Kredit foto: Utusan Online
Bermula tahun ini, aktres dan penyanyi Erra Fazira mengambil keputusan untuk bernaung di bawah syarikat pengurusan MindOrder.
Erra atau Fazira Wan Chek, 44, sejak awal pembabitannya sebagai anak seni tidak pernah terlibat dengan mana-mana syarikat pengurusan artis.
Antara selebriti-selebriti lain yang bernaung di bawah syarikat sama termasuk Fasha Sandha, Eyka Farhana, Reen Rahim, Elvina Mohamad, Nazrief Nazri, Syazwan Zulkifly dan ramai lagi.
Timbul isu dan persoalan adakah Erra dikategorikan sebagai anak emas MindOrder memandangkan beliau merupakan satu-satunya artis senior yang terkenal. Sama-sama kita ikuti pendedahan Erra:
“Anak emas itu tidak. Tetapi saya anggap diri saya sebagai artis yang mempunyai pengalaman lebih lama. Segala perancangan berkaitan kerjaya yang dibuat selepas ini bergantung kepada perbincangan antara saya dan pihak pengurusan".
Dalam pada itu, Erra berkata, dia tidak mengambil masa yang panjang untuk menerima tawaran MindOder kerana menyakini keupayaan syarikat itu.
“Saya tak mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan menyertai MindOrder kerana saya percaya dengan kredibiliti dan kebolehan mereka,” katanya.
Jelas Erra, pemilihan kerjaya seninya lebih bersifat selektif kerana ingin muncul dengan produk yang benar-benar berkualiti.
“Hasil perbincangan antara saya dan MindOrder, kami bakal menggerakkan semula kerjaya nyanyian saya serta akan ada projek melibatkan drama serta filem," katanya.
Malah, bintang Sembilu itu nekad lebih serius memilih projek yang mampu memberi impak positif kepada para peminatnya.
“Saya akan lebih bersifat selektif dan hanya akan memilih projek yang benar-benar berkualiti serta bagus untuk dijadikan buah tangan kepada peminat,” katanya lagi.
Sumber berita: Astro Gempak