Anda pemilik kereta? Pasti banyak kali semasa memandu anda akan terfikir tentang tolok minyak atau 'fuel gauge' anda. Tolok minyak merupakan indikator yang sangat penting bagi pemandu dalam memberikan gambaran berapa banyak minyak masih ada dalam tangki.
Perubahan teknologi menukarkan tolok minyak daripada jenis analog kepada jenis digital, namun penggunaannya tetap sama serta masih mempunyai ragam 'ketidak tepatan' yang serupa.
BESARKAN TEKS A- A+
Anda sedar tak tolok minyak kereta anda kebiasaannya tidak konsisten, serta mempunyai bacaan yang pelik dan tidak boleh dipercayai? Persoalannya di sini - kenapa perkara itu berlaku?
Kenapa lepas isi minyak, tolok minyak turun lambat?
Kami yakin ramai pemandu menyedari perkara ini berlaku.
Lepas kita isi minyak, tolok meter tu nampak lambat sangat turunnya apatah lagi kalau kita isi sampai tangki penuh. Kenapa tolok minyak lambat benar turun pada peringkat awal?
Ini berdasarkan kepada rekaan kejuruteraan tolok tangki minyak kenderaan itu sendiri. Realitinya, penggunaan minyak akan terus menurunkan kadar bacaan pada tolok minyak tidak lama selepas anda mengisi minyak di stesen. Bagaimanapun, semua tolok minyak kenderaan direka untuk kekal berada pada tahap 'F' atau penuh dalam kadar lebih lama dengan sengaja.
Kenapa ini dilakukan? Kajian jurutera menunjukkan pemandu akan lebih berpuas hati minyak tidak terus berkurang selepas diisi. Kita rasa lebih lega sekiranya meter kekal di takat penuh untuk beberapa kilometer - anggaran selalunya 15 km, sebelum mula berkurangan.
Secara tak langsung, pemandu akan merasakan mereka telah mendapat pulangan jarak kilometer yang lebih jauh, selepas setiap kali mengisi minyak.
Kenapa bila tolok dah cecah separuh, penurunannya laju pula?
Sama seperti kesan seronok tolok meter kekal lama di tahap 'F', kita juga memerlukan satu anjakan untuk membuatkan kita rasa risau dengan kapasiti minyak yang kita ada.
Satu-satunya cara untuk memastikan kita tidak membiarkan tangki berkurangan ke tahap yang tidak sepatutnya adalah dengan mempercepatkan penurunan tolok minyak selepas melepasi tahap separuh tangki.
Tindakan ini akan menimbulkan peringatan kepada semua pemandu yang perlu diberikan perhatian cepat.
Penurunan yang lebih cepat setiap kali tolok minyak tiba di takat tengah, membantu pemandu sentiasa berjaga-jaga dan bergegas untuk mengisi minyak.
Kebenaran tentang tahap E pada tolok minyak
Semua pemandu pasti sudah tahu takat 'E' pada tolok minyak menandakan tangki minyak kita hampir kosong.
Bukan setakat itu saja, lampu amaran tangki kosong akan mula dinyalakan bagi menandakan betapa pentingnya untuk kita mengisi minyak secepat mungkin.
Untuk melindungi pemandu dalam situasi sebegini, jurutera kenderaan dengan sengaja mencipta sistem tolok minyak yang sebenarnya menipu kita.
Sebenarnya di dalam tangki kita masih ada simpanan minyak yang kebiasaannya dianggarkan sekitar 5 ke 10 liter daripada jumlah keseluruhan tangki kita, bergantung kepada jenis kenderaan. Bagaimanapun, untuk melindungi kenderaan kita - enjin akan dimatikan lebih awal supaya tidak berlaku kerosakan dan simpanan ini tidak akan digunakan.
Selain itu dalam setiap tangki kereta, 1 atau 2 liter terakhir minyak dalam tangki akan menjadi perangkap kepada mendapan seperti habuk atau partikel halus yang masuk ke dalam tangki.
Apabila lampu amaran menyala, kebanyakan kereta masih lagi mampu menggunakan minyak sekitar purata 3.8 liter yang boleh digunakan dan ini sebenarnya cukup untuk perjalanan sekitar 42 km bagi kenderaan yang mampu pergi 11.5 km untuk penggunaan setiap liter.
Anda boleh kira sendiri berapa jarak selamat anda dalam tempoh amaran diberikan, supaya anda tidak mengalami masalah enjin dimatikan.
Kenapa pengeluar kereta melakukan perkara sebegini?
Teknologi kenderaan yang baru memerlukan minyak untuk berada dalam tangki bagi menyejukkan pam tangki. Pam yang biasanya dikawal menggunakan elektrik memerlukan minyak di dalamnya bagi memastikan suhu dalam tangki tidak menjadi terlalu panas sehingga merosakkan pam.
Dalam cuaca panas seperti kita, pam yang berada dalam keadaan panas akan lebih mudah rosak sekiranya tidak dilindungi cecair. Sementara itu bagi negara bercuaca sejuk pula, sekiranya pam tidak dilindungi minyak dan cuaca terlampau sejuk, partikel-partikel ais boleh terbentuk di pam tangki yang akan menyebabkan kerosakan.
Menggantikan pam tangki bukanlah sesuatu yang murah.
Berapa jauh kenderaan saya boleh pergi semasa lampu amaran dah menyala?
Untuk mengetahui berapa jauh jarak perjalanan selamat bagi anda, ada dua cara untuk mengetahuinya. Yang pertama, cuba ukur sendiri. Pastikan anda membawa minyak simpanan sebelum melakukan ujikaji ini.
Yang kedua, dengan membuka laman web TankOnEmpty yang menyenaraikan berapakah jarak sebenar model-model kereta boleh terus bergerak selepas lampu amaran menyala.
Sebagai contoh, Honda Accord mampu mencatatkan 74 km secara purata jarak perjalanan selepas lampu menyala. Sebuah Mazda 2 pula mampu bergerak sejauh 62 km. Bagaimanapun, dua model negara kita iaitu Proton dan Perodua tidak berada dalam senarai - namun kita bolehlah menganggarkan jarak selamat untuk kita terus memandu daripada data yang dikongsikan.
Kami harap artikel ini menjawab persoalan anda tentang isu ini.
Kesimpulannya, jangan risau kereta anda boleh rosak sekiranya minyak habis. Kereta kita memang dah direka untuk mematikan enjin kalau minyak tak cukup, tanpa menyebabkan berlakunya kerosakan. Cuma, anda akan tersadai di tepi jalan sajalah.
Pelik juga lah kan jurutera boleh membina jentera seperti kereta, tapi gagal dalam bab ketepatan tolok minyak. Hari ini anda sudah tahu - semua ketidak tepatan itu dilakukan dengan sengaja dalam melindungi pemandu sebagai pengguna.
Rujukan