggunakan nama Jones dan mula bekerja sebagai pengawal di Penjara Huntsville di Texas. Apabila penipuannya diketahui, Ferdinand menghilangkan diri pada 1957 tetapi berjaya ditangkap dan dihukum penjara selama enam bulan.

the great imposter

Filem The Great Imposter (1960) adalah berdasarkan kisah Ferdinand

Setelah dibebaskan, dia mendapat tawaran untuk muncul di kaca TV dan membuat penampilan dalam filem. Pada waktu ini sehingga dia meninggal dunia pada 1981, Ferdinand berusaha untuk tidak melakukan penipuan lagi.

Dia kembali menyertai kumpulan paderi dan mendapat pengiktirafan menggunakan nama sebenarnya sebelum bekerja sebagai penjaga warga tua di sebuah hospital di California.



Hakcipta iluminasi.com (2017)