Kredit foto: Astro Gempak

Selepas filem biopik Datuk Lee Chong Wei, peminat bakal disajikan pula dengan kisah perjalanan hidup seorang lagi jaguh sukan negara.

Kali ini, giliran jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang atau lebih dikenali dengan panggilan The Pocket Rocketman.

Kata Azizul, filem keluaran tahun 2019 arahan Raja Mukhriz itu akan memaparkan kisah kehidupannya dari kecil hinggalah bergelar jaguh dunia.

“Memang banyak kisah suka duka yang akan disampaikan di mana cerita sebegini kalau diceritakan semula memang boleh buat saya sebak. Apapun, mesej utama filem ini adalah untuk berkongsi pahit getir yang saya lalui sehingga menjadi juara dunia pada waktu ini.

“Bukan itu sahaja, filem ini juga akan menerapkan tema perpaduan, semangat kesukanan dan ketabahan di mana saya mengharapkan ia dapat memberi inspirasi buat anak muda,” kata Azizul kepada media sewaktu majlis sidang media filem berkenaan pada Rabu.

Dalam pada itu, Azizul berharap wataknya dapat dilakonkan oleh pelakon Shaheizy Sam kerana dianggap paling sesuai untuk membintangi filem biopik itu.

Sehubungan dengan itu, Sam yang baru tamat penggambaran filem Polis Evo 2 turut menyambut baik hasrat Azizul.

“Saya memang teringin untuk melakonkan watak untuk filem bercorak biografi dan setakat ini saya belum pernah lakukannya.

“Jika diberi peluang, saya akan cuba menjiwai watak dan mahu mengenali secara rapat Azizul terlebih dahulu agar berjaya melakonkan watak dengan baik,” katanya ketika diwawancara sebuah portal.

Filem berkos RM6 juta ini merupakan hasil kerjasama syarikat pengurusan Azizul iaitu ThreeSixty Managemen, UniTalent Sdn Bhd dan Universiti Utara Malaysia.

Sumber berita: Sinar Harian




Hakcipta iluminasi.com (2017)