Oleh pada 21 Jul 2018 kategori

drama fenomena nur kembali 1

Kredit foto: Instagram Amyra Rosli

Shahrulezad Mohameddin atau Ezad, selaku penerbit dan pengarah drama Nur, enggan terlalu mengambil endah apabila keputusan produksinya, Radius One dan TV3 untuk menyambung drama fenomena, Nur mendapat tentangan beberapa pihak.

Menurut Ezad, dia nekad menghasilkan Nur 2 demi memenuhi permintaan penonton yang ingin tahu kesudahan kisah watak Nur (Amyra Rosli) selepas dipujuk Ustaz Adam (Syafiq Kyle) untuk kembali bersama, serta Hamadi (Azhan Rani) sebagai watak antagonis.

Ezad berkata, rata-rata netizen memberi maklum balas mengatakan penamat drama rantaian itu seakan tergantung.

drama fenomena nur kembali 2

Kredit foto: Instagram Amyra Rosli

"Rata-rata meminta saya menghasilkan drama Nur 2, kerana mereka mahu tahu apa yang berlaku kepada Nur dan Hamadi. Tetapi saya seperti yang umum tahu tidak pernah menyambung mana-mana karya yang pernah dihasilkan walaupun ia turut mendapat sambutan sebelum ini.

"Begitupun selepas ramai yang meminta ia disambung termasuk pihak TV3, akhirnya saya akur. Itupun setelah saya memperoleh jalan cerita baru dan dipersembahkan kepada pihak stesen. Mereka yakin dan bersetuju dengan cerita itu,”€ katanya kepada Harian Metro.

Ezad mengakui awalnya hatinya berbelah bahagi membuat kesinambungan karya bersifat Islamik itu.

Namun persetujuan yang dinyatakan semua pelakon untuk kembali beraksi membuatkannya hilang sebab untuk menidakkan.

"Saya juga bersetuju dengan kenyataan diberikan pihak stesen yang menegaskan bahawa Nur 2 dihasilkan bukan untuk menandingi Nur. Perbandingan juga adalah perkara biasa apabila Nur 2 disiarkan nanti.

"Sepanjang menghasilkan Nur saya tidak pernah meletak harapan atau mengharapkan ia menjadi fenomena, tetapi kejayaan diraih adalah rezeki. Jadi mengapa apabila mahu menghasilkan Nur 2, saya perlu memikirkan perkara itu,”€ katanya. 

Terdahulu, Nur yang ke udara sebanyak 19 episod mencipta fenomena tersendiri selepas mengumpul 11 juta tontonan, selain 500,000 tontonan secara atas talian.


tags : , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)