Kredit foto: Astro Gempak

Penyanyi Kalis Rindu, Elyana, mendedahkan dirinya menghidap kanser limfoma atau kelenjar tahap empat sewaktu membuat ucapan ketika tersingkir di konsert minggu kelima Gegar Vaganza keempat (GV4), malam tadi.

Katanya, dia mendapat kanser tahap kedua selepas kelahiran anak sulung, Cinta Sumayyah, hampir tujuh tahun lalu.

"Saya tidak mahu menyembunyikan apa-apa daripada peminat, oleh itu secara spontan saya membuat pengumuman mengenai kanser yang saya hidapi.

"Sudah tujuh tahun saya berjuang dengan kanser Limfoma dan sekarang hanya mampu berdoa kepada Allah selepas puas berikhtiar.

"Ada satu ketikanya, saya menghilangkan diri kerana berubat, namun kos perubatan kimoterapi memakan sejumlah wang yang besar. Jadi saya memilih untuk menggunakan alternatif lain," katanya yang dipetik daripada portal BH Online.

Elyana, atau nama lengkapnya, Erneelya Elyana Emrizal, 30, mengakui takut untuk tidur setiap malam kerana bimbang tidak berpeluang untuk berjumpa anaknya lagi.

Katanya, hampir setiap hari beliau mengingatkan anak perempuannya itu tentang penyakit yang dihidapinya.

"Saya fobia hendak tidur malam kerana takut tidak dapat melihat dan berjumpa dengan anak saya lagi. Itu saja ketakutan saya hampir setiap hari," ujarnya.  

Elyana berkata, kehilangannya daripada industri muzik selama ini berpunca daripada kesibukan menjalani rawatan dan dalam masa sama, berada dalam keadaan lemah.

"Saya tahu ada yang kata saya sombong tolak persembahan semua, sedangkan badan saya ketika itu sedang mengembang dan rambut gugur.

"Doktor beritahu saya ketika itu saya hanya ada setahun untuk hidup. Saya nekad berhenti kimo dan cabar diri saya untuk berjuang. Syukur umur saya panjang sampai hari ini," katanya sambil mengingatkan agar pesakit kanser lain terus kekal positif menangani penyakit itu.

Elyana yang menceburi bidang nyanyian sejak usia 14 tahun pernah hangat dengan lagu-lagu berhantu, antaranya Niat, Rela, Tak Tercapai Akalmu dan Molek.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)