Zaman penggunaan minyak petrol yang mengandungi plumbum kini secara rasminya telah berakhir. Ia juga menandakan tamatnya salah satu ancaman terbesar kesihatan manusia serta pencemaran Bumi.

Program Alam Sekitar Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) mengumumkan bahawa tiada lagi negara di dunia yang menggunakan bahan berbahaya itu pada kenderaan.

Ia berikutan negara terakhir yang menggunakan petrol berplumbum iaitu Algeria telah mengeluarkan arahan akan beralih sepenuhnya kepada minyak tanpa plumbun pada bulan Julai 2021.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Keburukan disebabkan minyak plumbum

Sukar untuk menentukan kerosakan yang telah disebabkan oleh penggunakan petrol berplumbum sejak seabad yang lalu. Sejak tahun 1922, tetraethyllead telah ditambah ke dalam minyak petrol untuk mengingkatkan prestasi enjin dengan pembakaran bahan bakar yang lebih efisien.

minyak berplumbum

Namun, pelepasan asap yang terhasil daripada pembakaran ini dilaporkan boleh menyebabkan masalah penyakit jantung, strok dan barah. Ia juga diketahui mempunyai kesan terhadap perkembangan otak manusia.

Kajian mendapati bahawa asap minyak berplumbum juga menurunkan kadar IQ pada kanak-kanak dan menyebabkan kawalan impuls (gelombang elektrik yang bergerak melalui gentian saraf) lebih rendah.

Individu yang mencipta minyak plumbum

Individu yang bertanggungjawab membangunkan minyak berplumbum ialah seorang kimia Amerika bernama Thomas Midgley Jr. Ribuan tahun sebelum Midgley Jr. menciptanya, keracunan plumbum sudah diketahui boleh menjadi penyebab kepada pelbagai jenis penyakit.

Pada mulanya, Midgley Jr. dan pasukannya mencari jalan bagaimana untuk mengatasi masalah "engine knocking" atau ketukan enjin di mana bahan bakar menyala terlalu cepat dan pembakaran berlaku di luar kawasan pembakaran enjin. 

thomas midgley jr 477

Thomas Midgley Jr.

Midgley Jr. akhirnya menemui solusi dengan menambahkan dua hingga empat gram bahan plumbum tetraetil (TEL) ke dalam satu gelen minyak petrol (3.8 liter) bagi menyelesaikan masalah itu.

Dalam beberapa tahun sahaja, berjuta-juta gelen minyak berplumbum yang berbahaya ini sudahpun digunakan di seluruh dunia. Bukan sahaja orang awam tetapi mereka yang membuat kajian mengenai minyak berplumbum ini juga menerima akibat buruk darinya.

Tidak cukup dengan minyak berplumbum, Midgley Jr. juga bertanggungjawab memperkenalkan dunia kepada klorofluorokarbon (CFC). Bahan kimia yang digunakan dalam semburan aeresol, pelarut dan bahan pendingin ini boleh menyekat oksigen daripada memasuki paru-paru jika disedut.

Maka, tidak hairanlah jika Thomas Midgley Jr. mendapat julukan sebagai lelaki yang bertanggungjawab menjadi punca pencemaran terbesar di Bumi.

Menghentikan penggunaan minyak berplumbum

Usaha untuk menghentikan penggunaan minyak berplumbum tidak berlaku dengan mudah. Sebilangan besar negara berpendapatan tinggi telah melarang penggunaan bahan berbahaya ini pada sekitar tahun 1980-an.

asap bahaya plumbum

Namun, masih banyak negara berpendapatan sederhana dan berpendapatan rendah terus menggunakannya sehingga awal tahun 2000-an.

Menjelang tahun 2006, seluruh benua Afrika Sub-Sahara (tidak termasuk Afrika Utara) bebas daripada penggunaan minyak berplumbum melalui pelbagai kempen yang dilakukan. Ia melibatkan kempen kesedaran, bantuan teknikal serta menolak tekanan daripada pengedar dan pengeluar minyak berplumbum tempatan.

Selepas itu, negara-negara di Afrika Utara, Timur Tengah, Asia Tengah dan Asia Timur juga turut menghentikan penggunaan daripada minyak berplumbum melalui usaha yang serupa.

Kesan menghentikan penggunaannya

Kesan daripada menamatkan penggunaan bahan bakar mengandungi plumbum ini telah membantu menurunkan kira-kira 1.2 juta kematian pramatang setiap tahun. Ia juga meningkatkan kadar IQ kanak-kanak dan menyelamatkan kira-kira USD 2.45 trilion untuk ekonomi global.

inger andersen

Inger Andersen

Pengarah Eksukutif UNEP iaitu Inger Andersen menyatakan bahawa pengakhiran era petrol berplumbum adalah contoh bagaimana masalah besar terhadap kesihatan global dan alam sekitar dapat diselesaikan melalui usaha keras daripada pemerintah, industri dan orang ramai.

Andersen turut menyatakan bahawa usaha ini berjaya menggerakkan dunia ke arah kelestarian dan masa hadapan yang lebih bersih dan hijau. Ia adalah sesuatu yang wajib dilakukan tatkala dunia menghadapi masalah pemanasan global yang serius.

UNEP juga berusaha untuk memastikan dunia memiliki bahan bakar yang lebih bersih dan menerapkan piawaian kenderaan yang lebih selamat di seluruh dunia. Gabungan bahan bakar dan kenderaan yang lebih selamat dapat mengurangkan pencemaran lebih daripada 80%




Hakcipta iluminasi.com (2017)