Oleh pada 08 May 2019 kategori

masjid liberal pelik

Masjid merupakan tempat ibadah yang mempunyai signifikan yang besar pada setiap orang Muslim. Selain daripada dijadikan pusat ibadah, masjid juga memainkan peranan menguruskan komuniti Muslim kawasan sekitarnya, selain daripada menjadi penganjur aktiviti yang berfaedah tidak kiralah melibatkan elemen agama atau sosial semata-mata.

Imej masjid yang telah terbina sekian lama kini menghadapi satu ancaman baru, sebuah fenomena perubahan yang dibawa oleh masyarakat Muslim barat yang ingin mengubah tradisi perjalanan dan pengurusan masjid sedia ada.

Fenomena 'masjid liberal' atau 'liberal mosque' mula kedengaran kebelakangan ini dengan beberapa negara sudah pun mengiktiraf, malah mempromosikan kewujudannya sebagai satu alternatif yang lebih baik kepada masjid komuniti Muslim sedia ada. Apa yang dimaksudkan dengan 'masjid liberal'? Jom kita baca.

Istilah 'masjid liberal'

jemaah masjid liberal

Label atau istilah 'masjid liberal' benar-benar mula popular selepas pembukaan sebuah masjid di Berlin, yang dinamakan Masjid Ibn Rushd-Goethe. Diasaskan oleh seorang wanita bernama Seyran Ates, masjid ini dirasmikan pembukaannya pada tahun 2017.

Dinamakan sempena Ibnu Rushdi, seorang ahli falsafah Andalusia yang hidup pada abad ke 12 yang turut sama dikenali oleh orang barat dengan nama 'Averroes.' Nama beliau dipilih disebabkan oleh usaha dan pegangan beliau yang menyokong pandangan falsafah yang dibawa oleh ahli falsafah Greek, Aristotle dan juga sokongan kuat beliau pada ilmu politik dan sains masyarakat Greek sebelum beliau.

masjid liberal jerman

Apa yang membezakan Masjid Ibn Rushd-Goethe dengan masjid-masjid lain yang seterusnya membolehkan bangunan itu digelarkan 'masjid liberal', adalah peraturan yang diperkenalkan kepada pengunjungnya.

Tidak ada halangan untuk mana-mana pengikut mazhab seperti Sunni, Syiah, Salafi atau Wahhabi untuk menggunakan masjid tersebut - kecuali wanita yang berhijab. Peraturan itu diperkenalkan oleh Seyran sebagai satu bentuk mesej politik yang jelas kepada seluruh dunia jenis Islam bagaimana, yang diamalkan di masjid itu.

Masjid liberal di negara lain

jemaah campur

Walaupun Masjid Ibn Rushd-Goethe bukanlah masjid yang pertama membawa peraturan baru yang agak menyimpang daripada kebiasaan masyarakat Muslim, penubuhan masjid tersebut membuka mata orang ramai kepada masjid berkonsep baru sedemikian rupa.

Terdapat beberapa buah lagi masjid di negara-negara barat yang membawa konsep sama. Di Toronto, Kanada misalnya. wujud sebuah masjid yang dinamakan Masjid el-Tawhid atau lebih dikenali dengan nama 'Unity Mosque' sejak 2008.

Ditubuhkan oleh seorang aktivis yang kuat menyokong hubungan sama jenis bernama El-Farouk Khaki dan pasangan Troy Jackson, masjid ini tidak segan silu membenarkan pasangan Muslim sama jenis beribadah di dalamnya - pakaian yang dipakai pula bebas.

masjid liberal di luar negara

Di Amerika Syarikat pula, terdapat dua buah masjid yang dikatakan masjid liberal - sebuah masjid bernama Woman Mosque of America yang hanya membenarkan pengunjung wanita di dalamnya, dengan hijab menjadi satu pilihan tanpa diwajibkan dipakai semasa berada di dalam masjid.

Sebuah lagi masjid serupa yang dinamakan Qalbu Maryam Mosque yang terletak di Berkeley, California pula memperkenalkan peraturan berbeza. Walaupun membenarkan lelaki menjadi pengunjung, masjid ini pula ditubuhkan bagi menyatukan wanita daripada komuniti Muslim, Yahudi dan Kristian dalam mempelajari ilmu dunia dan akhirat.

Sebuah masjid bernama Masjid Mariam yang terletak di Copenhagen, Denmark juga mempunyai syarat dan peraturan yang sama dengan 'masjid wanita' di Amerika Syarikat. Persamaan lain yang lebih besar pada ketiga-tiga masjid itu - semuanya melantik imam daripada golongan wanita.

Matlamat besar 'Masjid Liberal'

imam perempuan denmark

Sekiranya anda rajin menelaah isu-isu berkaitan masjid liberal, anda akan mendapati wujud persamaan dalam kelonggaran bagaimana masjid itu digunakan. Kebanyakan masjid liberal tidak membezakan fahaman mazhab, malahan terbuka menerima mana-mana mazhab sekalipun.

Kebanyakan masjid liberal juga mengamalkan solat berjemaah secara bercampur lelaki dan wanita, tanpa wujud ruangan atau sempadan. Ini menyebabkan jemaah lelaki dan wanita akan bersolat sebelah menyebelah. Selain itu masjid liberal juga terbuka menerima mana-mana golongan LGBTQ; mereka bebas melakukan perkara-perkara biasa yang dilakukan mana-mana pasangan bercinta, seperti berpegangan tangan atau berpelukan dalam masjid.

Tidak ada syarat imam perlu datang daripada lelaki digunakan, membolehkan mana-mana imam wanita yang dilantik mengetuai solat jemaah yang dilakukan secara bercampur-campur. Bilal yang akan mengalunkan azan juga boleh dilantik dari seorang wanita.

solat jemaah campur jantina

Selain itu, majoriti masjid liberal tidak mengenakan sebarang syarat pada tatasusila pemakaian, membolehkan pakaian tidak menutup aurat diterima secara terbuka. Apa yang sedikit menggelikan hati, masjid liberal juga menganjurkan solat Jumaat hanya untuk wanita - sedangkan solat itu tidak diwajibkan ke atas mereka.

Fatwa bagi menjelaskan perkara ini sudah pun dikeluarkan oleh beberapa kumpulan mufti, seperti kumpulan Mufti Mesir Dar al-Ifta al-Masriyyah yang secara keras melarang sebarang aktiviti solat jemaah bercampur jantina.

Bagaimanapun, larangan itu tidak dipedulikan pengendali masjid-masjid liberal ini yang terus berkeras mahu menyamaratakan kedudukan lelaki dan wanita dalam Islam - kerana mereka percaya Islam tidak bersikap adil terhadap wanita.

Beberapa negara lain seperti Britain dan Norway sedang dalam proses membuka masjid liberal pertama di negara mereka. Yang menjadi persoalan utamanya sekarang - bagaimana kita mahu menghalangnya jika masjid seumpama ini sudah mula mahu bertapak di negara kita?



Hakcipta iluminasi.com (2017)