Kredit foto: bm.cari.com.my
Dua bintang yang pernah mencetuskan fenomena era 1990-an dahulu menerusi filem Sembilu, kembali disatukan dalam sebuah lagi karya terbaru arahan sutradara Mamat Khalid, Hantu Kak Limah 2.
Pun begitu, jelas Erra, kemunculannya dalam filem itu hanyalah sebagai 'cameo'.
"Pembabitan saya hanya untuk satu babak saja. Saya hanya menjalani penggambaran sehari di Perak," katanya memetik laporan portal BH Online.
Difahamkan, Erra mengekalkan watak yang sama dalam 'Sembilu' iaitu 'Wati', namun kali ini dalam versi hantu.
"Dalam filem itu, saya jadi watak jelmaan Wati iaitu karakter yang dilakonkan dalam filem Sembilu. Kali ini, Wati dalam versi hantu yang menggoda Husin lakonan Awie," jelasnya.
Tambahnya, misi karakter Wati dalam babak berkenaan adalah untuk meninggalkan kawasan larangan pertapaan Husin.
"Kali ini, tiada babak 'cintan-cintun' tapi lebih kepada komedi.
"Dalam hidup ini, kita pasti akan digoda dengan macam-macam orang termasuk 'jelmaan'. Jadi untuk Husin, diserahkan Wati untuk menggodanya," ujarnya.
Erra yang juga pernah bergandingan dengan Awie dalam filem Warna Cinta Impian tahun lalu memberitahu, dia teruja bekerja pertama kali dengan Mamat.
Dalam perkembangan lain, aktres berusia 43 tahun itu masih menyelesaikan penggambaran drama Gerak Khas musim baharu terbitan Skop Productions Sdn Bhd, sejak September lalu.
"Penggambaran drama Gerak Khas berlanjutan hingga Januari depan. Komitmen saya dalam drama ini hanya 10 hari setiap bulan. Drama ini dijangka disiarkan tahun depan," katanya yang juga bakal masuk ke set penggambaran Polis Evo 2 bulan hadapan.
Sumber berita: BH Online