hh

Lokasi di mana berlakunya pertemuan dua lautan adalah fenomena alam yang menakjubkan, di mana kita kita dapat menyaksikan pertembungan air dari dua badan lautan namun tidak bercampur segera.

Perbezaan daripada tahap kepekatan garam, mendakan dan banyak faktor lain ini mampu menyebabkan perbezaan warna air yang jelas dilihat wujud di garis sempadan pertemuan tersebut muncul buat sementara.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di seluruh dunia, ada banyak titik pertemuan melibatkan sungai wujud yang menyaksikan fenomena serupa dalam skala kecil. Tetapi bagi lautan, fenomena ini dapat dilihat di lima lokasi berbeza. Berikut adalah lima lokasi di mana fenomena ini boleh berlaku.

1. Pertemuan Lautan Atlantik dan Lautan Pasifik di Cape Horn, Chile

lokasi lautan ada sempadan

Antara titik pertemuan lautan paling menakjubkan kerana skalanya, titik pertemuan yang dapat dilihat di Cape Horn, Chile terletak di bahagian paling selatan benua Amerika Selatan, menjadi titik pertemuan Lautan Atlantik dan Lautan Pasifik.

Walaupun cantik dilihat, oleh kerana kedudukannya sebagai titik pertemuan lautan, sempadan ini merupakan salah satu kawasan maritim paling berbahaya di dunia kerana kekerapan berlakunya angin kencang, arus kuat dan ombak besar yang mampu mencecah ratusan meter, serta mampu 'menelan' kapal-kapal yang lalu.

Di Cape Horn, arus dari Lautan Atlantik dan Pasifik bertemu dan mencipta sempadan yang berubah-ubah. Perbezaan suhu, tahap kepekatan air dan serta pergerakan gelombang antara dua lautan ini menyebabkan dua badan air ini tidak bercampur dengan segera, mencipta garis yang jelas berbeza warnanya.

Sehingga ke hari ini walaupun teknologi kapal sudah jauh ke depan, kawasan sekitar Cape Horn dianggap sebagai "pusara kapal" kerana ribuan kapal telah tenggelam di kawasan ini, sehinggalah terusan Panama dibina yang membolehkan pelayar tidak lagi perlu melalui laluan berisiko tinggi ini.

2. Pertemuan Lautan Hindi dan Lautan Atlantik di Cape Agulhas, Afrika Selatan

lautan yang dipisahkan warna berbeza

Cape Agulhas adalah titik paling selatan benua Afrika, di mana Lautan Hindi dan Lautan Atlantik bertemu.

Pertemuan dua lautan ini mampu dilihat melalui kelainan warna badan airnya disebabkan oleh perbezaan suhu dan kepekatan air laut. Air Lautan Hindi lebih hangat dan lebih masin jika dibanding dengan air Lautan Atlantik yang lebih sejuk dan kurang masin, menyebabkan kedua-dua badan air ini tidak bercampur dengan cepat.

Cape Agulhas mendapat namanya daripada bahasa Portugis yang bermaksud "Cape of Needles," merujuk kepada situasi di mana jarum kompas mampu menunjukkan arah utara dengan tepat sekiranya seseorang berada di kawasan ini.

3. Pertemuan Laut Baltik dan Laut Utara di Skagen, Denmark

skagen denmark

Skagen merupakan sebuah pekan kecil terletak di utara Semenanjung Jutland di Denmark. Di sinilah Laut Baltik yang mempunyai sifat lebih tenang bertembung dengan Laut Utara (North Sea) yang lebih ganas, menghasilkan fenomena sempadan air yang ketara.

Perbezaan tahap kepekatan garam dan ketumpatan antara kedua-dua laut ini menyebabkan sempadan ini wujud; Laut Baltik mempunyai air yang kurang masin kerana menerima air tawar dari sungai-sungai pada kadar tinggi manakala Laut Utara pula terbentuk daripada badan air yang tinggi kepekatan garamnya.

Fenomena ini boleh dilihat dari pantai di pekan Skagen, menjadi tarikan utama pelancong. Skagen juga terkenal dengan pemandangan dan cahaya semulajadi yang unik, kerap dijadikan lokasi di mana fotografi alam semulajadi dibuat atau diabadikan dalam bentuk karya seni.

4. Pertemuan Laut Hitam dan Laut Mediterranean di Selat Bosphorus, Turki

istanbul bosphorus kawasan air

Selat Bosphorus adalah laluan air sempit yang menghubungkan Laut Hitam dengan Laut Mediterranean, melalui Laut Marmara yang menghubungkan Turki di bahagian Asia dan Eropah, seterusnya menjadi titik tengah benua Eropah dan Asia.

Kelainan warna pada badan air terbentuk jelas di sini, disebabkan Laut Hitam mempunyai tahap kepekatan garam yang lebih rendah berbanding dengan Laut Mediterranean.. Bila kedua-duanya bertemu di Selat Bosphorus, air tidak bercampur segera lalu menghasilkan sempadan air yang jelas.

Selat Bosphorus adalah salah satu laluan air paling sibuk di dunia, dengan ribuan kapal komersial melewati selat ini setiap tahun. Selain menjadi laluan perdagangan, kawasan ini juga merupakan tempat tinggal ikan lumba-lumba yang kerap boleh dilihat berenang di sekitar perairan ini.

5. Pertemuan Arus Gulf Stream dan Arus Labrador di Lautan Atlantik Utara

labrador current

Pertemuan arus yang dinamakan sebagai Gulf Stream dan arus Labrador dapat dilihat di kawasan Lautan Atlantik Utara, berhampiran pantai Newfoundland, Kanada.

Gulf Stream adalah arus hangat yang berasal dari Teluk Mexico, manakala arus Labrador adalah arus sejuk yang datang dari Artik mempunyai tahap suhu yang berada pada dua ekstrim berbeza, menyebabkan berlakunya tindakbalas terhadap badan air yang ada di sana, menghasilkan sempadan disebabkan perbezaan suhu dan tahap kepekatan.

Titik pertemuan ini bagaimanapun memberi faedah besar kepada nelayan, kerana kawasan ini terkenal sebagai antara kawasan paling besar jumlah haiwan laut, khususnya untuk tangkapan ikan-ikan seperti ikan kod.

Walaupun demikian, nelayan di sana tetap perlu berhadapan masalah kerana kawasan itu sering dilanda kabus tebal yang terbentuk akibat pertembungan arus hangat dan sejuk.




Hakcipta iluminasi.com (2017)