Oleh pada 29 Dec 2017 kategori

Bakal bercuti panjang di Los Angeles, Amerika Syarikat, aktres sensasi Nur Fathia Abdul Latiff nafi sedang dalam percubaan berhijrah ke sana dan meninggalkan kerjaya seni di Malaysia.

Sebelum ini, pelakon yang sering dikecam netizen itu dikatakan merajuk dengan pelbagai kontroversi yang melandanya sepanjang tahun 2017.

Namun, Fathia dalam temubual terbaru, berkata, dia sudah lama merancang untuk percutian tersebut kerana teringin merasai pengalaman tinggal di negara orang.

“Saya selalu berfikiran positif dan segala kontroversi yang berlaku tidak pernah melemahkan semangat saya. Benar ada perkara timbul disebabkan diri sendiri tetapi saya belajar daripada kesilapan berlaku.

“Saya membuat keputusan menetap beberapa bulan di Los Angeles kerana ingin mendapatkan perspektif baru dalam hidup,” katanya yang dipetik daripada laporan portal Harian Metro.

Kata pelakon berusia 30 tahun ini, menjelang usianya sekarang amatlah sesuai sekali untuk meninjau perkara baru di Los Angeles yang juga dikenali sebagai kota Hollywood - yang berkait rapat dengan kerjaya seninya.

fathia merajuk lari ke los angeles 2

“Pemergian ini saya tidak meletakkan apa-apa sasaran khusus. Saya juga tidak menetapkan akan duduk berapa lama di sana. Saya mungkin boleh saja mengubah fikiran dan hanya tinggal sebentar dan pulang kembali ke tanah air,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai percutiannya nanti, Fathia bakal berlepas pada awal tahun hadapan. Penginapannya pula akan diuruskan oleh seorang kenalan sebaik tiba di sana.

Dalam pada itu, Fathia menjelaskan antara punca lain dia ingin bercuti panjang kerana ingin melepaskan lelah selepas setahun bekerja keras tanpa rehat.

“Sekarang ini saya mahu melakukan apa yang saya mahu lakukan. Kebetulan saya tidak mempunyai apa-apa komitmen buat masa terdekat ini yang menyebabkan saya boleh saja pergi bercuti selama mana saya mahu,” katanya. 

Kredit foto: Instagram Fathia Latiff

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)