Kredit foto: mynewshub

Fattah Amin dalam perkembangan terbarunya memberitahu beliau kini muncul dalam siri drama Gerak Khas terbitan RTM. 

Namun ketika berita ini menjengah pendengaran ramai, tentu ada yang tidak sedar bekerja di bawah syarikat terkemuka Skop Production tersebut bukanlah yang pertama buatnya, malah sudah acapkali. 

Anda mungkin mengenali Fattah Amin selepas namanya menyinar menerusi drama bersiri yang mencetuskan fenomena, Suri Hati Mr. Pilot, namun siapa sangka sebenarnya banyak lagi drama yang pernah melibatkan beliau yang ramai tidak sedar terutamanya drama-drama terbitan Skop Production. Ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana Fattah sendiri adalah anak saudara kepada pengarah tersohor tersebut, Datuk Yusof Haslam. Tahun lalu juga, Fattah ada menerima lamaran daripada Syafiq Yusof (anak Datuk Yusof) untuk membintangi filem KL Special Force yang turut disertai Syamsul Yusof dan Datuk Rosyam Nor. 

Bercakap perihal kemunculan terkininya dalam siri Gerak Khas, menurut Fattah kehadirannya ke set lokasi akan disesuaikan dengan jadual kerjanya yang padat. 

Untuk drama Gerak Khas saya akan terbabit jika dipanggil produksi sahaja selain mengikut kelapangan masa saya. Itu yang seronok bekerja dengan Skop Production, selain kerja yang teliti, semua masalah dibawa berbincang termasuklah jika jadual kerja saya terlalu padat. 

Selain bergelar pelakon, sebelum namanya meningkat naik Fattah mendedahkan beliau juga adalah pekerja belakang tabir bagi syarikat Skop Production sendiri menerusi drama Roda Roda Kotaraya dan filem Sam: Saya Amat Mencintaimu yang dibintangi Shaheizy Sam. 

Kerja belakang tabir ini saya ceburi sebelum menyertai dan menjuarai pertandingan Hero Remaja 2011/2012 lagi. Shaheizy Sam pun masih ingat memori kami bekerja. Ketika filem Sam: Saya Amat Mencintaimu itu menjalani penggambaran, saya turut membantu menyiapkan props dan set penggambaran. Saya sendiri pernah kipaskan Sam bagi menghilangkan kepanasan. Jadi saat bekerja di belakang tabir sendiri pun saya tahu bagaimana penat jadinya kalau bekerja di belakang tabir. Apatah lagi menjadi pelakon.

Dalam perkembangan lain, Fattah kini dalam proses menyelesaikan penggambaran drama Dia Anak Jeneral yang turut dibintangi pelakon Niena Baharun. Beliau turut bertindak sebagai Penerbit Eksekutif buat pertama kalinya bagi drama terbitan A Aida Production tersebut yang bersiaran di RTM. 

Sumber berita: rojakdaily.com




Hakcipta iluminasi.com (2017)