Oleh pada 07 Apr 2019 kategori

Kredit foto: Instagram Fattah Amin & Instagram Hans Isaac

Pelakon Fattah Amin mendedahkan kehadirannya sebagai penyampai trofi Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-30 yang lalu adalah sebagai melaksanakan permintaan pihak penganjur.

Menurut Fattah atau nama lengkapnya, Abdul Fattah bin Mohd Amin, 29, dia menganggap dirinya menjadi mangsa fitnah memandangkan tidak pernah sekalipun memberi sebarang syarat dalam apa juga majlis yang dihadiri.

“Semestinya saya berasa ralat dan terkesan apabila diberitahu mengenai gandingan penyampai bagi kategori itu adalah bekas pemenang FFM sebelum ini. Saya sama sekali tidak tahu menahu, sebaliknya sekadar memenuhi tanggungjawab atas permintaan penganjur.

“Beberapa minggu sebelum majlis, dimaklumkan kehadiran saya mengikut kontrak sebagai ‘trigger’ bagi memberikan elemen kejutan. Malah, saya juga tidak dimaklumkan mengenai kategori yang memerlukan saya naik ke pentas.

“Saya menganggap isu ini sebagai fitnah kerana saya tidak pernah meletakkan syarat, apatah lagi untuk tampil sesuka hati. Walaupun belum cukup lama berada dalam industri ini, saya tahu tindakan sebegitu adalah tidak profesional,” katanya kepada BH Online.

Beliau membuat kenyataan itu sewaktu menghadiri majlis pelancaran koleksi lebaran, Fattastic Raya yang berlangsung di ibu kota pada Sabtu.

Terdahulu, Ahmad Idham Ahmad Nadzri selaku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) menafikan gandingan Fazura dan Fattah sebagai penyampai trofi FFM baru-baru ini, dipersetujui pihaknya.

Manakala, Fazura pula menidakkan dakwaan kononnya dia meletakkan syarat untuk digandingkan dengan Fattah sebagai penyampai anugerah.

Dalam pada itu, suami kepada Fazura itu berkata, dia redha dengan ujian yang terpaksa ditanggung meskipun berasa terkesan kerana telah menjejaskan reputasinya sebagai seorang selebriti.

fattah amin akhirnya bersuara isu fazura dan hans isaac 2

Kredit foto: Instagram Fattah Amin

“Namun, saya akur dengan lumrah kehidupan sebagai anak seni. Perkara sebegini adalah sesuatu yang perlu saya tempuh.

“Permulaan saya dalam industri juga bukan dengan cara yang mudah. Pelbagai kritikan dan kecaman diberikan, namun ia menjadikan saya lebih matang. Saya pasti dugaan Allah ada hikmahnya,” katanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)