Kredit foto: babab.net & Beautifulnara 

Usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruz Zaman menolak tawaran untuk membintangi filem Operasi X.

Filem yang bakal memulakan penggambaran pada bulan Januari itu sepatutnya menggandingkan beliau bersama dua hero terkemuka, Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie dan Datuk Aaron Aziz. 

Begitupun, Sajat yang juga dikenali sebagai penyanyi berkata, dia berbesar hati mendapat tawaran itu.

“Saya difahamkan filem bertema aksi itu akan menampilkan saya sebagai rakan perisikan bersama dengan Awie, ibaratnya saya yang mengajarnya bagaimana untuk melaksanakan satu tugas risikan.

“Jujur saya memang berminat untuk membintangi filem itu, apatah lagi ia turut membariskan ramai pelakon nama besar dan hebat,” katanya dalam laporan portal Harian Metro.

Pelantun lagu Abang Nak Tegur ini bagaimanapun berkata, dia terpaksa menolak tawaran berkenaan kerana sudah mempunyai komitmen lain dalam bulan Januari.

Ini ekoran penggambaran filem dijadualkan berlangsung pada 4 Januari di Pulau Pinang, sedangkan dalam masa sama, dia terlibat dalam urusan perasmian wisma miliknya yang terletak di Shah Alam, pada 20 Januari.

“Dalam tempoh itu banyak perkara yang perlu saya berikan perhatian termasuklah urusan hiasan dalaman dan juga kedai emas yang akan mula beroperasi pada awal Januari.

“Bukan itu saja, seperti yang umum tahu saya juga akan muncul dengan single solo pertama, Makhluk Penggoda yang turut menampilkan rakan baik saya Datuk Aliff Syukri,” katanya.

Malah, syarikat rakamannya iaitu Indigital Sdn Bhd merancang sebuah sidang media dan penggambaran video lirik pada pertengahan bulan ini. 

“Saya anggap rezeki tidak berpihak kepada saya walaupun waktu sama memang saya sangat berminat untuk beraksi di samping Awie dan Aaron. Saya tidak boleh tamak untuk melakukan semua perkara dalam satu masa kerana bimbang yang dikejar tak dapat dan dikendong berciciran,” katanya.

Di kesempatan yang sama, Sajat mengucapkan terima kasih sekaligus memohon maaf kepada pihak produksi berkenaan. 

Operasi X antara lain dibintangi hero lagenda, Datuk Rosyam Nor dan Datuk Yusof Haslam. 

Sumber berita: Harian Metro 




Hakcipta iluminasi.com (2017)