Kredit foto: Instagram Elyana

Tidak dinafikan, filem Dukun yang memasuki pawagam mulai hari ini, 5 April mempunyai pelbagai versi kisah pelik dan misteri yang dikongsikan kepada orang ramai.

Tidak terkecuali, salah seorang pelakonnya yang memegang watak Nadia Karim iaitu penyanyi Elyana bercerita kejadian yang berlaku kepadanya sewaktu dalam perjalanan menghadiri majlis pratonton filem keduanya itu.

Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal berkata, dia dan suaminya mengalami peristiwa aneh apabila tersesat selama 20 minit sewaktu cuba mencari bangunan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) menggunakan bantuan aplikasi waze dan papan tanda.

Bercerita lanjut, Elyana memberitahu dia berasa pelik kerana aplikasi Waze yang sering digunakannya itu tiba-tiba gagal berfungsi dengan baik, malah membawa mereka ke tempat yang salah.

“Tak tahulah kenapa hari ini tak semena-mena saya boleh sesat nak ke KLCC. Mungkin sebab saya nervous sangat nak tonton filem ni, atau memang ada sebab lain saya tak dapat pastikan.

“Tapi saya memang pelik sangat kenapa saya dan suami boleh tak jumpa KLCC hari ini, walaupun nampak papan tanda KLCC, malah saya juga gunakan waze untuk memudahkan perjalanan.

“Peliknya waze hantar ke taman belakang sebuah hotel yang saya tak dapat pastikan lokasinya. Hampir 20 minit bayang bangunan KLCC langsung tak nampak, sampai suami saya pun dah bising-bising,” dedahnya kepada wartawan Sinar Harian.

Namun, Elyana enggan menjawab dengan lebih lanjut apabila ditanya adakah peristiwa itu mempunyai kaitan dengan perkara mistik khususnya filem seram, Dukun yang dijayakannya.

elyana kongsi kisah seram tak nampak klcc 2

Kredit foto: Instagram Elyana

“Entahlah, susah nak cakap kerana saya sendiri tak pasti kejadian tersebut berlaku sebab saya mengantuk, panik atau ada sebab lain yang menyebabkan ia berlaku.

“Namun disebabkan saya sebelum ini pernah mempunyai pengalaman tentang perkara-perkara mistik ini, saya tidak menolak kemungkinan itu,” kata Elyana yang anggun berkebaya merah ketika menjadi tetamu majlis berkenaan.

Filem Dukun mengisahkan seorang wanita bernama Diana Dahlan yang juga pengamal ilmu hitam, terlibat dalam sebuah kes pembunuhan yang kejam.

Antara lain dibarisi barisan pelakon handalan seperti Datin Umie Aida, Faizal Hussien, Nam Ron, Hasnul Rahmat, Chew Kin Wah dan Adlin Aman Ramli.




Hakcipta iluminasi.com (2017)