Antara ciptaan teragung manusia adalah peti ais. Penciptaan peti ais sememangnya telah mengubah dan memajukan gaya hidup manusia kerana kemampuannya untuk memelihara stok makanan seperti daging, sayur dan ikan dalam tempoh yang lama.

Sejarah penciptaan peti sejuk pernah kami siarkan satu ketika dahulu. Sebelum kewujudan peti sejuk, orang dahulu mempunyai pelbagai cara unik untuk menyimpan makanan bagi mengelakkannya daripada cepat rosak dan perkara ini ada kami tulis dalam artikel "Bagaimanakah Orang Dulu-dulu Simpan Makanan?".

BESARKAN TEKS     A-  A+

Cabaran daripada sebuah stesyen radio

pertunjukan awam terbesar dunia 176

Ketika musim bunga tahun 1959, telah diadakan sebuah cabaran pertunjukan awam terbesar atau public stunt dimana sebuah bongkah ais seberat 3 tan telah di pindah melalui jalan darat dan laut daripada kawasan Artik dan kawasan titik Khatulistiwa di Afrika Tengah.

Perjalanan ini mengambil masa kira-kira 4 minggu dan terpaksa melalui banyak negara termasuklah kawasan padang Sahara dimana suhunya mencecah 50 darjah selsius. Apa yang menjadikan cabaran ini lebih menarik adalah peserta tidak dibenarkan menggunakan peti ais untuk memindahkan ais ini.

ekspedisi membawa kiub ais gergasi

Idea mengenai cabaran yang dianggap hampir mustahil ini dicetuskan oleh sebuah stesyen radio, Radio Luxembourg yang mencabar mana-mana pihak untuk memindahkan bongkah ais seberat 3 tan dari Artic kepada titik Khatulistiwa tanpa mengguna sebarang teknologi peti sejuk.

Kerana terlampau yakin bahawa cabaran ini tidak mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja, stesyen radio tersebut turut mengumumkan bahawa mereka akan menghadiahkan 100,000 francs untuk setiap kilongram yang masih tinggal apabila bongkah ais tersebut selamat sampai ke destinasi.

Jumlah hadiah ini bersamaan sekitar $17,000 bagi setiap kilogram dalam nilai matawang 2019, jumlah yang dianggap cukup lumayan.

Hanya 1 syarikat berani menyahut cabaran

ekspedisi bongkah ais

Birger Natvik, iaitu Pengarah Urusan syarikat Glassvatt, sebuah syarikat insulasi daripada Norway terdengar mengenai pengumuman mengenai cabaran tersebut dan mencadangkan syarikatnya untuk menyahut cabaran tersebut. Beliau berpendapat ini merupakan platform terbaik membuktikan keberkesanan produk ciptaan syarikatnya.

Beliau berpendapat sekiranya bongkah ais tersebut dibungkus rapi dengan lapisan gelas fiber, mereka mampu meminimumkan kadar pencairan ais tersebut. Selain untuk tujuan mempromosi, beliau percaya mampu memperolehi beberapa juta francs sekiranya berjaya melakukannya.

Apabila syarikat tersebut mengumumkan akan menyahut cabaran tersebut, orang ramai mula membuat spekulasi berapakah berat ais yang tidak cair apabila tiba di destinasi kelak. Pihak media turut membuat anggaran berapa banyakkah keuntungan yang akan diperolehi syarikat tersebut kelak.

Apabila stesyen radio menyedari kerugian yang mungkin dialami sekiranya terdapat syarikat yang benar-benar dapat melakukannya, mereka mula khuatir dan bertindak menarik balik tawaran yang dibuat sebelum itu. Walaupun dianggap sebagai tindak pengecut, ianya satu tindakan yang bijak kerana mereka sememangnya bakal mengalami kerugian besar sekiranya tidak menarik balik tawaran tersebut.

Sokongan daripada syarikat lain

ais glasier

Walaupun cabaran tersebut telah ditarik balik, ekspedisi ini telah mendapat liputan yang sangat meluas. Ini menyebabkan syarikat Glassvatt mengambil keputusan untuk meneruskan ekspedisi ini. Bagi mereka, sekurang-kurangnya kejayaan mereka bakal memberi lebih banyak pendedahan kepada media tentang produk yang mereka hasilkan.

Menyedari potensi pemasaran daripada ekspedisi gila ini, syarikat-syarikat besar seperti Shell dan Scania telah bersetuju untuk memberi tajaan. Shell telah menyediakan bantuan minyak sepanjang perjalanan tersebut sementara Scania pula telah menyediakan trak bagi mengangkut bongkah ais tersebut.

Secara keseluruhannya, pelbagai penaja daripada 8 buah negara telah menaja bagi ekspedisi ini. Sumber ais glasier daripada kawasan Svartisen yang terletak di kawasan Selatan Artic telah digunakan. Bongkahan-bongkahan ais seberat 200 kg telah dipotong menggunakan gergaji dan telah dipindahkan ke pusat pengumpulan di bandar Mo i Rana.

Bongkah-bongkah ais kecil ini dicairkan terlebih dahulu dan dibekukan semula dalam sebuah bekas besar yang diperbuat daripada besi. Bekas ini kemudiannya ditutup dan diseliputi dengan kayu dan gelas fiber sebagai bahan insulasi bagi memastikan kadar cairan ais tersebut dapat diperlahankan.

Bekas yang berisi bongkah ais seberat 3050 kg tersebut kemudiannya diletakkan di atas trak yang akan membawanya merentasi pelbagai negara dalam perjalanan sejauh 8500 kilometer. Perjalanan tersebut turut diekori rapat oleh sebuah van yang membawa pelbagai alatan dan sebuah kereta sedan yang dinaiki pasukan media yang membuat dokumentari mengenai ekspedisi tersebut. 

Pada tarikh 22 Februari 1959, pasukan ini memulakan berjalanan dari Mo i Rana ke destinasi terakhir mereka di titik Khatulistiwa.

Kepelbagaian cabaran sepanjang perjalanan

padang sahara

Di negara-negera Eropah, pasukan ini telah disambut dengan meriah di setiap tempat yang mereka singgah. Selain misi untuk memindahkan ais, mereka turut membawa bersama kelengkapan perubatan seberat 300 kg untuk diagihkan kepada sebuah hospital di Gabon yang menjadi destinasi terakhir mereka.

Di Paris, ekspedisi ini turut dikawal oleh polis dan ahli pasukan ini turut dijemput oleh Datuk Bandar Paris untuk menjamu selera. Di Marseille, trak tersebut kemudiannya diangkat ke atas kapal kargo dan dibawa belayar merentasi lautan Mediterranean. Setibanya di Algiers, berat bongkah ais tersebut ditimbang untuk mengetahui berapakah jumlah ais  yang telah cair.

Perjalanan merentasi negara-negara Eropah tidak mempunyai sebarang masalah. Cabaran bermula apabila mereka terpaksa merentasi padang pasir Sahara yang sangat panas. Keadaan turut diburukkan dengan keadaan negara Algeria yang pada ketika itu sedang berada dalam konflik dimana penduduknya sedang menuntut kemerdekaan daripada penjajah Perancis.

Ternyata ianya bukan tugas yang mudah kerana berat bongkah ais yang dibawa dan ketiadaan jalan raya bagi merentasi Sahara. Setiap kali tayar trak terlekat dalam pasir,  krew terpaksa menggali pasir bagi membolehkan trak tersebut meneruskan perjalanan.

Kejayaan ekspedisi ini

bongkah ais

Setelah 27 hari pemanduan, trak ini akhirnya tiba di destinasi terakhir mereka  di Libreville. Bongkah ais ini kemudiannya ditimbang. Mengejutkan, hanya 336 kg sahaja daripadanya yang cair. Jumlah ini bersamaan hanya 11 peratus sahaja daripada berat asal bongkah ais ini.

Bongkah ais tersebut kemudiannya dipotong kecil dan dibahagikan kepada penduduk tempatan yang langsung tidak pernah melihat ais seumur hidup mereka. Sebahagian kecil daripada bongkah ais tersebut dibawa pula dan digunakan untuk dihidang kepada para wartawan yang menemuramah pasukan ini di Oslo kemudiannya.

Ekspedisi ini dianggap sebagai pertunjukan awam (public stunt) terbesar dunia yang pernah diadakan. Bukan sahaja cabaran ini berjaya mencapai matlamatnya, ianya turut mendapat liputan menyeluruh daripada media seluruh dunia yang secara tidak langsung memberi pendedahan kepada syarikat-syarikat yang turut menaja dalam menjayakan ekspedisi ini,

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Youtube
  3. The Hindu



Hakcipta iluminasi.com (2017)